Mengembalikan budaya ilmu umat Islam
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Saya menyeru pada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar bertaqwa kepada Allah. Kita bertaqwa kepada Allah dengan melaksanakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya. Semoga kita dirahmati oleh Allah s.w.t.
Saudara-saudara sekelian,
Kita semua sudah maklum bahawa wahyu pertama yang diturunkan kepada Rasulullah s.a.w, malah perkataan pertama yang disampaikan kepada beliau, adalah perkataan "Iqra!", atau "Bacalah!". Allah tidak menyuruh Rasulullah s.a.w terus berdakwah. Wahyu pertama bukanlah "Serulah kaummu wahai Muhammad". Juga bukanlah perintah "Dengarlah!", atau "Lihatlah. Tapi wahyu pertama yang diturunkan adalah "Iqra!", "Bacalah!". Perkataan dari wahyu pertama ini mengandungi suatu perintah yang tinggi nilainya. Allah menyuruh Rasulullah s.a.w membaca. Tidakkah Allah mengetahui bahawa Rasulullah s.a.w itu buta huruf tidak tahu membaca? Bahkan, Allah mengetahuinya. Tetapi ia sebagai perintah kepada kita umat Nabi Muhammad s.a.w agar membaca, menjadikan membaca sebagai budaya dan terus membaca. Mengapa? Kerana membaca adalah kunci ilmu pengetahuan.
Maka dengan perintah "Iqra" ini, orang-orang Islam sebelum kita dengan penuh ghairah dan tanpa mengenal sifat bosan dan malas, telah mengumpul seberapa banyak ilmu yang mungkin. Sehingga mereka dapat membina sebuah tamadun manusia yang termaju pada zaman tersebut. Sehingga mereka berjaya menjadi pemimpin manusia pada zaman tersebut. Sehingga mereka mampu melahirkan para cendekiawan, intelek dan saintis Islam yang tiada tara bandingannya sehingga sekarang, para intelek dan saintis yang menjadi pengasas ilmu-ilmu. Siapakah saintis dan cendekiawan zaman sekarang yang boleh menandingi contoh-contoh seperti Ibn Sina dan Al-Biruni? Mereka bukan sahaja mahir dan pakar dalam satu-satu bidang tetapi dalam berbagai bidang. Ibn Sina sebagai contoh. Beliau dikenali sebagai seorang pakar perubatan yang mahir sekali. Buku beliau "Al-Qanun fit-Tib" mengandungi lebih sejuta perkataan mengenai perubatan. Buku tersebut menjadi bahan rujukan di univerisity-university seluruh dunia selama 600 tahun. Tidak setakat itu sahaja, Ibn Sina juga pakar dalam bidang astronomi, fizik, kimia dan matematik. Sumbangan-sumbangan beliau dalam bidang-bidang tersebut amat-amat dihargai oleh masyarakat dunia. Dan lebih dari itu, beliau juga seorang hafiz Al-Quran. Beliau telah menghafal Al-Quran dalam umurnya kurang dari 10 tahun. Kita tanya diri kita, adakah saintis zaman sekarang yang dapat menandingi ilmu beliau?
Kita lihat juga Al-Biruni. Al-Biruni adalah seorang professor yang cemerlang dan pakar dalam bidang ilmu astronomi, matematik, fizik, perubatan, geology dan ahli sejarah. Beliau juga mahir dalam banyak bahasa termasuk bahasa Yunani, Hebrew, Sanskrit. Beliau adalah yang pertama menerangkan tentang fenomena gerhana, mengiranya dengan tepat dan mencipta beberapa alat astronomi baru. Beratus-ratus tahun sebelum orang barat mengetahui bahawa bumi ini berpusing, beliau telah pun mengetahuinya, bahkan beliau dapat mengira dengan tepat garisan-garisan latitud dan longitud. Al-Biruni juga adalah orang pertama yang mengetahui bahawa bunga mempunyai 3, 4, 5, 6 atau 18 kelopak (petals), tetapi tidak pernah 7 atau 9. Saya ingin bertanya, selama kita hidup di dunia ini, pernahkan kita berhenti dan menghitung kelopak bunga? Atau adakah kita terlalu sibuk mencari kemewahan dunia hingga lupa untuk menghargai (appreciate) kecantikan dan keunikan ciptaan Allah s.w.t di bunga?
Saudara-saudara sekelian,
Begitulah sumbangan para ulama dan ilmuwan Islam zaman dahulu. Mereka pembawa obor ilmu dan intelek di dunia. Mereka menjadi pemimpin. Tetapi sekarang, saudara-saudara sekelian, sekarang ini. Apakah sudah terjadi kepada umat Islam? Dimanakah obor ilmu yang telah dinyalakan oleh ulama zaman dahulu? Kepada tangan siapakah obor ilmu ini? Adakah ditangan kita? Adakah kita ini menjadi pemimpin atau yang dipimpin?
