Tajuk: Godaan Syaithan.
Kaum Muslimin Rahimakumullah
Marilah kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar erti taqwa. Barangsiapa yang bertaqwa kepada Allah didalam setiap masa, samada secara terang-terangan atau bersendirian, nescaya Allah akan melimpahkan keatas orang tersebut rahmat dan maghfirahNya. Orang yang bertaqwa adalah orang orang yang kenal diri mereka dengan sebenar-benarnya, dia kenal kedudukan dirinya disisi Tuhannya, dia sedar akan kekuranggannya dan tanggung-jawabnya sebagai hamba.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Manusia boleh tertarik kepada kejahatan dan boleh tertarik kepada kebaikan. Ini adalah kerana di dalam diri mereka ada dua tabiat yang berlawanan itu. Ada nafsu dan ada akal. Ada iman dan ada godaan. Sekiranya sempurna imannya, maka hampirlah ia kepada Allah dan banyaklah kebajikan yang dilakukan olehnya. Jika lemah imannya maka tertariklah ia kepada godaan-godaan syaitan dan nafsu yang boleh membawa kerosakan dan kehancuran kepada dirinya dan manusia lain.
Dengan adanya dua unsur ini, iman dan godaan, kita harus sentiasa sedar dan berjaga-jaga, agar kita tidak jatuh dalam perangkap syaitan yang sentiasa memujuk kita agar melakukan maksiat. Firman Allah s.w.t di dalam surah Fathir, ayat 6:
Maksudnya: Sesungguhnya Syaithan itu adalah musuh kamu maka ambillahnya sebagai musuh. Sesungguhnya dia menyeru pengikutnya agar menjadi ahli neraka.
Sidang jemaah yang dihormati,
Pujukan syaitan adalah merupakan suatu yang paling halus. Dia senantiasa mencari jalan menewaskan manusia dengan cara yang paling berkesan . Sabda Nabi s.a.w :
'Sesungguhnya syaithan itu berjalan dalam diri manusia dalam perjalanan darah.'
Syaithan memujuk manusia agar menjadi liar. Syaithan mengaburkan kita dengan keraguan, was-was dan memesongkan fikiran manusia sehingga manusia itu menjadi sesat. Syaithan menimbulkan keraguan dalam diri sebahagian manusia bahawa apa yang dikerjakannya adalah benar dari Islam, tetapi sebenarnya adalah bercanggah dengan akidah dan syariat. Ia termasuk amalan yang tujuannya adalah kepentingan duniawi semata-mata seperti menjadi kebal, dapat menguasai orang, menjadi bomoh yang dapat menggalahkan lawan dengan mudah dan lain-lain. Tapi sayangnya, bagi mereka yang beramal dengan ajaran-ajaran yang salah ini, mereka tidak mahu insaf dan tidak mahu sedar bahawa mereka telah terkeluar dari ajaran yang sebenar. Mereka sudah terpengaruh dengan ajaran syaitan. Mereka tunduk dengan godaan syaithan kerana nafsu jahat mereka, kerana nafsu mereka yang tamakkan dunia. Firman Allah s.w.t:
Maka diilhamkan kepada nafsu itu perkara-perkara yang mungkar dan juga perkara-perkara yang berkaitan dengan ketaqwaan. Maka berjayalah mereka yang mensucikan nafsu mereka dan kecewalah mereka yang mencemarkan nafsu mereka.'
Mereka yang terpengaruh dengan godaan syaithan, dengan mengamalkan amalan-amalan yang sesat lagi mesyesatkan, mereka yang percaya kepada dukun dan bomoh, mereka yang ingin menjadi kaya melalui makhluk halus, mereka semua ini diilhamkan oleh Syaithan untuk berpegang terus kepada ajaran yang sesat tersebut. Mereka tidak sedar kesalahan diri mereka walaupun para ulama, para guru-guru agama, telah menerangkan kepada mereka kesesatan mereka. Malah mereka menuduh para ulama tersebut, para guru-guru agama tersebut, sebagai pengampu kerajaan, yang menjual agama mereka kerana periuk nasi mereka. Kononnya guru-guru sesat itulah ulama yang unggul. Kononnya dukun-dukun itulah yang berkuasa.
Sekagain ini semakin ramai masyarakat Melayu kita terpengaruh dengan perkataan makrifat, hakikat, syariat dan tariqat. Mereka menganggap bahawa guru yang hanya mengajar fardhu 'ain, yang mengajar tauhid dan ilmu-ilmu agama lain tidak ada 'standard' tidak tinggi ilmu mereka. Sebaliknya mereka yang mengajar makrifat dan hakikat itulah guru-guru yang sudah mencapai 'maqam', itulah guru-guru yang sebenar, yang membawa kepada kewalian dan kesucian.
Tidakkah mereka sedar bahawa Islam berdasarkan kepada syariat? Tidakkah mereka sedar bahawa bagaimana tinggipun kedudukan seseorang, dia tidak boleh melepaskan dirinya dari syariat, dari mengamalkan ibadah-ibadah yang asas? Mereka menyangka bahawa dengan mengamalkan hakikat dan makrifat, mereka lebih baik dari orang lain, bahawa guru-guru agama lain adalah cetek pengetahuan mereka. Sebaliknya, merekalah yang belum berjaya dalam membersihkan jiwa mereka. Dengan menganggap diri mereka lebih baik dan lebih suci dari orang lain, timbul dalam diri mereka sifat 'ujub dan riyak. Dengan menganggap orang lain cetek pengetahuan agama mereka, timbul dalam diri mereka sifat takabbur dan tafakkhur. Sedangkan sifat-sifat takabbur dan riyak adalah sifat yang hanya layak bagi Allah. Sesiapa yang ada sifat-sifat tersebut maka sesungguhnya dia telah melakukan syirik kecil.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Janganlah kita terpengaruh dengan ajakan dan bisikan syaithan. Janganlah kita terpengaruh dengan kelas-kelas yang hanya mengajarkan perkara-perkara mistik, yang hanya menekankan perkara makrifat dan hakikat sahaja. Antara ciri-ciri kelas-kelas tersebut adalah:
Pertama: Ia hanya diadakan khas dirumah-rumah, tidak dimasjid-masjid.
Kedua: Ia adalah kelas tertutup. Murid-murid mereka terhad dan tidak dibuka untuk umum.
Ketiga : Murid-muridnya dilarang dari belajar dengan guru-guru lain.
Keempat: Murid-muridnya dikenakan dengan syarat-syarat untuk belajar.
Itulah ciri-ciri ajaran-ajaran sesat.
Maka marilah kita sedar dan beramal dengan ajaran yang sebenar. Jika tidak diketahui sesuatu itu, hendaklah kita pelajari dari orang yang mengetahui, dari guru-guru agama yang tidak ada keraguan tentang ilmu mereka, dari guru-guru agama yang sudah diterima oleh masyarakat Islam. Firman Allah swt :
'Maka bertanyalah kamu kepada ahlinya jika kamu tidak mengetahui.'
Kita harus faham bahawa untuk mengenal ajaran salah atau ajaran sesat adalah dengan ilmu pengetahuan dari Al-Quran dan Hadis, bukan dengan menggunakan akan dan fikiran sahaja.
Baarakallah....