19 November 99

 



Tajuk: Pendidikan anak-anak perempuan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah kita mempertingkatkan rasa taqwa kita kepada Allah dengan mengerjakan segala suruhanNya dan meninggalkan segala laranganNya.

Hadirin sidang Jumaat yang dimuliakan,

Anak-anak adalah kurniaan Allah s.w.t kepada kita. Dan kita sebagai ibu-bapa, bertanggungjawab dalam memberikan pendidikan yang sempurna kepada anak-anak kita, baik pendidikan keduniaan mahupun keagamaan.

Kita sebagai ibu-bapa bukan sahaja bertanggungjawab memberikan pendidikan yang sempurna, malah kita juga bertanggungjawab mengawasi perjalanan hidup anak kita, lebih-lebih lagi anak perempuan. Sebagai bapa, kita adalah wali mereka. Sebagai bapa, kitalah orang pertama yang akan ditanya oleh Allah kelak tentang akhlak dan kelakukan anak-anak perempuan kita.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Sekarang ini kita lihat kes-kes jenayah yang melibatkan anak perempuan semakin meningkat berbanding dengan pada masa dahulu. Semakin ramai anak-anak perempuan masyarakat kita yang memasuki kumpulan - kumpulan haram atau kongsi gelap. Mereka terdedah dengan perbuatan berkelahi, mencuri, menghisap dadah dan sebagainya. Ada juga antara amalan kumpulan ini yang mewajibkan para anggotanya menyembah patung-patung dan dewa-dewa, atau mengamalkan perbuatan-perbuatan syirik yang boleh membawa seseorang terkeluar dari Islam. Wal'iyaauzu billah.

Kita juga melihat semakin ramai anak - anak perempuan sekarang ini sudah tidak segan - segan lagi memasuki kelab - kelab malam, meminum arak, melakukan zina sehingga melahirkan anak - anak di luar nikah. Kemudian itu mereka tanpa perasaan belas ihsan akan membuang sahaja anak mereka itu atau menyerahkannya kepada orang lain. Fenomena sebegini sudah menjadi satu perkara biasa bagi anak perempuan pada zaman ini. Saudara-saudara sekelian, apa yang sudah terjadi pada masyarakat kita sekarang ini? Adakah dengan bertambahnya kemodenan sesebuah negara, akhlak dan budi pekerti yang baik terus runtuh? Sehingga kelakukan manusia tidak ada bezanya dari haiwan yang tiada akal?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah sekelian,

Antara punca semakin ramainya anak - anak kita terjebak dalam perkara-perkara munkar dan maksiata ini, ialah kerana kita sekarang memberikan mereka kebebasan yang tidak sewajarnya. Kita menganggap bahawa zaman mengawal anak perempuan sudah ketinggalan zaman, sudah tidak sesuai lagi diamalkan pada masa kini.

Kita sepatutnya sedar bahawa zaman sekaranglah sepatutnya kita lebih mengawal akan pergaulan anak - anak kita, kita patut tahu, dengan siapa mereka keluar ? Dengan siapa mereka berkawan? Mentelah lagi dengan kemajuan teknologi sekarang ini, kita dapat melihat bagaimana anak-anak kita dengan mudah berbual dan berhubungan dengan orang lain tanpa pengetahuan kita. Kerap kali mereka tidak mengenal dengan pasti siapa yang mereka berbual. Kegiatan ini boleh membahayakan mereka sendiri. Kita dapat membaca di akhbar-akhbar bagaimana bertambahnya kes - kes pencabulan kehormatan dan rogol akibat dari perkenalan di ruang siber.

Sidang muslim yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa anak-anak ktia lahir pada zaman yang amat berbeza dengan zaman kita dahulu. Maka pendidikan anak-anak harus disesuaikan dengan zaman anak-anak tersebut. Akan tetapi ini tidak bermakna bahawa kita harus mengorbankan prinsip dan lunas Islam dalam mendidik anak-anak kita dalam zaman moden ini. Kaedahnya berbeza. Tetapi tujuannya sama. Iaitu untuk membentuk anak-anak yang menghayati Islam dan mengamalkannya.

Sebagai ibu-bapa, kita sepatutnya melihat semua fenomena yang berlaku di sekeliling kita ini dan mengkajinya. Apakah sebab - sebab terjadi perkara demikian? Adakah kerana kita tidak memberikan pendidikan secukupnya kepada mereka? Adakah kita terlampau sibuk dengan kerja - kerja seharian, sehingga kita tidak mempunyai masa untuk mendidik anak kita, apatah lagi mengawasi mereka?

Oleh itu hendaklah kita mengkaji semula cara kita dalam mendidik anak - anak perempuan. Kalau kita perhatikan pada masa kini, para ibu-bapa memandang remeh tentang perlaksanaan aurat dikalangan anak perempuan mereka. Ramai yang berpendapat asalkan berpakaian sopan sudah memadai. Mereka menyangka bahawa kehidupan moden tidak memerlukan pakaian yangmenutup aurat. Atau pada mereka, yang terlebih penting adalah pendidikan anak-anak mereka. Adakah kita tidak ingat akan perintah Allah dalam Al-Quran yang berbunyi :

Maksudnya : Dan katakanlah kepada perempuan-perempuan yang beriman supaya menyekat pandangan mereka (daripada memandang yang haram), dan memelihara kehormatan mereka; dan janganlah mereka memperlihatkan perhiasan tubuh mereka kecuali yang zahir daripadanya; dan hendaklah mereka menutup belahan leher bajunya dengan tudung kepala mereka

Kalau kita lihat anak perempuan zaman sekarang, pakaian mereka tidak lagi melambangkan nilai Islam. Kita sebagai ketua keluarga haruslah menitik-beratkan tentang hal ini. Adakah kita ingin melihat anak - anak perempuan kita menjadi bahan tontonan lelaki yang bukan mahram? Adakah kita rela diserat oleh malaikat ke neraka, semata-mata kerana pakaian anak perempuan anak kita yang tidak menutup aurat?

Sidang Jumaat sekelian,

Pepatah mengatakan bahawa melentur buluh biar dari rebungnya. Maka, dalam kita mendidik anak - anak kita, hendaklah dimulakan dari kecil. Jika kita ingin anak-anak kita biasa menutup aurat, biasakan mereka dari kecil. Jangan kita sangka bahawa tidak sesuai memakaikan tudung untuk anak - anak perempuan kita yang masih kecil kerana mereka tidak mengetahui apa-apa. Akan tetapi disitulah letaknya kesilapan. Apabila kanak-kanak tersebut sudah terbiasa dengan pakaian yang terdedah aurat, apabila besar kelak, mereka akan berasa janggal dan rimas dengan pakaian yang menutup aurat. Mulakan pendidikan anak - anak dari kecil. Firman Allah dalam Surah At-Tahrim:

"Wahai orang-orang yang beriman! Peliharalah diri kamu dan keluarga kamu dari neraka yang bahan-bahan bakarannya: manusia dan batu (berhala); neraka itu dijaga dan dikawal oleh malaikat-malaikat yang keras kasar (layanannya); mereka tidak menderhaka kepada Allah dalam segala yang diperintahkanNya kepada mereka, dan mereka pula tetap melakukan segala yang diperintahkan."

Baarakallah...