18 Mei
2001


Kitaran kekuatan dan kelemahan umat

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar terus meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita termasuk dalam golongan mereka yang mendapat rahmat dan diredhai oleh Allah.

Saudara-saudara sekelian,

Rasulullah s.a.w pernah menyifatkan dunia ini sebagai seorang yang sudah tua. Umurnya sudah lanjut. Dan sudah hampir waktu matinya, iaitu waktu hari qiyamat. Mengikut kajian para ahli geologi, umur dunia sudah menjangkau 4.5 bilion tahun. Dunia sudah menyaksikan perbagai-bagai peristiwa dan tamadun. Bermula dari penguasaan dunia oleh haiwan raksaksa yang dinamakan 'dinosour' kepada penguasaan dunia oleh makhluk yang bernama manusia.

Mengikut ahli geologi, dunia ini dikuasai oleh haiwan raksaksa selama beratus juta tahun. Lebih kurang 65 juta tahun yang lepas, penguasaan haiwan ini tiba-tiba berhenti secara mendadak. Sebahagian pengkaji menyatakan bahawa ia disebabkan oleh sebuah batu yang amat besar melanggar bumi sehingga menyebabkan kepupusan haiwan raksaksa tersebut.

Begitulah saudara-saudara sekelian, apabila sudah sampai ketentuan Allah, tidak ada siapa yang boleh menahannya .Walaupun haiwan tersebut telah menguasai bumi selama beratus juta tahun, tetapi apabila Allah menghendaki, mereka pupus dengan serta-merta. Tiada yang dapat menghalanginya.

Saudara-saudara sekelian,

Mengikut kajian, manusia hanya mula wujud di atas bumi ini semenjak puluhan ribu tahun lepas. Walau bagaimanapun, manusia lah makhluk yang paling memakmurkan bumi. Kewujudan manusia di atas muka bumi ini adalah untuk memakmurkannya. Tetapi kita dapat lihat bagaimana manusia semakin angkuh dan sombong. Sejarah manusia penuh dengan kerosakan yang dilakukan di atas muka bumi dan pertumpahan darah. Pembunuhan sesama sendiri dan peperangan sudah menjadi lumrah dalam sejarah tamadun manusia. Begitu pun, Allah tidak menyegerakan azab mereka. Allah memberi mereka peluang untuk bertaubat, untuk membuat kebaikan. Dengarlah firman Allah ini dalam surah Yunus, ayat 11:

Ertinya: Dan kalau sekiranya Allah menyegerakan kejahatan bagi manusia seperti mana permintaan mereka untuk kebaikan, pastilah Allah akan mematikan mereka, akan tetapi Kami (Allah) membiarkan orang-orang yang tidak mengharapkan pertemuan dengan Kami, bergelimang dalam kesesatan mereka.

Maka berwaspadalah wahai mereka yang masih lagi lalai dan berlaku zalim terhadap diri mereka sendiri dan orang lain. Bahawasanya Allah melihat amalan perbuatan mereka dan akan membalasnya dengan seburuk-buruk balasan di akhirat kelak jika mereka tidak segera bertaubat. Firman Allah dalam surah Ibrahim ayat 42:

Ertinya: Dan jangan kamu sangka bahawa Allah lalai akan apa yang dilakukan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Dia melambatkan mereka sehingga hari dimana mata-mata terbeliak (kerana takutkan azab api neraka).

Saudara-saudara sekelian,

Jika kita kaji sejarah tamadun manusia, kita akan lihat bagaimana setiap tamadun akan berakhir dengan kehancuran apabila mereka melanggar perintah Allah. Kita lihat bagaimana tamadun Babilon berakhir dengan kehancuran. Kita lihat bagaimana tamadun Fir'aun di bumi Mesir hancur atas tangan tamadun Rom. Dan kita lihat bagiamana tamadun Rom dan Parsi dikalahkan oleh orang-orang Islam. Kerajaan Islam juga tidak terlepas dengan kemusnahan apabila mereka dikalahkan oleh bangsa Monggol, dan apabila kerajaan Islam mula berpecah dengan penjajahan oleh negara-negara Eropah. Begitulah ketentuan Allah s.w.t. Allah berfirman dalam surah Al-Isra' ayat 58:

Ertinya: Dan tiada sesebuah negeri pun melainkan Kami akan membinasakannya sebelum hari kiamat, atau Kami menyeksa penduduknya dengan azab seksa yang berat; yang demikian itu adalah tertulis di dalam Kitab (Lauh Mahfuz).

Dan firman Allah s.w.t dalam surah Yunus, ayat 13:

Ertinya: Dan sesungguhnya Kami telah membinasakan umat-umat yang terdahulu daripada kamu semasa mereka berlaku zalim padahal telah datang kepada mereka Rasul-rasul mereka membawa keterangan-keterangan, dan mereka masih juga tidak beriman. Demikianlah Kami membalas kaum yang melakukan kesalahan.

Ketentuan Allah adalah apabila sesebuah kaum sudah mencapai kemuncaknya, maka akan mula waktu kemerosotannya. Ia seumpama roda yang berpusing. Kaum yang kuat pada hari ini, akan menjadi lemah pada keesokan harinya. Lihat sahaja empayar kerajaan British yang teleh menjajah banyak kawasan di dunia ini. Satu demi satu ia terpaksa melepaskannya untuk merdeka. Lihat juga penguasaan negara Jepun terhadap negara-negara yang ditaklukinya. Ia berakhir dengan kekalahannya di peperangan dunia yang kedua. Setiap sesuatu di dunia in tidak kekal. Semuanya berubah. Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 140:

Ertinya: Dan demikian itulah keadaan hari-hari (dunia ini dengan peristiwa-peristiwa kemenangan atau kekalahan), kami gilirkan dia antara sesama manusia, (supaya menjadi pengajaran) dan supaya nyata apa yang diketahui Allah tentang orang-orang yang tetap beriman (dan yang sebaliknya), dan juga supaya Allah menjadikan sebahagian di antara kamu orang-orang yang mati Syahid. Dan (ingatlah), Allah tidak suka kepada orang-orang yang zalim.

Maka janganlah terpedaya dengan kenikmatan dan kekuatan hari ini. Sesungguhnya nikmat dunia tidak akan kekal. Dan kita harus sentiasa berusaha. Kita harus sentiasa berasa dahaga terhadap ilmu pengetahuan dan keinginan untuk mencapai sesuatu yang lebih tinggi lagi supaya kita tidak mengalami kemerosotan dan kehancuran.

Baarakallah......