13 April
2001


Pendidikan Anak-Anak Kecil

Saudara-saudara kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Marilah kita semua bertaqwa kepada Allah dengan taqwa yang sebenar-benarnya. Taqwa itulah jalan bagi kita yang harus kita ambil jika kita inginkan agar amalan-amalan kita diterima dan diridai Allah. Dari itu kerjakanlah segala perintah Allah dan jauhilah segala larangan-larangan-Nya.

Kita semua mengharapkan agar kita dikurniakan Allah dengan keturunan yang baik, yang akan jadi pelanjut keluarga dan keturunan kita, generasi penerus bagi kehidupan bangsa dan negara. Malah yang kita harap-harapkan ialah anak yang saleh yang dapat mendoakan kita bila kita telah kembali menemui Allah , Pencipta kita. Sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w :

Yang bermaksud : "Jika seorang anak Adam meninggal dunia, putuslah segala amalannya kecuali dari tiga perkara, sadaqah jariyah, ilmu yang bermanfaat dan anak yang saleh yang mendoakannya". (Hadis riwayat Bukhari dan Muslim).

Mendapat anak yang baik ini adalah harapan setiap orang. Di dalam al-Quran, Allah telah menceritakan kepada kita tentang Nabi Zakaria a.s yang telah lanjut usianya tetapi masih belum dikurniakan Allah dengan anak yang akan menjadi pelanjut keturunannya. Nabi Zakaria telah berdoa kepada Allah agar diberikan anak yang baik sebagaimana firman Allah dalam surah ali Imran, ayat 38 :

Yang bererti : "Di sanalah Zakaria berdoa kepada Tuhannya, katanya : Ya Tuhanku ! Berilah aku keturunan yang baik daripadaMu. Sungguhnya, Engkaulah Yang memperkenankan segala doa".

"Anak yang baik" yang tersebut dalam doa Nabi Zakaria itu mengandungi makna yang luas. I a bererti baik dari segi jasmaninya iaitu sihat dan sempurna, baik dari segi rohaninya iaitu beriman dan bertaqwa kepada Allah, cerdas dan berakhlak mulia, yang kita namakan anak yang saleh.

Saudara-saudara kaum muslimin yang dimuliakan,

Tercapai atau tidaknya keinginan dan harapan kita itu adalah bergantung kepada bagaimana kita melayani, mengasuh dan mendidik anak-anak kita itu, mereka yang telah Allah jadikan sebagai amanah yang diberikan kepada kita untuk memelihara pertumbuhan dan perkembangannya. Tidak dinafikan bahawa Allah telah menetapkan perjalanan hidup manusia sejak dari ia berada dalam kandungan hingga ia lahir, dewasa dan akhirnya tua dan kemudian kembali ke asalnya menemui Penciptanya, iaitu Allah swt. Sungguhpun demikian, kita tidak tahu apa yang ditetapkan Allah bagi kita dan Allah swt menyuruh manusia berikhtiar dan berusaha menurut kemampuannya selama perjalanan hidupnya di dunia ini. Firman Allah dalam surah Ar-Ra'd, ayat 11 :

Yang bermaksud : "Sungguh, Allah tiada akan merubah keadaan sesuatu kaum, jika tiada mereka merubah keadaannya sendiri".

Maaasyiral Muslimin rahimakumullah, Cuba kita perhatikan kehidupan anak-anak kita sejak mereka dilahirkan. Mereka mengalami proses pertumbuhan dan perkembangan baik dari aspek jasmani mahupun rohaninya. Mereka akan melalui beberapa tahap mulai dari masa bayi. Masa ini mereka memerlukan layanan sepenuhnya dari ibu bapa mereka, seperti makan minum, pemeliharaan kesihatan dan kasih sayang.

Setelah mereka melewati masa bayi, sudah pandai berjalan , berkata-kata dan bermain sendiri, maka kebergantungan mereka dengan ibu dan bapa mereka menjadi berkurangan. Pada masa ini mulalah kelihatan emosi-emosi dan sikap serta tingkah laku mereka. Semakin menonjol nampak perasaan inginkan perhatian dari orang disekeliling mereka, khususnya dari kedua ibu bapa.

Hal-hal ini adalah merupakan sebahagian dari perkembangan normal anak-anak. Pada masa ini selain daripada layanan jasmani seperti ketika mereka masih bayi, mereka juga sangat memerlukan layanan yang berupa kasih sayang dari ibu bapa mereka. Akan tetapi perlu diambil perhatian, dalam memberikan kasih sayang itu jangan pula terlalu berlebih-lebihan memanjakan mereka sehingga dituruti apa sahaja kehendak dan kemahuan mereka, hal ini akan menjadikan anak-anak itu besar dengan sifat manja dan keanak-anakan yang akan menimbulkan kesulitan dalam pergaulan mereka nanti. Yang patut ditanam dan dikembangkan ialah rasa kasih sayang antara anak itu dan orang tuanya.

Selanjutnya, mereka akan menempoh pula alam persekolahan, masa mereka membesar dan akan ingin pula berdiri sendiri lepas dari ikatan dan kawalan orang tuanya. Mereka akan mengalami perubahan jasmani yang mempengaruhi jiwa mereka. Jadi ibu bapa juga hendaklah menyesuaikan pendidikan anak-anak itu sejajar dengan perubahan yang terjadi. Sebagai orang tua mereka, kita haruslah bersikap sebagai pendidik anak-anak kita, tidak selalu menuntun mereka, buat itu, buat ini, jangan buat itu, jangan buat ini, didiklah anak-anak kita agar mereka dapat melihat dan membezakan sendiri apa yang baik dengan yang buruk, agar mereka nanti boleh berdiri sendiri dan tidak sentiasa bergantung kepada orang tuanya.

Dalam hubungan ini, anak-anak itu bolehlah diberikan kebebasan yang terbatas dalam erti kata kita memberikan mereka bimbingan, nasihat dan teguran. Juga walau bagaimana seboknya kita, kita hendaklah memberikan masa untuk kita berkomunikasi dengan anak-anak kita, berbual-bual dan berbincang dengan mereka dalam perkara-perkara yang bermanfaat. Anak-anak itu juga hendaklah diberikan kesempatan untuk berfikir, mengeluarkan pendapat dan merasakan bahawa mereka adalah salah satu dari anggota keluarga yang dihargai.

Saudara-saudara yang dirahmati Allah,

Laksanakanlah perintah Allah kepada kita dalam surah At-Tahrim, ayat 6 :

Yang ertinya : "Hai orang-orang yang beriman ! Peliharalah dirimu dan keluargamu dari api neraka. Yang bahan bakarnya ialah manusia dan batu-bata, dijaga para malaikat yang dahsyat, Yang tiada durhaka dalam melakukan perintah yang diberikan Allah kepadanya. Dan melakukan apa yang diperintahkan".

Didiklah anak-anak kita dengan baik. Mereka dilahirkan bagaikan kertas putih tanpa coretan apa-apa sifat dan watak. Kitalah yang akan mewarnakan mereka. Bagaimana kita mewarnai mereka, kemungkinan besar begitulah juga mereka nanti akan mewarnakan anak-anak mereka. Dan begitu jugalah bagaimana mereka akan melaksanakan tanggung jawab mereka kepada kita, ibu bapa mereka apabila kita berada dalam masa tua kita nanti. Moga-moga kita sekelian diberikan Allah taufiq dan hidayahNya agar kita dapat menjalankan dengan sempurna amanah Allah mendidik anak-anak kita. Amin.

Barakallahu ........