15 Jun
2001


Pencemaran Alam

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Antara larangan Allah adalah melakukan kerosakan di muka bumi. Allah s.w.t mencipta manusia sebagai khalifah di muka bumi ini. Tugas sebagai khalifah adalah memakmurkan bumi, bukan untuk melakukan kerosakan. Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan sepertimana firman Allah dalam surah Baqarah, ayat 205:

Ertinya: Dan apabila dia berpaling, dia berusaha melakukan kerosakan di muka bumi ini dan menghancurkan tanaman dan keturunan. Dan Allah tidak suka kepada orang-orang yang melakukan kerosakan.

Antara mereka yang melakukan kerosakan di muka bumi ini adalah mereka yang membuat pencemaran alam. Sekarang ini, jika kita lihat di sana-sini, sudah banyak berlaku pencemaran alam.

Mengikut kajian, umur dunia ini sudah hampir 4.5 billion tahun. Dalam masa yang amat lama tersebut, manusia hanya wujud tidak sampai satu peratus pun dari umur dunia. Akan tetapi kerosakan yang dilakukan manusia, terutama pada abad yang lepas, adalah terlalu banyak sekali sehingga merubah keadaan dunia. Cuaca semakin panas bersebabkan gas karbon dioksida yang semakin banyak dikeluarkan oleh manusia. Setiap hari, berjuta-juta ton gas racun dikeluarkan oleh manusia dan dilepaskan ke udara. Ia terhasil dari berjuta-juta kereta dan faktori-faktori. Maka tidak menghairankan kita mengalami perubahan cuaca yang mendadak. Baru empat tahun lepas kita mengalami fenomena El-Nino dimana keadaan udara yang kering dan panas menyebabkan banyak hutan terbakar. Kita mengalami jerebu. Kemudian kita mengalami pula fenomena La-Nina, dimana hujan turun dengan lebat sehingga banyak tempat di lain-lain negara mengalami banjir.

Pencemaran manusia terhadap alam bukan sahaja berlaku di udara. Bahkan di darat juga. Semakin banyak pokok ditebang. Hutan semakin tipis dan kecil. Tanah yang asalnya dibuat cucuk tanam diubah penggunaannya untuk perkara-perkara lain. Akibatnya, suhu panas semakin naik dan udara semakin tidak segar. Ini adalah kerana hutan adalah seperti paru-paru dunia. Ia membantu mengeluarkan udara segar oksigen dan menghapuskan udara racun karbon dioksida. Semakin kecil hutan, semakin sedikit gas oksigen dihasilkan. Ini diburukkan lagi oleh banyaknya pembakaran yang dilakukan oleh manusia. Pembakaran menghapuskan gas oksigen tersebut dan menghasilkan gas karbon dioksida yang beracun.

Hutan yang semakin kecil juga mengakibatkan kepupusan binatang-binatang liar. Sebelum ini, binatang-binatang seperti monyet, harimau dan sebagainya mudah didapati di hutan. Sekarang jika tidak berhati-hati, haiwan-haiwan tersebut akan terus pupus dari muka bumi. Mereka hanya tinggal pada nama sahaja, seperti mana berlaku ke atas burung Dodo yang telah pupus pada awal kurun yang lepas disebabkan perbuatan manusia. Manusia memburunya dan membunuhnya dengan kejam, hanya untuk memuaskan nafsu mereka. Sejauh ini sebanyak 226 jenis burung telah pupus ditangan manusia. Apakah ini yang dinamakan khalifah Allah di muka bumi? Membunuh makhluk lain sehingga terpupusnya makhluk tersebut?

