Mentaati perintah Allah keseluruhannya
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya menyeru kepada saudara-saudara sekelian dan juga diri saya sendiri agar bertaqwa kepada Allah. Kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga dengan demikian kita akan bertambah dekat kepada Allah s.w.t.
Saudara-saudara sekelian,
Kita bersyukur kepada Allah s.w.t yang telah menjaga umat Islam sehingga kita perihatin akan halal dan haram dalam pemakanan kita. Masyarakat Islam amat menjaga akanapa yang dimasukkan ke dalam mulut mereka. Mereka tidak mahu bahan yang haram menjadi isi daging mereka, kerana daging yang tumbuh dari sumber yang haram, api neraka lah pembakarnya. Ini jelas dari hadith yang diriwayatkan oleh Imam Ahmad dan Tarmizi:
Maksudnya: Sesungguhnya tidak masuk syurga orang yang daging badanya tumbuh dari benda yang haram (yang menggugurkan berkat). Neraka lebih utama bagi orang tersebut.
Oleh itu sememangnya kita mesti berhati-hati terhadap pemakanan kita agar tidak berseumber dari benda yang haram. Masyarakat Islam dirantau ini amat sensitif setiap perkara yang berasal dari binatang yang diharamkan. Ini tidak salah. Akan tetapi kita juga harus peka dan mengetahui perkara-perkara lain yang haram. Kita juga mesti sensitif terhadap sumber-sumber makanan yang haram. Pernahkah kita tanya pada diri kita, apakah benda-benda lain yang diharamkan oleh Allah s.w.t selain dari khinzir dan arak? Dan apakah sumber-sumber yang diharamkan?
Saudara-saudara sekelian,
Sebenarnya apa yang diharamkan oleh Allah adalah lebih luas lagi. Ia bukan hanya pada makanan-minuman tertentu, tetapi ia juga meliputi gaya kehidupan, perbuatan, persepsi dan pandangan. Allah mengharamkan beberapa jenis makanan untuk kebaikan kita juga. Allah mengharamkan beberapa cara dan gaya kehidupan dan perbuatan untuk menjaga maslahat diri kita dan masyarakat agar kita dapat hidup dengan harmoni dan sentosa. Allah mengharamkan beberapa persepsi dan padangan yang haram, seperti mempunyai buruk sangka terhadap orang lain, menuduh melulu tanda disiasat dahulu dan sebagainya. Ini adalah untuk menjaga keharmonian kehidupan manusia di muka bumi ini. Setiap sesuatu yang Allah haramkan ada rahmatnya. Sesungguhnya Allah tidak bersifat zalim walau sedikitpun.
Kita menjaga makanan dan minuman kita dari terkena bahan yang haram dan najis. Dalam masa yang sama, adakah kita juga menjaga diri kita dari perbuatan-perbuatan yang haram? Adakah kita menjaga kelakuan kita dari perkara-perkara yang haram? Adakah kita menjaga mata kita dari melihat benda-benda yang haram? Adakah kita menjaga lidah kita dari mengatakan perkara-perkara yang haram?
Oleh itu saudara-saudara sekelian, apabila kita menjaga makanan dan minuman kita dari yang haram, kita semestinya juga menjaga segala perbuatan kita dari perkara yang haram. Tidak bermakna kita hanya menjaga apa yang kita makan dari benda yang haram tetapi dalam masa yang sama kita melanggar perkara-perkara lain yang diharamkan oleh Allah. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah, ayat 168:
Ertinya: Wahai sekalian manusia! Makanlah dari apa yang ada di bumi yang halal lagi baik, dan janganlah kamu ikut jejak langkah Syaitan; kerana sesungguhnya Syaitan itu ialah musuh yang terang nyata bagi kamu.
Untuk mengelakkan diri kita dari mengambil atau melakukan perkara yang haram, kita harus mengetahui apakah yang diharamkan oleh Allah s.w.t. Dengarlah firman Allah s.w.t didalam surah Al-An'am, ayat 151 :
Ertinya: Katakanlah: "Marilah, aku bacakan apa yang telah diharamkan oleh Tuhan kamu kepada kamu, iaitu janganlah kamu sekutukan dengan Allah sesuatupun; dan hendaklah (kamu) membuat baik kepada ibu bapa; dan janganlah kamu membunuh anak-anak kamu kerana takut kemiskinan, (sebenarnya) Kamilah yang memberi rezeki kepada kamu dan kepada mereka; dan janganlah kamu hampiri kejahatan-kejahatan (iaitu zina) - yang terang daripadanya dan yang tersembunyi; dan janganlah kamu membunuh jiwa yang telah diharamkan Allah (membunuhnya) melainkan dengan jalan yang hak (yang dibenarkan oleh Syarak). Dengan yang demikian itulah Allah perintahkan kamu, supaya kamu memahaminya.
Ayat yang dibacakan tadi telah menerangkan kepada kita beberapa perkara yang telah diharamkan oleh Allah.
Pertama: Allah mengharamkan kita membuat sekutu, syirik, kepadaNya. Mensyirikkan Allah bukan setakat menyembah selain dari Allah, tetapi mensyirikkan Allah termasuk juga mempunyai sifat takabbur dan riyak. Takabbur adalah membesarkan dan mengagungkan diri sendiri. Hanya Allah sahaja yang layak membuat demikian. Kita sebagai hamba tidak layak mempunyai sifat demikian. Riyak pula adalah menunjuk-nunjuk perbuatan baik kita agar dipuji oleh orang lain sedangkan apabila dia bersendirian, dia tidak melakukan perbuatan baik itu.
Kedua: Allah mengharamkan kita menyakiti ibu-bapa kita. Sebaliknya kita mesti membuat baik kepada mereka, walaupun kadang-kadang perbuatan mereka menyakiti hati kita. Ingatlah, bahawa mereka yang menjaga dan membesarkan kita dengan sabar dan kasih sayang walaupun perbuatan kita dahulu menyusahkan mereka.
Ketiga: Jangan membunuh anak kita. Dengan perkataan lain, Allah mengharamkan menggugurkan kandungan kerana takutkan kemiskinan. Anak dalam kandungan adalah makhluk Allah sama seperti kita. Maka kita tidak berhak membunuhnya.
Keempat: Jangan dekati perbuatan buruk dan zina samada yang nyata atau tersembunyi. Kadangkala seseorang menjauhkan diri dari melalukan perbuatan buruk dan keji di khalayak ramai. Tetapi apabila bersendirian dia tergamak melakukan perkara tersebut. Allah s.w.t mengingatkan kepada kita bahawa Dia melihat segala sesuatu. Maka janganlah kita mendekati perbuatan buruk samada yang terang atau tersembunyi.
Kelima: Allah mengharamkan kita dari membunuh manusia lain tanpa hak. Setiap nyawa adalah milik Allah, dan Allah hanya membenarkan manusia mengambil nyawa manusia lain dalam keadaan-keadaan tertentu sahaja yangdibenarkan oleh syarak.
Saudara-saudara sekelian,
Itulah antara perkara-perkara yang diharamkan oleh Allah. Bukan setakat memakan makanan yang bersumber dari khinzir dan arak sahaja. Jagalah perintah Allah keseluruhannya. Janganlah kita menjaga sebahagian dari perintah Allah dan meninggalkan yang lain. Firman Allah s.w.t dalam surah Al-Baqarah ayat 207:
Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Masuklah kamu ke dalam Ugama Islam (dengan mematuhi) hukum-hukumnya dengan keseluruhannya; dan janganlah kamu menurut jejak langkah Syaitan; sesungguhnya Syaitan itu musuh bagi kamu yang terang nyata.
Baarakallah......