Tajuk:"APABILA MANUSIA MENGABAIKAN AKAL"
Masyiral muslimin wa Zumratul mukminin rahimakumullah
Saya berpesan kepada diri saya dan saudara-saudara sekalian agar bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahnya dan menjauhi segala larangannya.
Saudara-saudara sekelian,
Apakah yang membezakan antara manusia dan haiwan lain?
Apakah kelebihan manusia sehingga Allah melantik kita agar menjadi khalifah di muka bumi ini?
Jawapannya adalah akal.
Akal yang membezakan antara haiwan dan manusia. Akal yang membezakan antara seorang yang mulia dan seorang yang hina. Maka akal adalah nikmat Allah yang utama yang perlu kita jaga. Marilah kita berhenti sejenak. Kita menjaga dan mendandan rambut kita. Kita perihatin apabila rambut kita mula berguguran. Kita tanya diri kita sendiri, berapa kali kah kita menjaga dan memupuk akal kita? Atau adakah kita tahu bagaimana hendak memupuk dan menjaga akal kita?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Sesungguhnya Allah s.w.t. telah memuliakan anak Adam atas dasar akal yang diamanahkan kepada kita. Allah telah menjadikan kita khalifah di muka bumi ini dan memudah bagi kita segala apa yang di langit dan di bumi. Dengarlah firman Allah ini:
(Al-Isra': ayat 70)
Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah muliakan anak Adam, dan Kami angkat mereka di daratan dan di lautan, dan Kami beri mereka rezeki dari yang baik-baik dan Kami lebihkan mereka dengan kelebihan yang sempurna atas kebaikan makhluk yang telah Kami ciptakan.
Dan firman Allah lagi:
(Luqman: ayat 20)
Ertinya: Tidakkah kamu perhatikan sesungguhnya Allah telah menundukkan untuk (kepentinganmu) apa yang di langit dan apa yang di bumi dan menyempurnakan untukmu nikmat-nikmatNya yang lahir dan batin, dan di antara manusia ada yang membantah tentang (keesaan) Allah tanpa ilmu pengetahuan atau petunjuk dan kitab yang memberi penerangan.
Allah mengangkat kedudukan manusia sebegini tinggi mengatasi segala makhluk Allah yang lain. Lantaran apa? Lantaran akal yang Allah anugerahkan kepada kita. Dengan akal manusia dapat mengumpul ilmu pengetahuan, dan membezakan antara yang baik dan buruk. Dengan akal juga manusia layak menjadi khalifah Allah untuk memakmurkan muka bumi ini, dan layak pula memikul tanggungjawab. Akan tetapi akal itu juga diarahkan agar berlandaskan apa yang diredhai oleh Allah s.w.t. Sesungguhnya manusia dengan akal dan ilmunya mampu mencapai darjat malaikat Allah yang muqarrabin sepertimana di dalam firman Allah:
(al-Imran: ayat 18)
Ertinya: Allah menyaksikan bahawa tiada tuhan melainkan Dia, yang menegakkan keadilan, para malaikat dan orang-orang yang berilmu (juga menyaksikan yang demikian itu) tidak ada tuhan melainkan Allah, yang maha perkasa lagi maha bijaksana.
Daripada individu-individu yang memanfaatkan akalnya dengan tepat inilah, maka terdirinya sebuah umat dan masyarakat yang terhormat, kukuh dan mulia di sisi Allah dan disegani oleh manusia sendiri. Sepertimana yang pernah wujud dalam zaman Rasulullah s.a.w. dan para sahabat sehingga Allah memuji mereka dalam firmanNya yang berbunyi:
(Al-Imran:ayat110)
Yang bermaksud: Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada kebajikan dan mencegah daripada kemunkaran dan beriman kepada Allah.
Tetapi sebaliknya, sekiranya manusia tidak mahu menggunakan akal fikirannya dan lebih buruk lagi jika akalnya itu dirosakkan, melalui pengambilan bahan-bahan yang merosakkan akal fikiran, seperti dadah ataupun seumpamanya, apakah pada ketika ini manusia layak lagi menjadi makhluk Allah yang paling mulia?
Marilah kita sama-sama renung isi al-Qur'an dalam hal ini, Allah s.w.t. berfirman:
(Al-A'raf:ayat179)
Ertinya: Sesungguhnya Kami telah jadikan untuk (isi neraka) Jahannam kebanyakan daripada Jin dan manusia, mereka mempunyai hati tetapi tidak digunakan untuk memahami (ayat-ayat Allah), mempunyai mata (tetapi) tidak digunakan untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah) dan mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakan untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternakan, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai.
Dari ayat ini jelaslah bagi kita bahawa apabila manusia mengabaikan akal fikirannya, tidak digunakan mengikut fitrah ia diciptakan oleh Allah, maka manusia pada ketika itu tidak layak lagi dimuliakan, bahkan martabatnya menjadi lebih rendah dari binatang ternakan.
Oleh itu, saudara-saudara sidang Jumaat sekalian, kita hendaklah mengambil berat terhadap pemikiran dan pertumbuhan akal fikiran generasi muda kita, kerana perkembangan akal yang baik inilah satu-satunya modal untuk kita menjadi umat yang mempunyai status di sisi Allah, bahkan di sisi manusia.
Jangan sekali-kali kita benarkan akal ini dirosakkan dengan bahan-bahan perosak seperti dadah dan seumpamanya yang akan menghentikan sama sekali fungsi akal yang sebenarnya. Dan hendaklah kita ingat bahawa akal yang sihat di dalam tubuh yang sihat. Dan hendaklah kita sedar bahawa sesungguhnya generasi mudalah yang paling penting di dalam perkembangan sesebuah masyarakat atau umat. Merekalah harapan masa depan umat. Sekiranya baik mereka maka baiklah masa depan umat tersebut, sebaliknya jika buruk mereka, buruklah pula masa depan umat tersebut.
Oleh yang demikian, kita hendaklah benar-benar mengambil berat dan mengawasi perkembangan generasi muda kita. Kita hendaklah bersungguh-sungguh dan teliti menangani dan mencari jalan yang terbaik untuk menangani masalah ini. Kita hendaklah tidak hanya menyerahkan penyelesaian ini kepada badan-badan pemulihan semata-mata. Tetapi, kita juga hendaklah sama-sama berusaha mencegah perkara ini daripada berleluasa kerana usaha yang paling berkesan dalam hal ini ialah pencegahan.