Saudara-saudara sekelian,

Manusia bukan sahaja melakukan kerosakan di udara dan bumi, bahkan manusia juga melakukan kerosakan di laut. Lihat sahaja bagaimana setiap kali kapal tangki minyak pecah. Beribu-ribu ton minyak mentah keluar dan mencemarkan laut sehingga membunuh binatang laut. Lihat sahaja bagaimana kapal-kapal yang merentas laut. Setiap kapal menghasilkan sampah dan kotoran yang kadang-kadang dibuang begitu sahaja ke laut sehingga mencemarkannya. Aktiviti manusia di laut menganggu kehidupan di lautan. Sebagai contoh, sebelum adanya kapal yang menggunakan mesin untuk bergerak, ikan paus boleh berhubung sesama sendiri walaupun jarak mereka beribu-ribu kilometer jauhnya. Tetapi sekarang, manusia telah mencemarkan laut dengan bunyi yang bising sehingga jarak percakapan ikan paus terbatas kepada berapa kilometer sahaja. Ini sama jika kita misalkan orang yang boleh mendengar dengan baik, tiba-tiba pendengaran tersebut diangkat sehingga dia menjadi hampir pekak. Inilah hasil perbuatan manusia sehingga makhluk yang lain di atas muka bumi ini merana. Apakah ini yang dinamakan khalifah Allah di muka bumi?

Bukan setakat itu sahaja, manusia semakin banyak menangkap ikan sehingga kalau dahulunya ikan mudah ditangkap dekat perairan yang cetek, sekarang ini nelayan-nelayan perlu keluar jauh ke laut dalam untuk menangkap ikan. Hatta ikan yang begitu banyak pun mejadi sedikit dek perbuatan manusia.

Saudara-saudara sekelian,

Mengapakah berlaku demikian? Mengapakah berlaku pencemaran dan kerosakan alam di tangan manusia? Tidakkah kita ini dilantik menjadi khalifah di muka bumi untuk memakmurkannya? Sebaliknya kita menghancurkannya. Allah s.w.t berfirman dalam surah Rum, ayat 41:

Ertinya: Telah timbul berbagai kerosakan dan bala bencana di darat dan di laut dengan sebab apa yang telah dilakukan oleh tangan manusia; (timbulnya yang demikian) kerana Allah hendak merasakan mereka sebahagian dari balasan perbuatan-perbuatan buruk yang mereka telah lakukan, supaya mereka kembali (insaf dan bertaubat).

Ayat ini jelas memberitahu kita bahawa pencemaran yang berlaku di atas muka bumi ini adalah bersebabkan perbuatan manusia. Dan manusia lah yang akan merasai padahnya. Ini agar manusia sedar tentang perbuatan buruk mereka dan kembali insaf dan tidak melakukan kerosakan di atas muka bumi.

Sesungguhnya perbuatan mencemarkan alam adalah dilarang dalam Islam. Dan sesungguhnya punca pencemaran alam adalah sikap tamak manusia. Manusia semakin tamak dengan berbagai-bagai hiasan dunia. Manusia semakin tamak dengan harta. Untuk mendapat harta manusia perlu menggerakkan ekonomi dengan lebih pantas lagi. Dan untuk menggerakkan ekonomi lebih pantas lagi, sumber-sumber semulajadi alam diambil dan dieksploitasikan. Hutan-hutan ditebas. Kilang-kilang semakin rancak dengan mengeluarkan asap-asap beracun. Semakin banyak kenderaan di jalan raya. Seolah-olah manusia dengan perlahan-lahan membunuh diri mereka sendiri dan membunuh makhluk-makhluk lain di atas muka bumi.

Ketahuilah saudara-saudara sekelian, bahawa orang yang beriman tidak akan melakukan kerosakan di atas muka bumi ini. Ini adalah kerana Islam adalah ugama keamanan. Ia memberi keamanan terhadap manusia dan sekelian makhluk lain yang berkongsi hidup dengan kita di bumi ini. Malah Rasulullah s.a.w diutus sebagai rahmat bagi sekelian alam. Maka orang yang beriman tidak akan melakukan kerosakan. Mereka disifatkan oleh Allah dalam surah Haj, ayat 41:

Ertinya: Mereka yang jika Kami berikan mereka kekuasaan memerintah di bumi nescaya mereka mendirikan sembahyang serta memberi zakat, dan mereka menyuruh berbuat kebaikan serta melarang dari melakukan kejahatan dan perkara yang mungkar. Dan (ingatlah) bagi Allah jualah kesudahan segala urusan.

Marilah kita kurangkan pencemaran alam dengan memelihara dan menghargai sumber-sumber alam yang masih kita miliki. Marilah kita jadikan kehidupan kita di dunia ini lebih baik lagi, untuk diri kita dan untuk makhluk Allah yang lain. Itulah yang dinamakan khalifah Allah di muka bumi.

Baarakallah......