20 April
2001


Berhutang Mengikut Kemampuan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah tingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah, dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala laranganNya. Semoga kita semua dirahmati Allah dan diberikan husnul khatimah, ameen.

Saudara-saudara sekelian,

Dalam kehidupan moden zaman sekarang ini, lumrahnya kita tidak dapat lari dari berhutang. Dengan keadaan kos kehidupan yang meningkat, untuk memiliki asas keperluan kehidupan, kadang kala kita terpaksa berhutang. Kita berhutang ketika membeli rumah. Kita berhutang ketika membeli perkakas dan perabut rumah. Kita berhutang ketika membeli kenderaan. Kita berhutang ketika berniaga. Hutang menjadi satu perkara yang sukar kita menghindarinya.

Islam tidak melarang kita berhutang. Allah s.w.t mencipta manusia. Ia mengetahui sikologi manusia dan cara kehidupan manusia. Oleh kerana itu, Allah tidak menghalang kita berhutang, atau pinjam meminjam. Akan tetapi Allah s.w.t telah meletakkan garis panduan dalam masalah berhutang agar kehidupan kita tidak porak peranda kerana hutang. Islam telah meletakkan beberapa syarat dalam berhutang, antara yang terpenting adalah ia mesti dicatit dan ditulis, dan ia mestilah bersih dari unsur riba. Allah s.w.t berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 281:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Apabila kamu menjalankan sesuatu urusan dengan hutang piutang yang diberi tempoh hingga ke suatu masa yang tertentu maka hendaklah kamu menulis (hutang dan masa bayarannya) itu dan hendaklah seorang penulis di antara kamu menulisnya dengan adil (benar).

Ayat yang saya bacakan sebentar tadi merupakan sebahagian dari ayat yang terpanjang dalam Al-Quran. Ia menerangkan kepada kita cara-cara berjual-beli dan berhutang. Ia menunjukkan berapa pentingnya konsep jual beli dan hutang berhutang dalam kehidupan manusia. Allah s.w.t juga berfirman dalam surah yang sama, ayat 275:

Ertinya: Allah menghalalkan berjual-beli dan mengharamkan riba.

Dan firman Allah dalam ayat 276:

Ertinya: Allah kurangkan (kebaikan harta yang dijalankan dengan mengambil) riba dan mengembangkan (berkat harta yang dikeluarkan melalui) sedekah. Dan Allah tidak suka kepada tiap-tiap orang yang kekal terus dalam kekufuran, dan selalu melakukan dosa.

Begitulah saudara-saudara sekelian. Kita umat Islam tidak dibenarkan menjalankan perniagaan dan berhutang dengan cara riba. Iaitu membayar kembali hutang dengan tambahan yang lebih tinggi lagi dari wang yang dithutangkan. Akan tetapi, hakikat ekonomi manusia zaman sekarang ini boleh dikatakan tiada yang seratus peratus bebas dari unsur riba.

Di dalam kaedah ugama Islam, sesuatu perkara yang sudah terlalu meluas sehingga kita tidak dapat lari daripadanya maka tiadalah dosa bagi kita. Akan tetapi, kita dianjurkan agar mengurangkan melakukan perkara munkar tersebut. Dalam perkara riba ini, kita tidak dapat lari daripadanya. Tetapi kita mesti berusaha mengurangkan keterlibatan kita dengan riba. Ini adalah berdasarkan kaedah dalam syariah bahawa setiap dharurat ditentukan dengan kadarnya.

Cara kita dapat mengurangkan keterlibatan kita dengan unsur riba ialah dengan mengurangkan urusan berhutang tanpa sebab-sebab yang perlu dan mendesak. Berhutang membawa bersamanya satu amanah dan tanggungjawab di atas bahu orang berhutang tersebut. Dan tanggungjawab ini tidak akan luput walaupun setelah kematian. Orang yang berhutang tetap dibebankan dengan hutangnya walaupun ia sudah mati. Oleh itu sebelum peninggalan seseorang itu boleh dibahagikan kepada para waris, maka hendaklah terlebih dahulu dijelaskan hutang-hutangnya dari pusaka si mati itu.

Bayangkan saudara-saudara sekelian. Jika kita berhutang tanpa keperluan yang mendesak dan tiba-tiba ajal kita datang. Tidakkah kita akan menyusahkan diri kita? Bolehkah kita berasa tenteram di kubur jika tanggungjawab kita, hutang piutang kita masih belum diselesaikan?

Oleh kerana itu, janganlah kita berlebih-lebihan dalam berhutang. Sepatutnya kita sebagai orang Islam, kita tidak perlu meminjam dan berhutang tanpa keperluan mendesak. Kita perlu ada dalam diri kita sifat qana'ah, atau sifat berasa cukup dengan perhiasan dunia. Kalau di ikut nafsu, ada sahaja yang kita hendak beli. Sehingga kita terpaksa berhutang. Walaupun kita tahu bahawa hutang tersebut akan membawa bersamanya riba yang diharamkan oleh Allah.

Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, sekiranya kita berpandukan akal dan iman, kita akan hanya membeli apa yang perlu sahaja, atau berhutang mengikut kemampuan kita. Islam tidak menggalakkan umatnya berhutang diluar kemampuannya kerana ia akan membawa mudharat dan kehancuran. Sebaliknya Islam menggalakkan umatnya agar sentiasa merasa cukup dengan nikmat dunia, tidak mengejar sesuatu hiasan dunia yang diluar kemampuan kita, kerana sifat tersebut adalah sifat yang keji yang dinamakan sifat tamak. Rasulullah s.a.w bersabda dalam nasihatnya kepada Hakim bin Hizam:

Ertinya: Wahai Hakim! Sesungguhnya harta dunia ini sesuatu yang menyenangkan dan manis. Sesiapa yang mengambilnya tanpa tamak dan tanpa mengagungkan harta tersebut, ia akan diberkati oleh Allah. Akan tetapi sesiapa yang mengambilnya dengan tamak, ia tidak akan diberkati oleh Allah. Dan ia akan seperti seorang yang makan dan terus makan tanpa rasa kenyang. Dan (ketahuilah) bahawa tangan yang memberi adalah lebih baik dari tangan yang menerima.

Begitulah saudara-saudara sekelian, bagaimana Rasulullah menerangkan kepada kita cara kita boleh mendapat keberkahan dalam harta kita. Kita tidak boleh mempunyai rasa tamak. Dan antara ciri orang yang tamak adalah mereka yang mengejar perhiasan dunia ini diluar kemampuannya, sehingga sanggup berhutang dengan banyak.

Kalaupun kita terpaksa berhutang, biarlah berhutang dengan sekadar kemampuan kita dan kurangkan hutang tersebut. Kerana orang yang berhutang sebenarnya adalah orang yang terikat kepada kepada si pemiutang. Dan ketahuilah bahawa kekayaan yang sebenarnya bukanlah terletak pada harta yang banyak, pakaian dan barang yang berjenama, dan rumah yang cantik dan besar. Kekayaan dalam Islam adalah mereka yang kurang pergantungannya kepada orang lain, sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Bukanlah kekayaan pada banyak harta, tetapi kekayaan adalah pada kurang bergantung kepada orang lain.

Baarakallah.....