"PERIBADI MUSLIM"
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersungguh-sungguh mempertingkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan beramal salih dan meninggalkan kejahatan dan kemungkaran. Dengan taqwa jugalah dapat menjadikan diri kita mempunyai keperibadian muslim yang sejati.
Saudara-saudara sekelian,
Allah s.w.t. telah mengangkat derajat umat manusia dipermukaan bumi ini dengan kedudukan yang sangat tinggi sebagai "khalifah fil ard" atau pempimpin di muka bumi. Dan khusus kita kaum muslimin dilebihkan oleh Allah sebagai umat yang terbaik yang ditampilkan di tengah-tengah umat manusia dipermukaan bumi ini. Akan tetapi kedudukan tinggi yang demikian, tentulah tidak dapat diperoleh sebagai hadiah melainkan harus diperjuangkan dan diusahakan.
Pada dasarnya hidup ini memang penuh dengan perjuangan, lebih-lebih lagi untuk menjadi umat yang terbaik amalan atau sebagai muslim yang berkeperibadian. Untuk mencapai kedudukan itu, banyak kita jumpa ayat-ayat Al-Quran atau pun hadis-hadis Rasulullah yang memberi panduan bagaimana menjadi muslim sejati itu, atau berkeperibadian muslim.
Antara lainnya firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fath ayat 29 yang bermaksud:
"Muhammad itu adalah utusan Allah dan orang-orang yang bersama dengannya adalah keras terhadap orang kafir, tetapi berkasih sayang sesama mereka, kamu liha mereka ruku' dan sujud mencari kurnia Allah dan keridhaannya, tanda-tanda mereka nampak pada muka mereka dari bekas sujud.
Sidang Jumaat sekelian,
Pada ayat tersebut dilukiskan tentang sifat dan ciri-ciri pengikut nabi Muhammad s.a.w, dan sebagai seorang yang berkeperibadian muslim sejati hendaklah mempunyai sikap dan pegangan dalam menghadapi segala keadaan dan situasi.
Keperibadian muslim yang diharapkan itu mempunyai ciri-ciri yang mantap dalam lima hal:
Pertama: akidah dan persatuan
Seorang muslim sejati mempunyai iman yang teguh dan kuat, tidak mudah goyah dan goncang, mempunyai cita-cita luhur yang tidak pernah pudar, sentiasa mengerjakan kebajikan, sabar menghadapi setiap cobaan dan sifat-sifat lain yang menunjukkan identiti dan keperibadian yang baik. Seorang muslim harus tegas menentukan halal dan haram, merasa bangga menjadi muslim yakni tidak malu dan menunjukkan akidahnya terhadap sesiapa pun.
Kedua: Sikap kasih sayang sesama muslim
Iaitu sikap suka tolong menolong, bantu membantu baik dalam bentuk perhataan mahupun perbuatan. Kasih sayang sesama muslim yang dilandasi persamaan akidah dan iman, bukan kerana keturunan, bangsa, harta dan kedudukan, sehingga pertolongan dan bantuan yang diberikan terhadapnya semata-mata kerana mengharap ridha Allah s.w.t. Bagi seorang muslim yang sedar dan penuh kasih sayang, tidaklah merasa sayang dan ragu-ragu menghulurkan tangan membantu saudara-saudara seagama, yakni memberikan apa yang mereka perlukan sesuai dengan kemampuan, dengan disertai keyakinan bahawa orang yang memberi lebih baik dari orang yang meminta.
Ketiga: Ruku' dan sujud (salat)
Sembahyang adalah ukuran Iman dan Islam sesaorang. Baik dan tidaknya iman sesaorang dapat dilihat melalui peraktik sembahyang sehari-hari. Ibadat sembahyang merupakan hubungan langsung antara hamba dengan Allah s.w.t, sebagai bukti penghambaan diri kepada Allah. Sembahyang juga merupakan penyertaan rasa syukur manusia kepada Allah atas segala nikmat yang dilimpahkan kepada kita manusia. Oleh itu marilah kita sentiasa menegakkan sembahyang lima waktu sehari semalam dengan memenuhi syarat dan rukunnya sehingga sembahyang kita memperoleh ridha Allah s.w.t.
Keempat: Mengharap ridha Ilahi
Dalam beribadat dan bahkan dalam kehidupan ini, seorang muslim sejati hendaklah selalu mengharap fadilat dan ridha Allah semata-semata sehingga semuanya itu dilakukan dengan niat ikhlas.
Kelima: Ada bekas sujud di wajahnya
Pada ciri kelima ini, ciri lahiriahnya dapat kita saksikan pada keindahan wajahnya yang seolah-olah memancar cahaya lantaran siraman air wuduk dan bekas sujud, yang dilakukan kerana semata-mata menurut perintah Allah. Secara bathiniah, kita yakin bahawa orang-orang yang sentiasa sujud, kelak di akhirat akan nampak bersinar cemerlang wajahnya. Akan tetapi orang yang tidak pernah sujud meskipun di dunia nampak bercahaya oleh kemerlapan hiasan yang dipakai, di akhirat ia akan nampak hitam pekat, kerana amalan di dunianya tidak dihiasi oleh kebiasaan sujud kepada Allah s.w.t.
Sidang Jumaat sekelian,
Demikianlah antara ciri-ciri sesaorang yang mempunyai keperibadian muslim. Dan jika telah mampu kita praktikkan dalam kehidupan kita sehari-hari, maka janji Allah bagi mereka tempatnya syurga, yang di dalamnya mengalir sungai-sungai dan kekal di dalamnya. Semoga kita semua mampu mengatur diri kita menuju tempat yang diredhai Allah s.w.t.
Allah berfirman yang bermaksud:
"Dan kami turunkan Al-Quran yang menjadi ubat penawar dan rahmat kepda orang yang beriman kepadanya, dan Al-quran itu tidaklah menambah kepada orang-orang yang zalim selain kerugian" (Al-Isra; ayat 82)
Barakallah.......