15 October 99

 



Tajuk: Solat Jamaah dan kepentingan nya dalam membentuk penyatuan.

Islam menggalakkan umatnya supaya bersatu dalam setiap perkara, ini dapat kita lihat dari anjuran nabi Muhammad ( SAW ) supaya kita mengerjakan solat secara berjamaah,dimana solat jammah adalah diantara ibaadh penting yang perlu dipelihara dan dianjurkan. Selain mempunyai fadhilat atau pahala yang besar, ia juga mempunyai beberapa hikmah tersendiri, diantaranya :

Kalau kita lihat hikmahnya dari sudut kemasyarakatan ia terbukti amat berkesan di dalam menjalinkan hubungan mesra di antara individu muslim. Hubungan mesra ini memainkan peranan besar di dalam kerjasama yang erat dan semangat saling membantu di antara sesama Islam.

Dalam hal ini kita diperlihatkan oleh rasul saw dalam sebuah riwayat yang sahih, dari hadis riwayat bukhari bagaimana baginda ingin membakar rumah orang-orang yang tidak hadir ke masjid baginda untuk solat berjemaah. Walaupun baginda tidak pernah melaksanakan keinginan baginda itu akan tetapi kita tentu maklum akan apa yang tersirat dalam maksud kata-kata baginda itu. Situasi kaum muslimin pada ketika itu memerlukan kepada kesatuan yang jitu untuk menangani cabaran menghadapi orang-orang musyrikin dan munafiqin. Pada saat genting seperti itu setiap individu merupakan aset penting bagi Islam. Setiap individu tidak mampu untuk ketinggalan di belakang dalam penyertaan mereka bersama baginda untuk mengatasi segala cabaran dan menyebarkan ajaran Islam yang mulia.

Kisah Ibnu Umm Maktum yang buta penglihatannya tidak diberikan kelonggaran oleh baginda untuk meninggalkan solat berjemaah adalah bukti nyata akan akan kepentingan perkara tersebut.

Kepentingan solat berjemaah, jiks kita lihat dari sudut yang lebih luas lagi sebagai seorang muslim, kita pasti menyakini bahawa dalam setiap perintah yang diturunkan Allah swt pasti dan tentu sekali mempunyai kebaikan bukan sahaja untuk akhirat tetapi juga di dunia ini.Sebagai contoh mengerjakan solat lima waktu, mengajar setiap individu muslim menjadi seorang yang berdisplin dalam melaksanakan tanggungjawab mereka samada dalam ibadah yang lain ataupun dalam tugas-tugas harian mereka.Begitu juga zakat memberi kebaikan bukan hanya kepada penerima tetapi juga melatih individu yang banyak hartanya untuk bersikap tawadhuk dan bertimbang rasa, dan banyak lagi kebaikan-kebaikan duniawi yang dapat kita perolehi hasil dari melaksanakan perintah Allah swt.

Sebagai satu renungan cuba kita fikir sejenak apakah penyatuan ansar dan muhajirin yang merupakan hasil kebijaksanaan baginda saw dalam mengatur siasah pemerintahan akan mendatangkan kesan yang mendalam jika bukan "penyatuan masjid "iaitu solat berjemaah ?

Jika kita lihat dari peristiwa hijrah rasulullah dari Makkah ke Madinah pula, kita akan dapati apabila sampai sahaja ke Madinah, perkara pertama yang dilakukan oleh rasulullah ialah membina sebuah bangunan Masjid untuk dijadikan tempat beribadat dan pusat perlaksanaan pentadbiran kepimpinan baginad terhadap umatnya> Di samping itu, ia juga dijadikan sebagai pusat tarbiah bagi para sahabat. Dimana hasil didikan dan asuhan yang berterusan dari baginda dan pertemuan yang kerap di masjid telah menimbulkan rasa persaudaraan di kalangan para sahabat. Hasilnya kita melihat rentetan sejarah menceritakan kehebatan nilai persaudaraan yang telah dipamerkan oleh para sahabat yang tidak pernah disaksikan oleh manusia sebelum dan sesudah mereka.

Penyatuan bercorak islam ini perlu dihidupkan semula di dalam jiwa setiap individu muslim. Cabaran-cabaran yang dihadapi oleh masyarakat Islam amnya dan masyarakat Islam di Singapura khususnya memerlukan penyatuan yang jitu untuk menghadapi masa hadapan yang kian mencabar. Para pemimpin Islam dari setiap lapisan perlu menunjukkan contoh yang baik untuk diikuti oleh masyarakat yang dipimpin bagi mendapatkan hasil yang baik dan diberkahi Allah swt.

Penyatuan berbentuk rohani ini adalah berbeza kesannya dibandingkan dengan perhubungan berbentuk keduniaan yang tidak mengikut lunas syarak. Penyatuan rohani ini perlu diusahakan dari peringkat individu, unit kekeluargaan hingga ke peringkat atasan. Semoga dengan ini segala masalah yang dihadapi oleh masyarakat Islam akan dapat di atasi dengan lebih padu dan jitu dengan mendapat berkah dan inayah dari Allah swt.

Para jemaah yang dirahmati Allah,

Untuk mencapai sebuah masyarakat yang percaya perlulah ada usaha - usaha pembinaan bagi setiap individunya. Ini kerana masyarakat dibentuk dari individu yang baik. Tanpa individu yang cemerlang masyarakat pasti keciciran dan pasti tidak dapat bangun untuk mengatasi apa-apa cabaran, dari itu masyarakat Islam perlu melahirkan lebih banyak para cendekiawan dari berbagai bidang samada ukhrawi mahupun duniawi, atau kedua - duanya sekali sebagaimana Islam telah melahirkan genius pada zaman dahulu seperti Imam Fakhrurrazi, Al - Farabi, Ibnu Sina dan sebagainya. Setiap individu Islam harus berfikiran positif dan yakin dengan kebolehan mereka dan berserah kepada Allah. Kerana setiap perkara jika dibantu oleh Allah pasti akan mendapat kejayaan. Itulah janji Allah kepada hambanya yang beriman. Dengan adanya penyatuan masyarakat yang disertai oleh individu yang cemerlang, kita pasti dapat menjadi masyarakat madani yang maju seperti mana yang dicita - citakan oleh kita.

Firman Allah

Wahai orang - orang yang beriman kalau kamu membela ( agama ) Allah, nescaya Allah membela kamu ( untuk mencapai kemenangan ) dan meneguhkan tapak pendirian kamu.

Ayat 7 surah Muhammad.

Mudah-mudahan dengan penyatuan yang jitu masyarakat Islam tidak akan mudah diperkotak-katikkan oleh musuh-musuh .

Barakallah...