Mensyukuri Nikmat
Kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Marilah kita bersama-sama meningkatkan keimanan dan ketaqwaan kita kepada Allah dengan sebenar-benarnya, iaitu dengan melaksanakan segala perintah-Nya dan menjauhi segala yang menjadi larangan-Nya.
Kaum muslimin rahimakumullah,
Tidak berapa lama lagi kita akan bertemu semula dengan bulan Ramadan yang diberkati Allah, bulan yang menjanjikan berbagai keistimewaan dan ganjaran yang tidak terhingga daripada Allah. Kita akan dapat berpuasa di siang harinya dan berterawih pula pada malam-malamnya. Ini semua tentu tidak akan dapat kita lakukan jika kita tidak diberikan Allah dengan nikmat umur, kesihatan dan peluang masa bagi melakukan semua itu.
Itu semua hanyalah sebahagian sahaja dari nikmat-nikmat Allah yang tidak terkira banyaknya yang diberikan Allah kepada kita. Memang sebenarnya bahawa nikmat itu sangat banyak, kerana yang dimaksudkan sebagai nikmat itu merangkupi segala kenikmatan atau apa saja yang memberikan kita kesenangan, kelazatan atau keselesaan, seperti kesihatan, harta kekayaan, pangkat dan kedudukan, ilmu pengetahuan, keluarga dan bermacam-macam lagi. Allah berfirman dalam surah an-Nahl ayat 18 :
Yang bermaksud : "Seandainya kamu ingin menghitung nikmat-nikmat Allah, niscaya tiada terhitung olehmu, sesungguhnya Allah Maha Pengampun lagi Maha Pembelas Kasihan".
Jadi, marilah kita bersyukur kepada Allah atas nikmat-nikmat yang telah dilimpahkan Allah atas kita dan jangan pula kita melakukan perkara-perkara yang boleh menyebabkan nikmat-nikmat itu ditarik balik oleh Allah, malah yang boleh membawa kepada kemurkaan dan siksaan Allah.
Sidang Jumaat rahimakumullah,
Apakah tanda-tandanya bahawa kita termasuk dalam golongan orang-orang yang mensyukuri nikmat Allah? Diantara tandanya ialah kita menghargai nikmat tersebut sekalipun nikmat itu dipandang orang ramai sebagai kecil sahaja. Yang menjadi kayu ukur kita ialah Pengurnia nikmat tersebut, iaitu Allah subhanahu wataala, Tuhan semesta alam, bukan nikmat itu sendiri. Jika ini dapat kita lakukan, insya-Allah kita akan menjadi lebih tenang dan bahagia menghadapi hidup kita, kerana kita tidak akan melihat orang lain yang dilebihkan Allah dengan segala macam kenikmatan dengan kaca mata irihati dan kagum dengan banyaknya nikmat yang dinikmati orang itu.
Kita tentu sedar bahawa perasaan irihati membawa kepada jiwa yang tidak tenteram yang menyebabkan hidup kita senantiasa dalam pergelutan, hinggakan pada sebahagian orang, tidurnya pun tidak akan lena. Malah lebih buruk lagi, perasaan irihati ini boleh membawa kita lupa kepada punca sebenar nikmat itu iaitu Allah sehingga kita pula akan lupa mensyukuri Allah atas nikmat-nikmatNya yang yang begitu banyak yang diberikan kepada kita pula.
Ini mungkin menjadikan nikmat itu ditarik balik oleh Allah dari kita dan akhirnya kita bukan sahaja tidak memperolehi nikmat-nikmat yang diirikan itu, malahan hilang nikmat yang ada dan menjadi kecewa.
