Tajuk: Krisis Akhlak
Sidang Jumaat yang mulia,
Marilah kita meningkatkan taqwa kita kepada Allah s.w.t, dengan melakukan segala perintahNya dan berusaha menjauhi diri dari larangan dan tegahan Nya. Mudah-mudahan ketaqwaan kita ini akan membantu kita membina keluarga yang mengikut lunas-lunas Islam.
Saudara-saudara yang dirahmati Allah,
Kemulian dan martabat sebenar seseorang itu diukur dari akhlaknya. Jika baik akhlak seseorang, orang lain akan menghormatinya walaupun ia seorang yang miskin. Sebaliknya jika buruk akhlak seseorang, maka orang lain akan memandang hina kepadanya walaupun ia seorang yang kaya.
Begitu pentingnya akhlak sehingga seorang pujangga Arab pernah berkata:
'Sesungguhnya kaum-kaum yang berakhlak dan bermoral akan kekal. Akan tetapi jika hilang akhlak mereka, akan hilang juga kaum-kaum tersebut.'
Kita lihat bagaimana Rasulullah s.a.w dapat menarik maysarakat jahiliyah untuk memeluk agama Islam melalui akhlaknya yang mulia. Ini adalah kerana Rasulullah s.a.w diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia. Sabda Rasulullah s.a.w:
'Sesungguhnya aku diutus untuk menyempurnakan akhlak yang mulia.'
Maka kita sebagai umat Islam, sebagai pengikut yang mencintai jujungan besar kita Nabi Muhammad s.a.w, sewajarnya kita mencontohi akhlak mulia baginda. Sewajarnya kita juga mempunyai akhlak yang lebih mulia dari penganut-penganut agama lain. Akan tetapi sayang seribu kali sayang, masyarakat Islam kita sekarang ini sedang menghadapi krisis akhlak.
Sidang Jumaat yang mulia,
Kita sepatutnya menjadi contoh kepada kaum yang lain. Umat Islam dijadikan Allah sebagai umat yang terbaik. Firman Allah dalam surah Ali-Imran:
'Kamu adalah sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia'
Akan tetapi mengapakah orang Islam merupakan golongan yang terbesar menghidap dadah?! Mengapakah orang Islam yang paling ramai bercerai?! Mengapakah ramai remaja Islam kita yang mengandung anak di luar nikah?! Mengapakah anak-anak Islam kita disekolah yang paling ramai menghadapi masalah displin?!
Dimanakah silapnya??!! Adakah silap ugama Islam itu sendiri? Atau adakah ia silap diri kita sendiri sebagai umat Islam? Allah s.w.t berfirman lagi:
'Kamu menyuruh orang berbuat baik dan melarang orang dari berbuat kemunkaran.'
Sudahkah kita melaksanakan demikian? Atau adakah kita tenggelam dalam kelalaian dan hiburan?
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Allah tidak mengubah keadaan sebuah kaum sehingga kaum itu ingin mengubahnya. Maka kita harus memulakan langkah mengubah keadaan masyarakat Islam kita dahulu, barulah Allah akan memberikan berkat dan redhanya kepada kita. Kita harus mengubah keadaan masyarakat Islam kita dari sebuah kaum yang lemah kepada kaum yang kuat, dari sebuah kaum yang dipandang rendah kepada kaum yang dipandang tinggi, dari kaum yang mudah terpesona dengan hiburan dan kelalaian kepada kaum yang menitik-beratkan soal pelajaran.
Adakah kita rela masyarakat Melayu Islam kita ini terus tertinggal di belakang masyarakat lain? Adakah kita rela maruah masyarakat Melayu Islam kita ini diperkotak-katikkan oleh masyarakat lain? Adakah kita setuju masyarakat Melayu Islam kita ini dipandang sebagai sebuah kaum yang pemalas dan buruk akhlak?
Tentulah tidak!
Maka apa jawapannya?..........
Kita mesti mengubah sikap dan akhlak kita. Kita mesti mementingkan ilmu pengetahuan dari hiburan dan kelalaian. Terutama sekali ilmu yang bersangkut-paut dengan ugama kita.
Ugama Islam mengajar kita agar menjadi umat contoh. Rasulullah s.a.w telah menunjukkan kepada kita bagaimana menjadi orang yang berakhlak dan bermoral tinggi. Islam telah menggariskan kepada kita cara-cara berbudi pekerti yang mulia. Cara-cara kita membersihkan jiwa dan akhlak kita.
Tetapi kita lebih mementingkan luaran dari dalaman. Kita lebih mementingkan perkara yang zahir dari perkara yang tersembunyi. Kita ambil berat tentang kotoran yang dibawa anjing. Tetapi adakah kita juga ambil berat tentang kotoran yang dibawa oleh nafsu? Kita ambil berat tentang orang yang tidak menutup aurat memasuki masjid kita. Tetapi adakah kita juga ambil berat tentang aurat anak gadis kita di rumah? Kita perihatin tentang kebersihan rumah kita. Tetapi adakah kita juga mengambil berat tentang kebersihan hati kita dari akhlak yang buruk? Kita suka menghiasi rumah kita. Tetapi adakah kita juga gemar menghiasi akal kita dengan ilmu pengetahuan?
Sidang Jumaat yang mulia,
Pada hari yang mulia ini, dari atas mimbar ini, saya ingin menyeru kepada para jemaah sekelian:
Janganlah kita menjadi umat yang dipermainkan oleh Syaithan. Janganlah kita menjadi umat yang mundur dan lemah. Kita seharusnya menjadi umat contoh yang unggul. Kembalilah kepada Islam! Kembalilah kepada kitab Al-Quran! Kembalilah kepada ajaran Rasulullah s.a.w.
Bimbinglah diri kita dan keluarga kita agar kembali kepada ugama yang kita cintai ini. Jangan biarkan diri kita diseret oleh malaikat ke neraka Jahannam kerana maksiat yang dilakukan oleh ahli keluarga kita. Marilah kita menjadi ketua keluarga yang tauladan, bukan ketua keluarga yang lemah, yang tidak berdaya menahan anak isterinya membuka aurat di sana sini. Ingatlah sabda Rasulullah s.a.w:
'Setiap kamu adalah ketua pembimbing. Dan setiap kamu akan dipersoalkan tentang orang yang dibawah tanggungannya.'
'Dan mereka yang berdoa: Wahai Tuhan kami! Kurniakanlah kepada kami dari isteri-isteri kami dan anak-anak kami sebagai penyejuk mati hati kami. Dan jadikanlah kami ketua bagi orang-orang yang beriman'
Barakallah...