Memupuk kasih-sayang dalam Perkahwinan
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya berpesan pada diri saya sendiri dan tuan-tuan sekelian agar bertaqwa kepada Allah. Sedarlah kamu akan bertemu Allah kelak. Dan sesungguhnya segala amalmu akan diperhintungkan. Maka itu, lihatlah apa yang kamu isikan dalam kehidupanmu. Dan sembahlah Allah.
Maasyiral Muslimin rahimakumullah,
Allah telah memberi begitu banyak rahmat. Penglihatan kita, kesihatan kita dan ilmu kita - mereka semua adalah kurniaNya. Ada juga di antara kita yang diberi kurnia istimewa. Tetapi malang sekali, kurnia ini kita anggapi sebagai suatu yang lumrah. Kurnia tak dapat kita dilihat, tetapi dapat dirasa oleh hati. Sesiapa yang beriman dapat menghargainya. Apakah kurnia itu, wahai saudara-sudaraku? Ia adalah keupayaan kita untuk menyayangi dan perihatin terhadap sesama kita. Inilah fitrah kurnia yang kita punyai dari lahir lagi.
Fitrah kita untuk menyayangi adalah salah satu perkara yang mengukuhkan ketaqwaan kita kepada Pencipta kita, Allah s.w.t. Ini adalah kasih sayang rohani yang berada di lubuk hati kita semua. Apabila disemai dan dijaga, ia akan mekar bak benih yang memerlukan air untuk tumbuh dan membesar. Begitu juga fitrah kita untuk berkasih sayang adalah bagaikan benih. Apabila kita sertakan bersama kasih sayang kita pada Allah dengan solat, sedekah dan amal baik untukNya, ia akan menjadi kukuh dan berkembang. Dan kita akan menjadi lebih dekat kepadaNya.
Tetapi fitrah kita untuk berkasih sayang ada tujuan lagi. Ia membantu kita hidup sebagai pasangan suami-isteri dengan penuh keamanan dan kebahgiaan. Allah bersabda dalam Surah Ar-Rum, ayat 21 yang bermaksud:
"Dan di antara tanda-tanda kekuasaanNya ialah Dia telah mencipta bagimu pasangan dari kalanganmu, supaya kamu merasa cenderung dan tenteram kepadanya dan dijadikanNya di antara mu rasa kasih sayang. Sesungguhnyt pada yang demikian itu benar-benar terdapat tanda-tanda bagi orang yang mengetahui."
Saudaraku sekalian, bagaimana kamu melihat isteri-isteri dan anak-anak mu? Apakah kamu melihat mereka sebagai beban atau hadiah dari Allah s.w.t? Fitrah kita untuk berkasih sayang membantu kita menjaga isteri dan anak kita. Janganlah kita pandang mereka dengan pandangan yang kasar dan bengis. Lihatlah isterimu dengan penuh kasih sayang, dengan sepenuh keprihatinan. Ini adalah kerana isteri kita adalah pendamping dan penyokong kita. Mereka melayani kita dengan penuh kesetiaan. Mereka menyediakan kita makanan. Mereka sama-sama merasai kejayaan kita. Mereka menjadi menghibur kita di kala kekecewaan atau kesusahan. Merekalah yang memberi kita dorongan dan kekuatan untuk terus berusaha. Dalam surah Al Baqarah, ayat 187:
"Mereka dalah pakaian bagimu, dan kamu pun adalah pakaian bagi mereka"
Wanita dan lelaki adalah pakaian sesama mereka. Wanita dan lelaki saling memberi sokongan. Kita saling memberi keselesaan dan keselamatan. Bagaikan pakaian yang melindungi tubuh dari tanah dan debu, suami dan isteri saling memberikan perlindungan.
Sebagai suami, apa yang patut kita berikan kepada isteri kita? Apakah kita menerima kehadiran mereka sebagi teman dan sokongan mereka tanpa sebarang tanggungjawab? Apakah dengan memberi nafkah sahaja mencukupi? Apakah peranan suami hanya mencari wang?