Banyak peristiwa-peristiwa yang dapat kita jadikan contoh tauladan seperti Kisah kaum "Saba" yang tersebut di dalam al-Quran, iaitu sebuah negara yang makmur yang disebut negeri yang indah permai kerana mereka mendapat keredhaan Allah, maka diberkati Allah kehidupan mereka, akan tetapi mereka akhirnya lupa mensyukuri nikmat Allah itu lalu menjadi orang-orang yang melakukan maksiat, mengerjakan kemungkaran, tidak berterima kasih kepada Allah yang memberikan mereka rezeki yang berlimpah-ruah, ingkar atas nikmat-nikmat Allah. Apakah akibatnya? Negeri yang makmur dan subur itu, ditukar Allah menjadi negeri yang tandus dan kering. Dari kaya raya lalu menjadi papa kedana. Sebagaimana firman Allah dalam surah Saba' ayat 17 :
Yang bermaksud: Demikianlah Kami balas mereka kerana kekufuran mereka . Dan tiadalah Kami siksa, selain daripada orang-orang yang melakukan kekufuran.
Begitu juga kita tentu telah mendengar kisah Qarun yang kaya raya yang hidup pada zaman Nabi Musa alaihi salam. Akan tetapi Qarun mengkufuri nikmat Allah, lalu Allah menghilangkan segala nikmat itu dari Qarun, malah mengazabnya. Demikianlah contoh-contoh manusia yang lupa akan nikmat Allah, tidak bersyukur, tidak ingat bahawa semua nikmat itu adalah berasal dari Allah jua.
Hadirin sidang Jumaat rahimakumullah,
Teguhkanlah tekad kita untuk menjadi orang yang mensyukuri Allah. Ini dapat kita mulakan dengan diri kita sendiri iaitu dengan mengakui kebaikan yang dilakukan orang kepada kita walau sekecil manapun. Kita mengingati kebaikan itu dan menghargainya. Lalu yang kita bicarakan mengenainya ialah kebaikannya bukan keburukannya. Ini adalah diantara sifat seseorang mukmin yang mensyukuri Allah. Rasulullah pernah bersabda :
Yang bermaksud: Tidak bersyukur kepada Allah, orang yang tidak berterimakasih kepada manusia" (Hadis riwayat Abu Dawood).
Juga jangan kita lupa pula membalas kebaikan orang kepada kita. Bukan kita sahaja yang menerima kebaikan orang, kita juga hendaklah menjadi orang yang memberikan kebaikan kepada orang lain.
Insya-Allah, jika ini dapat kita biasakan, kita akan dapat menjaga dan memupuk hubungan baik kita sesama manusia, atas dasar saling harga menghargai, saling hormat menghormati. Ia akan membibitkan rasa setiakawan yang berteraskan tolong-menolong dan bantu membantu antara satu sama lain. Allah akan sentiasa menurunkan bantuanNya keatas manusia selagi manusia saling bantu membantu sesama sendiri. Bayangkanlah bagaimana senang dan tenteramnya nanti hidup kita dalam keadaan sebegini.
Mensyukuri nikmat Allah juga bererti mempergunakan nikmat yang diberikan kepada kita itu sesuai sepertimana yang ditentukan dan dikehendaki oleh pemberi nikmat itu, iaitu Allah. Misalnya tubuh badan yang diberikan Allah kepada kita, kita gunakan untuk kebaikan dan kebajikan, menolong orang lain dan bekerja mencari rezeki yang halal, mengerjakan amal ibadat, mentaati Allah bukan untuk memukul atau menyakiti orang lain yang tidak bersalah. Begitu jugalah dengan harta, masa, kepandaian dan lain-lainnya.
Segala kebaikan yang kita lakukan sebagai mensyukuri nikmat Allah, akan dibalas Allah dengan ganjaran yang lebih baik lagi. Ini telah dijanjikan Allah. Allah telah berfirman dalam surah Ibrahim ayat 7 :
Yang bermaksud: Dan ingatlah ketika Tuhanmu memaklumkan : Jika kamu bersyukur akan Kuberi kamu kurnia lebih banyak lagi. Tapi jika kamu tiada bersyukur, sungguh, siksaanKu amatlah dahsyat.
Baarakallah.......