12 January
2001


Merayakan kemenangan dalam bulan Syawal

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar terus bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Sesungguhnya telah berjayalah orang-orang yang bertaqwa kepada Allah.

Saudara-saudara sekelian,

Bulan Ramadhan telah meninggalkan kita. Sekarang ini kita berada dalam bulan Syawal, bulan yang disifatkan oleh sebahagian orang sebagai bulan kemenangan. Mereka melaung-laungkan kemenangan ini yang mana mengikut mereka adalah kemenangan setelah berpuasa dalam bulan Ramadhan. Memang tidak salah kita menyambut bulan Syawal dan menyifatkannya sebagai bulan kemenangan.

Malah lebih tepat lagi ianya merupakan kemenangan yang diraikan pada hari pertama bulan Syawal, iaitu pada 1 Syawal bagi melahirkan kesyukuran kepada Allah. Kerana itulah perayaan menyambut kemenangan ini dilakukan dengan bertakbir, bertahmid memuji Allah dan dengan beraimai-ramai mendirikan solat Aidilfitri. Dalam menyambut Aidilfitri ini, masyarakat kita menghayatinya dengan menziarahi sanak-saudara dan bermaafan antara satu sama lain. Dalam kita melakukan ini semua, kita tidak sepatutnya melupakan bahawa agama Islam menitik-beratkan kesederhanaan dalam semua aspek, termasuk dalam menyambut Aidilfitri ini. Islam tidak melarang umatnya untuk bergembira dan merapatkan silaturrahmi. Malah dalam Islam, kita dianjurkan agar menzahirkan nikmat yang telah Allah berikan kepada kita sebagai tanda syukur atas nikmat tersebut. Firman Allah lagi dalam surah Al-'Araf, ayat 32:

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): Siapakah yang mengharamkan perhiasan yang telah Allah anugerahkan untuk hamba-hambanya, dan makanan-makanan yang baik-baik. Katakanlah bahawa ia adalah untuk orang-orang yang beriman dalam kehidupan mereka di dunia ini dan khas untuk mereka di akhirat kelak. Begitulah kami menjelaskan tanda-tanda itu bagi kaum yang mengetahui."

Jelas dari ayat yang dibacakan tadi Allah tidak melarang hamba-hambanya dari merasai keindahan dan kesenangan kehidupan di dunia ini. Tetapi, saudara-saudara sekelian, marilah kita berhenti sejenak dan meneliti: siapakah hamba-hamba Allah?

Allah telah menerangkan dalam ayat tadi siapakah hamba-hambanya. Mereka adalah orang-orang yang beriman. Alhamdulillah kita adalah orang-orang yang beriman. Isteri-isteri kita adalah orang-orang yang beriman. Anak cucu kita adalah orang-orang yang beriman. Sekarang kita kaji pula, apakah antara ciri-ciri orang-orang yang beriman? Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Araf ayat 31:

Ertinya: Wahai anak-anak Adam, berhiaslah setiapkali kamu ke masjid, dan makanlah serta minumlah dan janganlah menjadi orang-orang yang membazir.

Inilah antara ciri-ciri orang yang beriman. Mereka makan dan minum serta bergembira tetapi dalam kadar yang tidak membazir. Kerana mereka sedar bahawa orang-orang yang membazir adalah saudara Syaithan. Ini jelas dari firman Allah s.w.t dalam surah Al-Isra' ayat 27:

Ertinya: Sesungguhnya orang-orang yang membazir adalah saudara-saudara syaithan. Dan syaithan itu adalah sangat kufur kepada Tuhannya.

Oleh itu, marilah kita mengamalkan kesederhanaan dalam kita menyambut bulan Syawal yang penuh kegembiraan ini. Janganlah dalam kesenorokan kita menyambutnya kita tergolong dalam golongan saudara syaithan kerana pembaziran yang berlaku. Ingat jugalah bahawa ramai, malah jutaan umat Islam di dunia ini yang masih menderita kesusahan dalam bulan Syawal ini, yang lapar dahaga, yang kurang pakaian dan tiada tempat tinggal. Sedangkan kita apabila telah diberi nikmat oleh Allah, kita membazirkannya dan lupa saudara-saudara se-Islam kita yang sedang merana. Ingatlah bahawa segala nikmat adalah kepunyaan Allah dan Allah boleh menarikanya kembali dari kita bila-bila masa. Ingatlah bahawa penderhakaan yang nyata adalah menggunakan nikmat Allah untuk menderhakaiNya.

Saudara-saudara sekelian,

Seperkara lagi yang saya ingin sentuh disini adalah perbuatan setengah-tengah orang yang menyambut kegembiraan bulan Syawal dengan mengadakan majlis-majlis yang bertentangan dengan ajaran Islam. Majlis-majlis yang ada unsur-unsur maksiat dan penderhakaan terhadap Allah s.w.t.

Sebulan sudah kita melawan hawa nafsu kita. Kita menahan diri dari makan dan minum pada siang hari. Kita berpenat lelah mengerjakan solat Terawih pada malam hari. Kita memberikan penghormatan terhadap bulan Ramadhan. Tiba-tiba, apabila Ramadhan sudah berlalu, dan masuknya bulan Syawal, kita meraikan kemenangan tersebut dengan melepaskan hawa nafsu kita untuk melakukan perkara-perkara yang tidak dilakukan pada bulan Ramadhan dengan melakukan perkara-perkara mungkar. Orang-orang seperti ini menyangka bahawa hanya pada bulan Ramadhan sahajalah kita mesti penuh taat pada Allah dan rajin beribadat. Dan pada bulan-bulan lain kita boleh memberikan kelonggaran terhadap taat kita kepada Allah. Ketahuilah, bahawa Tuhan dalam bulan Ramadhan adalah Tuhan yang sama dalam bulan-bulan yang lain! Ketahuilah bahawa pintu api neraka sudah dibuka kembali. Adakah kita ingin mendekatkan diri kita kembali ke pintu neraka apabila Allah telah menjauhkan kita darinya dalam bulan Ramadhan? Siapakah mereka yang sanggup menjauhkan diri mereka dari rahmat dan cinta Allah? Siapakah mereka yang memalingkan muka mereka dari Allah? Itulah orang-orang yang hanya menahan diri mereka dari maksiat dalam bulan Ramadhan dan kembali kepada maksiat pada bulan-bulan selepas itu. Itulah orang-orang yang rugi serugi-ruginya.

Kita meminta perlindungan dari Allah dari perkara tersebut.

Oleh itu, saya menyeru kepada saudara-saudara sekelian, dan juga diri saya, agar jangan menjerumuskan diri kita dalam perkara maksiat apabila kita menyambut kegembiraan bulan Syawal ini. Jauhlah dari perkara-perkara yang boleh membawa kemurkaan dari Allah. Jauhkanlah diri kita dari sambutan-sambutan Hari Raya yang mengandungi unsur maksiat seperti pergaulan bebas lelaki dan wanita, nyanyian dan tarian yang melanggar batas agama dan sebagainya. Marilah kita menjadi orang Islam yang sejati. Kita kota apa yang telah kita ikrarkan, iaitu taat kepada Allah dan RasulNya. Semoga kita tidak termasuk dalam golongan yang hanya berkata kami beriman dengan mulutnya tetapi tidak dibuktikan dengan perbuatannya, kerana mereka itulah orang-orang yang munafik.

Baarakallah.....