22 Jun
2001


Islam agama toleransi

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Saya menyeru diri saya dan saudara-saudara sekelian agar bertaqwa kepada Allah s.w.t. Dengan taqwa sahajalah segala kebaikan akan diperolehi di dunia dan diakhirat.

Sidang Jumaat Yang Dirahmati Allah,

Islam adalah agama yang dijadikan oleh Allah untuk manusia seluruhnya. Ia adalah agama yang sempurna. Pengajaran Islam meliputi setiap sudut kehidupan manusia. Di dalam Al-Quran terdapat dasar-dasar dan panduan yang telah diberikan Allah untuk setiap peringkat, samada individu, keluarga, masyarakat mahupun negara, kesemuanya telah ditetapkan oleh Allah s.w.t dasarnya di dalam Al-Quran.

Panduan dan dasar ini adalah relevan pada setiap zaman dan tempat, bagi setiap bangsa dan kaum tidak kira yang berkulit hitam mahupun yang cerah. Islam adalah kebenaran dan kebenaran perlu dipelihara dan diamalkan. Tanpa kebenaran manusia tentu berada dalam kebatilan. Sedang kebatilan adalah kerugian, oleh itu Islam perlu dipelihara agar manusia tidak kerugian.

Namun begitu, walaupun Islam merupakan agama yang benar, satu-satunya agama yang harus kita anuti, Islam membuat pendekatan tidak membenarkan sesiapa jua dari orang-orang yang beriman menyuruh penganut lain meninggalkan agama mereka dan memeluk Islam dengan cara paksaan. Tiada paksaan dalam memeluk Islam. Firman Allah dalam surah Al-Baqarah ayat 256

Yang bermaksud: Tidak ada paksaan untuk (memeluk) agama (Islam). Sesungguhnya telah jelas yang benar daripada yang salah.

Jelasnya, Islam adalah agama yang bertoleransi dalam hidup berbilang bangsa dan agama. Sejarah telah membuktikan hal ini.

Ketika Nabi s.a.w berada di Madinah baginda dan para sahabat tinggal bersama-sama orang-orang yahudi. Orang-orang yahudi kekal dengan agama mereka dan mereka tidak dipaksa memeluk Islam.

Begitu juga jika kita perhatikan dalam sejarah keagamaan, orang-orang nasrani sudah wujud di Mesir ketika para sahabat membawa Islam. Apabila Islam menguasai Mesir orang-orang nasrani terus hidup bersama orang-orang Islam. Mereka tidak dipaksa meninggalkan agama mereka.

Begitu juga ketika mana Islam menguasai sebahagian benua Eropah. Orang-orang nasrani tetap wujud dan hidup bersama-sama dengan orang Islam. Sebaliknya apabila empayar Islam jatuh di Andalus, atau yang sekarang dikenali sebagai Spain, orang-orang Islam dihalau, dibunuh dan dipaksa memeluk agama Kristian. Bahkan banyak bangunan-bangunan yang indah dan cantik yang dibina oleh orang Islam dirobohkan.

Sememang dari dahulu lagi dan sehingga kini Islam sentiasa ditohmah dan dikatakan sebagai agama yang menganjurkan kepada keganasan. Islam selalu dikaitkan dengan ekstrimis, pelampau dan sebagainya. Tetapi sejarah dan realiti telah mengajar kita dan menunjukkan sebaliknya, Islam adalah rahmat kepada sekelian alam

Ketahuilah saudara-saudara sekelian bahawa Islam bukanlah agama yang memaksa. Baginda Nabi s.a.w dalam perjuangannya tidak pernah menggunakan pedang menyuruh orang memeluk Islam, dan baginda tidak mengajar demikian dan tidak juga para sahabatnya. Malah apa yang Nabi s.a.w pamerkan dan tunjukkan kepada kita adalah rasa kasih sayang, hormat menghormati sesama manusia tanpa mengira samada ianya beriman, atau pun tidak.

Sidang Jumaat Sekelian,

Islam memandang bahawa adalah menjadi sunnatullah (peraturan alam yang ditetapkan oleh Allah) bahawa manusia akan mempunyai perbezaan pendapat di antara mereka, maka begitu jugalah dalam masalah kepercayaan atau akidah.

Firman Allah dalam Surah Hud ayat 118:

Yang bermaksud : Jikalau Tuhanmu mengkhendaki tentu dia menjadikan manusia umat yang satu, tetapi mereka sentiasa berselisih pendapat.

Dan Allah s.w.t menjelaskan lebih lanjut kepada Nabi s.a.w akan hakikat berlakunya perbezaan dalam akidah dalam surah Yusuf ayat 103 yang berbunyi:

Yang bermaksud: Dan sebahagian besar manusia tidak akan beriman walaupun kamu sangat menginginkan (agar mereka beriman).

Kerana itulah maka Allah s.w.t mengingatkan kita dengan firmannya dalam surah Yunus Ayat 99:

Yang bermaksud: Dan jikalau Tuhanmu menghendaki nescaya akan beriman semua yang berada di muka bumi keseluruhannya. Maka apakah kamu (hendak) memaksa manusia supaya mereka semua menjadi orang-orang yang beriman?

Setelah kita mendengar ayat-ayat Allah s.w.t yang baru dibacakan masih adakah orang yang mengatakan bahawa Islam agama yang menyuruh orang lain untuk memeluk Islam secara paksa?

Sidang jemaah yang dirahmati Allah,

Baginda Nabi besar Muhammad s.a.w telah menunjukkan contoh yang terbaik dalam berurusan dengan mereka yang bukan Islam. Rasulullah s.a.w bersikap lembut terhadap mereka, berbicara bersama mereka, menziarahi mereka samada semasa hidup, mahupun yang meninggal dunia, malah Nabi s.a.w pernah menziarahi seorang wanita yahudi yang sakit padahal ketika sehatnya wanita itu selalu menyakiti baginda.

Ibnu Abbas pada sesuatu ketika hendak menyembelih kambing, lalu dia mengingatkan kepada penyembelih agar tidak lupa memberikan sedikit bahagian daging tersebut kepada jirannya. Kerana terlalu kerap dia mengingatkan hal tersebut si penyembelih meminta dia berhenti berbicara hal tersebut.

Jiran Ibnu Abbas adalah seorang yang beragama Yahudi.

Bergaul baik dengan mereka yang bukan Islam adalah salah satu bentuk dakwah yang boleh dilakukan oleh setiap orang-orang Islam. Setiap individu muslim perlu melihat bahawa bergaul baik itu sebagai satu cara berdakwah. Ia boleh memberi kesan kepada orang yang kita pergauli. Janganlah kita terpengaruh dengan puak-puak yang jahil tentang Islam yang menyuruh menunjukkan rasa kebencian, permusuhan kepada yang mereka yang bukan Islam tanpa dasar-dasar yang jelas.

Sidang jumaat sekelian,

Islam mengajarkan umatnya agar bertolak ansur dan bersikap lapang dada dalam urusan-urusan keduniaan, tetapi dalam masa yang sama harus mempunyai prinsip-prinsip yang kukuh dan diperjelaskan kepada mereka yang bukan Islam. Selagimana tolak ansur tidak menyentuh dari sudut I'tiqad dan Syiar yang menjadi pokok dalam Islam seperti solat, haji dan zakat maka ia diperbolehkan. Bergaullah sesama manusia dengan akhlak Islamiah, kerana akhlak islamiah adalah kebaikan dan kebaikan tersebut boleh menjadi kunci tertariknya manusia kepada Islam.

Barakallah......