13 Oktober
2000


Mendidik anak-anak mengikut lunas Islam

Sidang Jumaat yang mulia,

Marilah kita meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah, dengan melaksanakan segala suruhanNya dan menjauhi segala laranganNya, semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang diredhai Allah.

Saudara-saudara sekelian,

Sekarang ini semakin ramai ibu bapa yang mengeluh kerana akhlak anak-anak mereka. Ramai ibu-bapa yang terperanjat anak-anak mereka tiba-tiba berubah dari anak yang dengar cakap dan baik kepada anak yang lebih suka bergaul dengan kawan-kawannya dari keluarganya sendiri. Kanak-kanak tersebut berubah kepada seorang yang hampir tidak dapat dikawal oleh ibu-bapanya. Perubahan ini biasanya berlaku apabila kanak-kanak tersebut memasuki alam remaja, ketika mereka berumur 14 hingga 18 tahun. Apakah yang berlaku? Kenapakah mereka bertukar akhlak dan personaliti dengan tiba-tiba? Salah siapakah? Salah diri budak itu sendiri? Atau salah kedua ibu bapanya? Atau adakah kita hendak menyalahkan keadaan sekeliling? Inilah soalan-soalan yang ingin dikupaskan pada khutbah Jumaat kali ini.

Saudara-saudara sekelian,

Sememangnya kita tidak dapat menafikan bahawa perubahan memang tidak dapat dielakkan selagi mana kita hidup di dunia ini. Bayi membesar menjadi kanak-kanak. Kanak-kanak membesar menjadi remaja. Remaja menjadi orang dewasa dan akhirnya menjadi ibu atau bapa. Inilah putaran kehidupan di dunia ini. Ini tidak dapat dielakkan. Akan tetapi, perkara yang penting adalah bagaimana hendak mendidik anak-anak tersebut agar menjadi seorang mukmin yang akan memberi manfaat kepada ugama dan masyarakat kelak.

Seorang kanak-kanak apabila mencapai umur akil baligh akan mengalami berbagai perubahan dalaman dan luaran. Ia akan merasa kebingungan. Keadaan fizikalnya seperti orang dewasa, tetapi emosi dan pemikirannya masih lagi keanak-anakkan. Lumrahnya, dia akan bergaya seperti orang dewasa. Tetapi tanpa akal yang matang dan bimbingan yang baik, remaja tersebut dengan mudah terpedaya dengan berbagai-bagai unsur negatif disekelilingnya. Dan sekarang ini, saudara-saudara sekelian, terlalu banyak unsur-unsur negatif di sekeliling kita. Ia seperti ombak besar yang melanda pantai tanpa hentinya, merubah bentuk pantai tersebut dengan pantas. Lihat sahaja, bagaimana pergaulan bebas antara lelaki dan wanita menjadi satu perkara yang biasa, malah digalakkan oleh sesetengah golongan. Lihat sahaja, bagaimana mengikut tren pakaian yang mendedah aurat amat-amat disanjung. Ia menjadi simbol kemodenan seseorang. Lihat sahaja, bagaimana orang-orang yang ingin mengamalkan prinsip agama Islam dipandang sebagai kolot dan ketinggalan zaman. Bagaimana sesetengah orang Islam lebih mengutamakan anak-anak mereka belajar muzik dari tahu membaca Al-Quran. Dimana sahaja kita pandang, kita akan melihat unsur-unsur negatif ini. Kita tidak mahukan unsur-unsur ini mempengaruhi jiwa dan akal anak-anak kita. Tetapi adakah saudara-saudara sedar, bahawa kita dengan rela menjemput unsur-unsur negatif itu memasuki rumah kita. Bagaimana? Bagaimana unsur-unsur negatif itu dapat memasuki rumah-rumah kita? Jawapannya adalah, melalui kotak televisyen.

Saya ingin mengajak saudara-saudara sekelian berfikir sebentar dan bermuhasabah. Selama ini kita menontoh televisyen, berapa banyakkah rancangan yang mendatangkan faedah yang kita tonton, dan berapa banyakkah rancangan yang tiada faaedah, malah membawa bersama unsur-unsur negatif? Berapa banyakkah faedah dari sudut ilmu yang dapat kita raih dari televisyen, dan berapa banyakkah waktu yang dibuang hanya untuk menonton rancangan sebagai hiburan semata-mata. Berapa banyakkah rancangan yang memaparkan gaya hidup yang bertentangan dengan Islam?