Dimanakah contoh-contoh seperti Ibn Sina dan al-Biruni dalam umat Islam? Adakah kita lemah sekali sehingga tidak mampu untuk melahirkan para ilmuwan seperti mereka? Allah s.w.t telah berfirman dalam surah Al-Baqarah, ayat 134 dan 141:
Ertinya: Itulah umat yang telah berlalu. Untuk mereka apa yang mereka usahakan dan untuk kamu apa yang kamu usahakan. Dan kamu tidak akan ditanya tentang apa yang mereka kerjakan.
Mereka telah memimpin dan untuk mereka ganjarang mereka di dunia dan akhirat. Tetapi kita saudara-saudara sekelian. Apa sumbangan ilmu umat Islam, khususnya di Singapura ini. Warisan yang mereka berikan kepada kita telah kita lalai dan leka. Kita tidak endahkannya sehingga dipungut oleh masyarakat Barat. Tidakkah kita mahu ambil kembali warisan tersebut?
Saudara-saudara sekelian,
Jika kita lihat wahyu pertama yang diturunkan oleh Allah s.w.t dengen bunyinya:
"Bacalah dengan nama TuhanMu yang menciptakan! Dia yang menciptakan mausia dari segumpal darah yang melekat. Bacalah! Dan Tuhanmu amat Pemurah. Yang mengajar manusia dengan pena. Mengajar manusia apa yang mereka tidak ketahui"
Lihatlah firman Allah ini, wahyu pertama ini. Bagaimana Allah mengutamakan usaha mencari ilmu. Kita diperintahkan agar membaca. Membaca bukan untuk suka-suka, tetapi membaca untuk mencari ilmu dan mengkaji. Lihatlah bagaimana Allah mendatangkan contoh yang terbaik hasil dari pembacaan. Kita akan dapat mengetahui kebesaran Allah dalam penciptaan manusia. Kemudian Allah menerangkan cara untuk mendapatkan ilmu: cara pertama adalah dengan membaca. Cara kedua adalah dengan menulis. Mencatit kembali ilmu yang telah dipelajari. Seperti pepatah Arab yang maknanya:
"Ilmu itu adalah binatang yang ditangkap, dan menulis itu adalah pengikatnya agar tidak hilang"
Inilah budaya yang harus ditanam dan dipupuk oleh kita. Budaya membaca dan menulis. Sekarang saya ingin bertanya, beberapa ramai dari kita yang gemar membaca? Untuk mengetahui jawapannya, pergilah ke kutubkhanah. Pergilah ke kedai-kedai buku besar. Pergilah ke pesta-pesta buku. Kemudian perhatikanlah. Berapa ramai dari orang Islam yang dapat kita lihat? Besar kemungkinan, amat sedikit sekali orang Islam yang dapat kita lihat di sana. Kemudian, pergilah ke perlawanan-perlawanan bolasepak. Pergilah ke pesta-pesta muzik. Pergilah ke pantai-pantai. Berapa ramaikah orang Islam yang berada disitu? Saudara-saudara sekelian, dimanakah perginya budaya suka membaca di kalangan masyarakat Islam kita? Kita bangga menjadi umat Islam. Kita marah kalau orang menghina Islam. Tetapi arahan dan suruhan pertama Allah kita abaikan. Allah menyuruh kita membaca untuk mencari ilmu. Kita abaikan perintah tersebut. Dimanakah kebanggaan kita sebagai umat Islam?
Sebagai orang awam kita digalakkan membaca, malah diperintahkan oleh Allah agar mempunyai minat membaca. Dan untuk mereka yang mempunyai ilmu dan yang sedang menuntut ilmu Allah, maka perintahkan yang kedua, iaitu menulis. Sekali lagi saya ingin bertanya kepada saudara-saudara, adakah budaya menulis ini subur di masyarakat kita? Untuk jawapannya, lihat sahaja bilangan buku dan kitab yang ditulis oleh masyarakat Islam kita. Pergilah ke kedai-kedai buku. Hitunglah dengan jari buku-buku yang ditulis oleh masyarakat Islam kita di Singapura ini. Berapakah bilangan buku-buku tersebut berbanding dengan buku-buku tulisan orang-orang Cina dan Barat?
Saudara-saudara sekelian,
Mengapakah masyarakat Islam kita tidak memupuk dan mengagungkan budaya ilmu? Mengapakah kita tidak meletakkan keutamaan pada membaca? Mengapakah kita merasa berat dan ketandusan idea-idea untuk mengambil pena untuk menulis? Mengapakah kita merasa cukup dan puas dengan sedikit ilmu yang kita ada, dan redha dengan pencapaian ilmu oleh mereka yang bukan Islam?
Masyarakat Islam bukan masyarakat bodoh. Kita bukan umat yang lemah. Kita umat yang pandai dan kuat. Kita mempunyai warisan tamadun ilmu Islam yang gilang-gemilang. Marilah! Marilah kita kembalikan warisan ilmu tersebut. Kita mampu melakukannya, insya Allah. Kita ambil tapak pertama, iaitu memupuk budaya membaca dikalangan kita. Semoga dengan itu Allah akan menambahkan ilmu kita dan menjadikan kita umat penghasil (producer) dan bukan pengguna (consumer). Semoga kita menjadi umat yang cemerlang dan cinta pada ilmu, ameen.
Baarakallah........