16 February
2001


Merenung Kejadian Manusia

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa. Dan janganlah kamu mati kecuali kamu dalam keadaan beriman kepada Allah. Sesungguhnya orang-orang yang akhir ucapannya dengan kalimah Tauhid La ilaha illallah, mereka itulah orang-orang yang akan dimasukkan ke dalam Syurga Allah.

Saudara-saudara sekelian,

Ketahuilah bahawasanya kehidupan di dunia ini hanya sementara. Umur yang Allah berikan kepada kita juga adalah terhad. Jarang-jarang sekali kita mendengar seseorang berumur sehingga melebihi 100 tahun. Dan kalau kita renung sejenak, 100 tahun dari sekarang, adakah sesiapa di kalangan kita yang hadhir dalam masjid ini, pada hari ini, masih hidup ketika tersebut?

Begitulah saudara-saudara sekelian. Kehidupan kita sebenarnya tidak lama. Perangkaan menunjukkan bahawa secara purata, rakyat Singapura boleh menjangkakan kehidupan yang baik dan sihat sehingga umur sekitar 70 tahun. Ada di kalangan kita hari ini yang baru memulakan langkah kehidupan mereka di dunia ini. Ada yang sudah separuh jalan. Ada yang sudah mencecah usia senja. Sesungguhnya, perubahan manusia dari bayi sehingga menjadi tua, adalah satu pengajaran bagi mereka yang menggunakan akal mereka untuk berfikir dan merenung. Di dalam Al-Quran, Allah s.w.t mengajak manusia memikirkan kejadian mereka, agar kita insaf dan sedar siapakah diri kita ini. Dengarlah firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Haj, ayat 5:

Ertinya: Wahai manusia! Sekiranya kamu menaruh syak terhadap (hari) kebangkitan, maka (ketahuilah) bahawa sesungguhnya Kami (Allah) telah menciptakan kamu dari tanah, kemudian dari setitik air mani, kemudian dari dari segumpal darah beku, kemudian dari seketul daging yang disempurnakan kejadiannya dan yang tidak disempurnakan kejadiannya. (Kami jadikan secara demikian) kerana Kami hendak menerangkan kepada kamu (kekuasaan Kami). Dan kami menetapkan dalam kandungan rahim ibu, apa yang kami rancangkan sehingga ke suatu masa yang ditentukan kelahirannya. Kemudian Kami keluarkan kamu berupa kanak-kanak, kemudian kamu sampai ke peringkat umur dewasa. Ada di antara kamu yang dimatikan (semasa kecil atau dewasa), dan ada di antara kamu yang dilanjutkan usianya ke peringkat tua nyanyuk sehingga ia tidak mengetahui lagi akan sesuatu yang telah diketahuinya dahulu. Dan (ingatlah satu bukti lagi), kamu melihat bumi itu kering. Kemudian apabila Kami menurunkan hujan menimpanya, bereraklah tanah dan menjadi gembur serta tumbuhlah berjenis-jenis tanaman yang indah permai.

Saudara-saudara sekelian,

Begitulah Allah mengajak kita memikirkan kejadian kita. Asal-usul kita adalah satu yang hina, yang dipandang jijik. Kita keluar juga dari saluran najis. Kita keluar dengan badan kita diselaputi dengan benda yang kotor. Kita keluar di dunia dalam keadaan lemah dan tidak berdaya. Siapakah yang menentukan agar kita dilahirkan dalam keadaan selamat? Allah! Tuhan sekelian alam!

Kemudian kita membesar dengan penuh sempurna. Hanya segelintir dari kita yang mengalami kecacatan tubuh ketika membesar. Sebahagian besar dari kita membesar dalam keadaan sihat sejahtera. Siapakah yang menentukan agar kita membesar dengan keadaan sihat sejahtera? Allah! Tuhan sekelian alam!

Kemudian kita mendapat ilmu pengetahuan. Kita dianugerahkan oleh Allah akal yang dapat berfungsi. Siapakah yang menentukan kita tidak terencat akal? Allah! Tuhan sekelian alam!

Kemudian ada dikalangan manusia yang apabila sudah mencapai umur kekuatan jasmani dan akal, mereka menyombong, mereka bongkak dan melawan hukum-hukum yang ditetapkan oleh Allah. Mereka lupa siapakah Pencipta mereka. Mereka lupa siapakah yang memberi mereka nikmat sehingga mereka mendapat kekuatan jasmani dan akal. Allah s.w.t telah mengingatkan kita tentang hal ini dalam surah Yaasin ayat 77:

Ertinya: Tidakkah manusia melihat bahawa Kami telah menciptakan mereka dari setitis air mani. Tiba-tiba (apabila mereka sudah dewasa) mereka menjadi seseorang yang kuat tentangannya (terhadap hukum-hukum Allah).

Siapakah jenis manusia ini? Inilah manusia yang tidak mengenal budi, tidak mengenang jasa dan tidak tahu bersyukur kepada Tuhan yang menciptanya. Mereka sangka mereka hidup selama-lamanya. Atau mereka sangka nanti apabila sudah tua boleh insaf dan melakukan ibadah dan amal jariah. Atau lebih buruk lagi, mereka sangka tempat mereka di Syurga sudah terjamin.

Inilah orang-orang yang terpedaya, na'uzubillah min zalik.

Saudara-saudara sekelian,

Ketahuilah, bahawa umur adalah satu anugerah dari Allah. Apabila ia pergi, ia tidak akan kembali lagi. Ia akan pergi buat selama-lamanya. Dan ketahuilah juga, bahawa setiap detik kita berada di bumi ini akan ditanya dan dipersoalkan di akhirat kelak. Adakah kita mengisinya dengan perkara yang baik? Atau adakah kita mengisinya dengan melanggar hukum-hukum Allah dan mengengkariNya? Janganlah kita menjadi golongan orang-orang yang zalim yang disifatkan oleh Allah dalam firmanNya:

Ertinya: Dan ingatlah hari dimana orang-orang yang zalim menggigit kedua-dua tangan mereka (kerana sesal dan marahkan diri sendiri). Meraka berkata: Alangkah baiknya kalau aku di dunia dahulu mengambil jalan yang benar bersama-sama Rasulullah. (Al-Furqan, 27)

Semoga Allah melindungi kita dari menjadi orang-orang yang sesal di akhirat kelak.

Baarakallah....