Tajuk: Pendidikan anak-anak lelaki
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita mempertingkatkan rasa taqwa dan taat kita kepada Allah dengan mengerjakan semua suruhanNya dan meninggalkan semua laranganNya.
Hadirin sidang Jumaat yang saya muliakan,
Mendidik dan membekalkan anak-anak dengan ilmu pengetahuan agama, haruslah terus menjadi agenda kita yang paling utama. Sesuai dengan tanggungjawab yang dipikulkan kepada ibu bapa sebagaimana yang telah disabdakan oleh junjungan kita Nabi Muhammad saw yang bermaksud: "Setiap anak itu dilahirkan dalam keadaan fitrahnya, maka kedua orang tuanyalah yang akan menjadikannya
Nasrani, Yahudi, mahupun Majusi."
Tidak dapat dinafikan, selama ini pada umumnya para ibu bapa memang mengambil berat dalam memberikan pendidikan dan pembelajaran kepada anak-anak kita. Kita yakin hanya dengan ilmu dan pendidikan sahajalah, yang dapat menyelamatkan anak-anak kita dari kegelapan dan kejahilan.
Tetapi hadirin sidang Jumaat yang saya muliakan, dalam soal pendidikan ini, ada satu tren yang harus menjadi keperihatinan kita. Kita dapati kini nisbah anak-anak perempuan yang melanjutkan pelajaran mereka di pusat-pusat pengajian tinggi, melebihi nisbah kaum lelaki.Di mana sekarang ini kita lihat lebih ramai para lulusan dan para graduan terdiri dari kaum Hawa.
Sebaliknya anak-anak lelaki pula, seolah-olah kehilangan arah atau tujuan hidup. Anak lelaki yang diharapkan menjadi pemimpin negara dan ketua keluarga nampaknya lebih banyak memenuhi penjara dan pusat pemulihan akhlak. Lebih menyedihkan lagi, mereka yang diharapkan menjadi pemimpin-pemimpin keluarga, sudah tidak dapat melaksanakan tanggungjawab kepada keluarga mereka, lalu berlakulah keruntuhan rumahtangga dan anak-anak yang terbiar tanpa pendidikan dan pembelajaran. Mereka sudah tidak mampu lagi melaksanakan amanah dan tanggungjawab mereka dengan sempurna. Memang betullah sabda junjungan kita Nabi Muhammad s.a.w:
"Jika diberikan sesuatu tugas atau amanah kepada yang bukan ahlinya maka nantilah saat kehancurannya."
Hadirin sidang Jumaat yang saya muliakan,
Kejayaan yang dicapai oleh anak-anak perempuan kita bukanlah terjadi tanpa sebab musababnya, begitu juga kemunduran yang berlaku kepada pemuda-pemuda kita, pasti ada sebab dan musababnya juga. Kalaulah kita periksa dengan teliti latar belakang anak-anak perempuan yang berjaya dalam pembelajarannya hingga ke menara gading, kita akan dapati kejayaan mereka itu banyak disebabkan dari asuhan dan disiplin yang telah ditanamkan oleh orang tua mereka semenjak kecil lagi. Mereka diberikan disiplin yang ketat, baik dari sudut pembelajarannya mahupun dari segi pergaulannya. Disiplin yang ditanamkan inilah yang telah menghasilkan kejayaan-kejayaan mereka. Sebaliknya, anak lelaki pula mungkin terlalu diberikan kebebasan dan mengikut kemahuan sendiri. Mereka bebas menentukan waktu pergi dan pulang mereka. Mereka bebas untuk memenuhi kemahuan dan kehendak mereka, segala kesilapan dan kesalahan mereka tidak begitu diambil berat oleh kedua orang tua mereka. Sehingga kelalaian inilah yang membawa kepada hasil yang kita rasakan sekarang ini, iaitu keruntuhan akhlak dikalangan mereka, dan bilangan golongan lelaki yang masuk ke dalam pusat-pusat tahanan semakin bertambah, begitu juga dengan kadar penceraian yang semakin meninggi, ini semua disebabkan ketua keluarga tidak lagi dapat melaksanakan tanggungjawabnya dengan berkesan.
Hadirin sidang Jumaat yang saya muliakan,
Marilah kita renungkan sejenak akan cara kita mendidik anak-anak lelaki kita selama ini. Jika kita telah tersilap, bolehkah kita segera membetulkannya? Sudahkah kita tanamkan dalam jiwa mereka rasa tanggungjawab yang perlu mereka miliki? Sudahkah kita didik mereka dengan peraturan dan disiplin yang dapat membantu akhlak dan tingkah laku mereka? Sejauh manakah
usaha kita dalam membimbing dan membentuk kerohanian mereka? Sehingga menjadi anak-anak yang soleh dan taat kepada agama yang mereka anuti? Sejauh mana pula latihan yang telah kita berikan kepada mereka agar dapat berdikari dalam melaksanakan tanggungjawab tersebut?
Hadirin sidang Jumaat rahimakumullah,
Mungkin kita terbawa-bawa dengan pendapat tradisional bahawa anak lelaki mesti diberi kebebasan sepenuhnya. Sedangkan anak perempuan harus dikongkong. Mungkin ada kebenarannya. Tetapi dalam Islam, kita dianjurkan agar anak-anak kita diberikan pendidikan yang seimbang. Ini bermakna anak-anak tidak diberi kebebasan sepenuhnya dan juga tidak dikongkong terlalu sangat. Terlalu banyak kebebasan akan menyebabkan anak kita terikut-ikut dengan budaya tidak sihat di luar rumah. Terlalu mengkongkong kebebasan pula akan menyekat anak tersebut dari menimba pengalaman di luar.
Seorang ibu bapa yang bijaksana akan mengetahui dimana batas kebebasan yang boleh diberikan kepada anak-anak. Sememangnya kita harus mengetahui dengan siapakah mereka berkawan, terutama apabila anak-anak tersebut sudah memasuki alam remaja. Kita hendaklah mengetahui kemana mereka pergi apabila keluar rumah. Tetapi janganlah kita terlalu sekat pergerakan mereka. Apabila kita melarang mereka keluar, kita hendaklah memberikan sebab-sebab yang munasabah agar mereka dapat memahami.
Jadilah kawan bagi anak remaja kita. Tetapi janganlah terikut-ikut dengar gaya mereka. Kita harus menunjukkan bahawa kita masih orang tua mereka yang wajib mereka taati dan hormati. Untuk mendapat penghormatan mereka, kita harus menunjukkan contoh yang baik. Cara kita memimpin keluarga kita akan menentukan bagaimana anak-anak kita akan membesar kelak.
Firman Allah s.w.t dalam surah At-Taghabun, ayat 15:
"Sesungguhnya hartamu dan anak-anakmu adalah ujian bagi kamu. Dan disisi Allah jualah ganjaran yang besar."
Barakallah...