Inilah yang menjadi santapan anak-anak kita tiap-tiap hari. Mereka melihat dan menonton gaya hidup yang bukan cara Islam di televisyen. Kita mengaku bahawa kita menghantar anak-anak kita ke kelas-kelas agama. Tetapi dalam masa yang sama, lebih banyak waktu dihabiskan oleh kanak-kanak tersebut dihadapan televisyen dari belajar agama. Adakah kita merasa pelik kemudian yang anak-anak tersebut bertukar dan meniru cara hidup yang bertentangan dengan Islam? Sedangkan kita sendiri, secara sedar dan tidak sedar, membiarkan mereka terpesona dengan gaya hidup tersebut di hadapan televisyen.

Saudara-saudara sekelian,

Sebagai ibu-bapa kita bertanggung jawab untuk mencorakkan anak kita apa yang kita kehendaki. Sudah tentunya kita mahu mencorakkan mereka dengan corak Islam. Oleh kerana itu kita menghantar anak-anak kita ke madrasah-madrasah masjid atau ke kelas-kelas agama. Akan tetapi ketahuilah wahai saudara-saudara sekelian, sebenarnya tugas memberikan pendidikan agama kepada anak-anak kita tidak selesai hanya dengan menghantar anak-anak kita ke kelas-kelas agama. Kita perlu melakukan tiga perkara berikut:

Pertama: Kita memastikan kita juga mengamalkan cara hidup Islam. Tidakkah kita malu apabila anak-anak kita diajar di kelas-kelas agama untuk menutup aurat, sedangkan kita dan isteri-isteri kita membuka aurat sewenang-wenangnya. Dan dalam masa yang sama kita ingin anak-anak kita mengamalkan Islam? Jauh panggang dari api.

Kedua: Kita kaji sendiri, berapa jamkah anak-anak kita belajar agama, dan berapa jamkah dia terdedah dengan unsur-unsur negatif melalui televisyen, video dan komputer. Adakah kita bertanya kepada anak-anak kita apa yang dipelajari di kelas-kelas agama? Adakah kita menggalakkan mereka mengamalkan apa yang mereka telah pelajari?

Ketiga: Apabila kita menyuruh anak-anak kita belajar agama, adakah kita juga meluangkan masa menghadhiri kelas-kelas agama untuk mendalaminya juga? Atau adakah kita seperti sebahagian ibu bapa yang cakap tak serupa buat.

Saudara-saudara sekelian,

Perangkaan tahun lepas menunjukkan bahawa hanya 40 pertaus kanak-kanak yang mendapat pendidikan agama di madrasah sepenuh masa, madrasah masjid dan kelas-kelas agama. Alhamdulillah mereka dididik dengan nilai-nilai murni dan ajaran Islam. Akan tetapi 60 peratus kanak-kanak Islam di Singapura tidak mendapat pendidikan agama. Ini bersamaan dengan hampir 35 ribu kanak-kanak Islam. Siapakah yang akan memberikan mereka pendidikan tentang Islam? Siapakah yang akan mengajar mereka solat? Siapakah yang akan memberitahu mereka yang halal dan haram dalam Islam? Siapakah yang mengenalkan mereka kepada Allah s.w.t? Kemana arah haluan mereka?

35 ribu kanak-kanak Islam yang tidak mendapat pendidikan agama Islam. Tanggung jawab siapakah untuk memberikan mereka pendidikan agama Islam? Adakah tanggung-jawab pemerintah? Tidak. Ia adalah tanggung-jawab kita sebagai ibu bapa. Kita wajib memastikan yang anak-anak kita diberi ilmu pengetahuan mengenai agama Islam yang mereka anuti. Kita tidak mahu keturunan kita kelak hanya menjadi Islam pada nama sahaja, sedangkan mereka tidak mengamalkan ajaran Islam. Kita tidak mahu anak-anak kita berasa malu menjadi orang Islam kerana mereka tidak tahu akan sejarah dan prinsip Islam sehingga dapat berbangga dengan ugama Islam. Sekiranya anak-anak kita tidak mengamalkan Islam, apakah alasan yang dapat kita berikan kepada Allah kelak di hari akhirat?

Masa-masa akan datang akan membawa bersama cabaran yang lebih besar untuk mendidik anak-anak kita dengan didikan agama Islam. Anak-anak kita akan lebih terdedah dengan budaya hidup yang tidak mengikuti landas Islam. Anak-anak kita akan mendapati sukar mencari waktu mempelajari ugama Islam. Maka kita mesti bersiap-sedia dari sekarang. Janganlah anak cucu kita kehilangan identiti mereka sebagai orang Islam. Janganlah biarkan anak-anak kita hanya Islam pada nama sahaja. Firman Allah s.w.t:

Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan.

Baarakallah......