18 February 2000

 



Adab-adab berkawan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan melaksanakan apa jua suruhannya dan menjauhi apa jua larangannya.

Antara perkara yang perlu kita berikan perhatian adalah adab dan cara berkawan. Tidak ada manusia yang dapat hidup bersendirian. Setiap satu dari kita mengharapkan yang lain. Setiap dari kita tidak boleh lari dari berkawan. Inilah antara hikmah Allah s.w.t menciptakan manusia berbagai bangsa, warna dan bahasa. Allah s.w.t berfirman didalam surah Al-Hujurat, ayat 13:

Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu. Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya.

Inilah tujuannya. Agar kita berkenal-kenalan. Akan tetapi setiap sesuatu ada panduannya. Islam adalah agama yang syumul, yang lengkap, yang menyeluruh. Maka Islam telah meletakkan panduan untuk kita apabila kita ingin berkawan. Antara perkara pertama yang perlu kita fahami adalah jenis orang yang kita harus ambil sebagai kawan atau sahabat. Rasulullah s.a.w bersabda: "Seseorang adalah atas agama rakannya, maka hendaklah setiap dari kamu memerhatikan siapakan yang harus dipilih menjadi rakan."

Inilah kaedah orang Islam dalam bersahabat. Rasulullah mendidik kita agar memilih sahabat yang dapat mendorong kita menambah kebajikan dan amal soleh. Kerana setiap dari kita akan terkesan dengan sifat, ugama dan kelakukan kawannya. Kawan yang sopan, kawan yang mempunyai budi pekerti yang tinggi akan mendorong kita untuk mempunyai sifat mulia sepertinya. Akan tetapi jika kita mengambil seseorang sebagai sahabat yang mana sifatnya adalah cenderung kepada melakukan maksiat dan keburukan, lama-kelamaan kita juga akan terdorong untuk melakukan maksiat itu. Juga jika kita mengambil seorang sahabat yang suka berkat kotor, berbohong, memaki-hamun, lama-kelamaan kita juga akan mempunyai mulut yang cabul sepertinya. Jika kita mengambil kawan yang suka berborak-borak, membuang masa di kedai-kedai kopi, maka lama-kelamaan akan sekaki dengan mereka. Maka perhatikanlah dan selidikilah sebelum kita mengambil seseorang sebagai sahabat. Allah s.w.t berfirman didalam surah Al-Kahfi, ayat 29:

Ertinya: Dan janganlah engkau mematuhi orang yang Kami lalaikan hatinya daripada mengingati Kami, serta ia menurut hawa nafsunya, dan tingkah-lakunya pula adalah melampaui kebenaran..

Inilah jenis orang yang mana kita dilarang untuk mengambilnya sebagai sahabat. Orang yang lali hatinya dari mengingati Allah. Orang yang lebih cenderung kepada melakukan maksiat dari amal soleh. Sebaliknya Allah s.w.t menyuruh kita agar mengambil orang-orang yang sukat beramal soleh dan selalu bertaubat kepada Allah sebagai sahabat kita. Firman Allah s.w.t didalam surah Luqman, ayat 15:

"Dan ikutilah jalan orang yang suka kembali (bertaubat) kepada Ku (Allah)."

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Sering kita mendengar keluhan atau membaca laporan tentang bagaimana anak-anak yang baik kelakuannya ketika kecil tiba-tiba berubah menjadi seorang yang liar apabila sudah berumur belasan tahun. Kita tidak faham, bagaimana asuhan kita terhadap anak-anak kita akan diabaikan apabila mereka sudah bersekolah menengah. Mereka lebih pentingkan kawan dari keluarga. Mereka mengambil sifat-sifat buruk yang tidak pernah kita lihat dalam diri mereka sebelum ini.

Sebenarnya, punca utama adalah jenis kawan mereka. Seseorang remaja yang memelih kawan yang buruk akan secara semulajadi ingin mengikuti cara kawannya itu. Jika kawannya merokok, dia akan cuba merokok juga. Jika kawannya suka melepak, dia juga suka melepak. Jika kawannya tidak suka belajar, dia juga akan akhirnya hilang minat untuk belajar. Akhirnya timbullah masalah, yang bukan sahaja menghantui keluarga tersebut malah memberikan malu dan beban kepada masyarakat.

Jadi apakah jalan keluarnya? Didikan dan asuhan rohani. Kita didik mereka bukan sahaja dengan budi pekerti, tetapi juga dengan sentiasa memperingatkan mereka akan jenis manusia yang boleh dijadikan kawan. Keluarga adalah benteng pertama. Keluarga adalh unit terpenting dalam satu-satu masyarakat. Oleh kerana itu, negara kita telah meletakkan nilai keluarga yang utuh sebagai salah satu nilai-nilai utama negara. Apabila seorang anak faham dan mampu mengenal kawan yang baik dari kawan yang buruk, maka dia akan terselamat perjalanan hidupnya. Untuk mengenal siapakah kawan-kawan anak kita, undanglah mereka ke rumah kita. Berkenal-kenallah dengan mereka. Perhatikan siapakah yang wajar anak kita berkawan dan siapakah yang tidak wajar. Kemudian nasihatilah anak kita dengan baik, siapakah yang harus dia berkawan dan siapakah yang tidak harus. Sesungguhnya apabila kita menjalankan tugas ini dengan hikmah, anak-anak kita akan menghargai nasihat dan panduan dari kita.

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Saya tidak bermaksud bahawa kita menjauhkan diri dan memasamkan muka terhadap semua orang yang kita rasa tidak layak untuk kita berkawan, sehingga kita tidak bertegur-sapa dengan mereka. Seorang kawan adalah berbeza dari seorang kenalan. Seorang kawan adalah orang yang kita dampingi dan rapat. Seorang yang kita kongsi bersama beberapa rahsia dan curahan hati kita. Inilah jenis yang kita harus berhati-hati apabila kita mengambilnya sebagai kawan.

Adapun seorang kenalan adalah mereka yang kita kenal. Kita tidak rapat dengannya. Kita tidak mengongsi curahan hati kita. Dan kita tidak terikut-ikut dengan perbuatannya. Kenalan boleh datang dari berbagai jenis lapisan masyarakat. Yang baik dan jahat. Yang Islam dan bukan Islam. Tidak ada halangannya. Malah kita diharuskan agar berlaku baik kepada semua orang, sentiasa menguntum senyum kepada mereka kerana senyum itu adalah sedekah. Kita bercakap lembut dengan mereka dan menghormati mereka. Tetapi kita meletakkan had pergaulan kita, jangan sampai kita terikut-ikut dengan cara mereka.

Kita berkawan dengan orang yang baik untuk kita ikuti adab mereka. Kita berkenal dengan orang yang kurang baik agar mereka dapat kita nasihati dan menjadi contoh kepada mereka.

Baarakallah.....