Ketika ini, kita dapati banyak cabaran dalam keluarga yang kadang kalanya membingungkan. Wanita kini secara umum berpendidikan seperti lelaki. Kaum hawa kini sudah cekap, bahkan ada yang lebih cekap, berbanding dengan lelaki. Untuk melayari kehidupan sekarang, ada kalanya tidak mencukupi bagi sebuah keluarga ditampung oleh gaji suami sahaja. Maka itu ada isteri yang terpaksa bekerja untuk membantu suami. Apakah kesannya terhadap peranan suami? Apakah kita seharusnya tidak pedulikan perubahan dalam masyarakat kita? Dan bagaimana pula dengan tanggungjawab kita?
Saudara-saudara sekelian,
Jangan kita lupa akan tanggungjawab kita sebagai ketua keluarga. Sebagai orang yang memimpin keluarga kita di dunia dan di akhirat. Ini adalah ketetapan dari Allah s.w.t dan kita akan disoal kelak bagaimana kita laksanakan tugas ini. Tetapi apakah yang diperlukan untuk menjadi pemimpin bagi isteri dan keluarga? Di dalam Sura An Nisaa, ayat 34, Allah bersabda:
Yang bermaksud: Kaum lelaki adalah pemimpin bagi kaum wanita, oleh kerana Alah telah melebihkan lelaki atas wanita, dan kerana lelaki telah menafkahkan sebahagian dari harta mereka.
Ketahuilah bahawa tanggungjawab mu yang pertama ialah untuk memberi nafkah. Iaitu memastikan yang isterimu mendapat secukupnya bagi dirinya dan secukupnya untuk menyediakan makanan, untuk membayar segala bil, untuk memberikan anak pakaian dan pendidikan. Dan ketahuilah bahawa mereka mempunyai hak untuk meminta nafkah ini. Maka janganlah berkasar dengan mereka apabila mereka meminta.
Ketahuilah juga bahawa tanggungjawab seorang suami untuk memberi nafkah kekal sekalipun isteri kita bekerja, malah walaupun gajinya lebih tinggi. Wang diterima hasil kerjanya adalah haknya sendiri. Bukanlah tangungjawabnya untuk membayar bil, membeli makanan atau menyediakan tempat tinggal. Tanggungjawab ini kekal di bahu para suami. Gaji isteri kita hanya boleh dianggap sebagai tambahan bukan gantian bagi gaji para suami.
Mereka yang memberi nafkah kepada isteri-isteri mereka akan meraih tiga faedah: Pertama, mereka telah memenuhi tugas yang Allah telah tetapkan ke atas mereka. Kedua, ia mengukuhkan lagi peranan mereka sebagai pemimpin keluarga. Ketiga, ia akan mengukuhkan lagi perasaan hormat para isteri terhadap suami mereka.
Jangan bebankan isteri kita dengan permintaan yang melampau. Bagi mereka yang isterinya keluarg bekerja untuk mambantu pendapatan keluarga, mereka juga berasa penat seperti kita apabila pulang dari kerja. Maka kita harus peritahin akan perkara ini dan membantu mereka bersama-sama menguruskan rumahtangga. Jika mereka berada di dapur menyiapkan makanan malam, kita membantu mengemas dan melayani anak-anak. Ini akan mewujudkan suasana harmonis dalam keluarga dan menambahkan lagi perasaan kasih sayang antara suami dan isteri tersebut.
Saudara-saudara sekalian,
Pimpinlah isteri kita ke jalan Allah. Berikan mereka panduan yang benar. Pastikan mereka mengerjakan solat. Jadilah imam bagi mereka dalam solat. Berikan mereka peluang untuk keluar dan belajar ilmu agama. Isteri kita adalah pembimbing anak-anak kita. Dialah yang memastikan bahawa anak-anak kita akan membesar menjadi orang Islam yang patuh dan taat kepada ugama dan memberi manfaat kepada masyarakat dan negara.
Baarakallah........