13 August 99

 



Tajuk:" Prinsip hidup"


Sidang Jumaat yang dirahmati Allah

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan berusaha mengerjakan apa yang disuruh dan meninggalkan apa yang dilarang, semoga kamu mendapat keredhaanNya.

Allah telah mencipta manusia dengan sebaik-baik rupa dan bentuk. Dan Allah telah memuliakan manusia atas segala makhluk-makhlukNya yang lain. Anugerah kemulian manusia ini adalah disebabkan kemampuannya menguasai kebijaksanaannya dengan akal fikiran. Dengan akal fikiran, manusia mampu membezakan antara yang baik dan buruk, antara yang benar dan salah, antara yang hak dan batil.

Apabila akal ini sentiasa dimanfaatkan dan diasah sehingga mencapai tahap kematangan maka akan bertambahlah pengetahuan dan pengalaman. Seterusnya akan bertambah tinggi pula martabat iman dan islam seseorang itu. Rasulullah s.a.w. bersabda:

Ertinya: Tiada sesuatu yang diciptakan oleh Allah yang lebih mulia dari akal.

(Hadith riwayat Tabrani)

Dan sabda baginda lagi:

Maksudnya: Tiada tandingan apa yang seseorang itu boleh mendapati dari akalnya. Ia memberi petunjuk kepada yang empunya akal tersebut atau menolaknya dari bencana.

Oleh kerana itulah orang yang berilmu pengetahuan mendapat sanjungan tinggi daripada Allah sebagaimana firmanNya:

"Apakah sama orang yang berilmu pengetahuan dengan orang yang tidak berilmu pengetahuan."

Maka seseorang yang beramal dengan ilmu pengetahuan, mengetahui hukum dan fadhilat amal tersebut, adalah lebih baik dari orang yang beramal tanpa ilmu dan hanya mengikut-ikut sahaja. Orang yang beramal dengan ilmu akan mengetahui mengapa ia beriman dan diperintahkan oleh Allah melakukan tuntutan agama.

Atas dasar inilah Islam sentiasa mengesa setiap Muslim agar mencari ilmu pengetahuan. Dengan ilmu pengetahuan seseorang akan menajdi manusia yang berguna untuk dirinya dan masyarakat.

Sidang Jumaat yang mulia sekelian,

Kehidupan seseorang itu menjadi mantap dan berjaya jika ia mempunyai tujuan hidup dan berpendirian. Atau dalam perkataan lain, ia mempunyai prinsip hidup. Hidup manusia di dunia ini berpandukan prinsip. Seorang pujangga telah berkata:

Ertinya: Hidup itu dengan prinsip. Pilihlah prinsip kamu nescaya tercoraklah hidup kamu.

Ada orang yang prinsipnya suka kepada kebaikan, maka ia akan hidup dalam kebaikan dan akan terus menyokong kebaikan. Ada orang yang suka kepada kebatilan maka ia akan selalu menyokong kebatilan dan akan hidup sebagai orang yang batil. Tetapi ada juga orang yang langsung tidak mempunyai prinsip dalam hidupnya. Orang semacam ini hidup terumbang-ambing tidak mempunyai haluan atau pegangan. Orang semacam ini benar-benar mensia-siakan hidupnya yang sangat berharga.

Sidang Jumaat yang mulia sekelian,

Sebagai Muslim Mukmin, kita mestilah mempunyai panduan hidup. Dalam memilih prinsip hidup pula, kita hendaklah ingat bahawa ia seharusnya sesuai dengan kehendak agama. Atau dengan lain perkataan ianya seharusnya dambil daripada penghayatan kita terhadap syariat Allah s.w.t. kerana kita semua yakin bahawa yang sesuai dan terbaik buat kita adalah apa yang telah ditentukan oleh Allah bagi kita.

Sesuatu yang mesti diambil kita oleh setiap kita dalam memilih prinsip ialah amar ma'ruf dan nahi munkar, atau menyuruh kepada kebaikan dan menolak kemunkaran. Dengan menghayati prinsip ini, seseorang itu akan sentiasa mendekatkan dirinya kepada Allah dalam segala gerak kerjanya, menjauhi larangan Allah dan selalu berusaha mengerjakan suruhanNya. Orang semacam ini Allah akan memberinya kekuatan kebatinan dan fikiran yang luas. Ini akan membuatnya mampu mengatasi segala masalah yang ditempuhi dalam hidupnya.

Kekuatan ini sebenarnya adalah kekuatan dari Allah yang disematkan dijiwa hambaNya yang beriman. Dengan kekuatan ini, ia akan mampu menempuh dengan tabah dan tenang sebarang masalah hidup walau bagaimana rumit sekalipun.

Segala tindak-tanduknya akan berpandukan panduan Ilahi, berpandukan iman yang teguh kepada yang Maha Berkuasa, yang mempunyai sifat Rahman dan Rahim kepada hamba-hambaNya, yang sentiasa berada disisi hambaNya apabila diminta bantuan.

Orang yang beriman akan sentiasa menyerahkan panduan Ilahi ini untuk mempimpin jiwanya. Ia menghadapi musuh hawa nafsunya dengan kekuatan ini. Ia tidak akan menjadi lemah bahkan ia akan sentiasa mendapat pertolongan Allah dalam segala apa yang ia lakukan.

Allah berfirman didalam Kitab Suci:

Maksudnya: Dan setiap yang bertaqwa (yang memenuhi kewajipan) kepada Allah, maka Allah akan membuka untuk orang itu jalan keluar dari sebarang kesulitan yang ditempuhinya. Dan Allah akan memberikan rezeki kepadanya dari sumber yang tiada pernah difikirkan.

Ini memberikan kepastian bahawa orang yang mengikuti pimpinan Tuhan itu sentiasa terbuka baginya jalan keluar bagi kesulitan yang dihadapinya. Perasaan keyakinan akan sentiasa wujud dalam sanubari mukmin bahawa dunia dengan segala isinya telah dicipta oleh Allah bagi kebaikan manusia.

Disinilah terikatnya seseorang mukmin itu dengan prinsip hidupnya, iaitu kita semua adalah hamba Allah. Maka kita tidak wajar bermegah membesarkan diri kita atau menyombong. Tidak wajar kita menghina sesiapa pun.

Allah s.w.t melarang seseorang mukmin itu dari menyombong diri atau menghina orang lain. Tidak sesuai seseorang mukmin itu memandang saudara Islamnya yang lain sebagai pesaing sehingga dapat mengganggu rezekinya. Sebaliknya, ia harus melihat mereka sebagai pelengkap dalam kehidupannya kerana saling memerlukan. Apatah lagi kita semua beriman dengan prisip hidup yang sama sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

'Orang Mukmin adalah saudara bagi orang mukmin yang lain. Ia tidak boleh menzalimi atau menganiayai saudaranya, dan ia membiarkannya dalam kehinaan atau menipunya.

Dan sabda Baginda lagi:

Orang mukmin dengan mukmin yang lain seumpana satu bangunan, saling menguatkan satu sama lain.

Selagi kita ini beriman kepada Allah dan menerima syariat Allah sebagai prinsip hidup kita, kita akan tetap terpandu dalam hidayah Allah, insya Allah.

Barakallah...