Waktu-waktu yang afdhal beribadat
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Setiap Jumaat kita diminta untuk meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah.
Tidak kurang juga pada hari ini, saya menyeru saudara-saudara sekelian dan diri saya sendiri untuk terus bertaqwa kepada Allah.
Taqwa bermaksud kita melakukan apa yang diperintah oleh Allah dan meninggalkan segala yang dilarang oleh Allah.
Inilah taqwa.
Taqwa boleh bertambah dan boleh berkurang. Setiap kali kita melakukan maksiat, taqwa kita akan berkurang.
Setiap kali kita melakukan amal soleh, taqwa kita akan bertambah.
Allah s.w.t telah menganugerahkan kepada kita masa-masa tertentu, masa-masa yang afdhal, yang mempunyai banyak kelebihan,
untuk kita meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, dengan memperbanyakkan ibadah kepadanya.
Dalam satu putaran hari, ada waktu-waktu yang afdhal untuk beribadat. Waktu-waktu yang mustajab doa.
Waktu-waktu yang digandakan pahala. Antaranya adalah waktu malam.
Waktu malam dikhususkan oleh Allah untuk hamba-hambanya mendekatkan diri mereka kepadaNya.
Ia adalah waktu yang sangat baik untuk beribadat, ketika manusia semua sedang tidur lena, seorang hamba bermunajat berseorangan dengan
Tuhan Penciptanya, berlinangan air matanya mengenangkan segala dosanya, cinta untuk bertemu dengan Tuhan Rabbul' Alamin.
Itulah ciri-ciri orang-orang yang dekat pada Allah. Dan diwaktu keheningan malam itulah, Allah memperkenankan permintaan hamba-hambanya.
Bersabda Rasulullah s.a.w:
Ertinya: Sesungguhnya didalam malam itu ada satu waktu yang mana tidak bertemu seorang Mukmin waktu tersebut, dia meminta dari Allah kebaikan di dunia dan akhirat,
kecuali keperkenankan Allah permintaan tersebut.
Dan sabda Rasulullah s.a.w lagi:
Ertinya: Turun (rahmat) Allah pada langit dunia ketika tinggal sepertiga malam, maka Allah menyeru: Adakah orang-orang yang berdoa maka akan Aku perkenankan,
adakah orang-orang yang meminta maka akan
Aku berikan kepadanya, adakah orang-orang yang meminta ampun dan beristighfar maka akan Aku ampunkannya?
Begitulah saudara-saudara sekelian, begitu luas rahmat Allah pada waktu malam bagi hamba-hambaNya yang ingin mendekatkan diri mereka kepadaNya. Adakah kita dari kalangan mereka?
Saudara-saudara sekelian,
Sekiranya kita terlepas dari melakukan ibadah pada waktu malam, maka janganlah kita terlepas peluang untuk beribadat pada waktu berikutnya yang afdhal, iaitu waktu selepas solat Subuh hingga terbit matahari.
Ini adalah waktu yang afdhal beribadat. Rasulullah s.a.w bersabda:
Ertinya: Sesiapa yang melakukan solat Subuh berjemaah, kemudian berzikir kepada Allah sampai matahari terbit, lalu ia bersembahyang lagi dua rakaat adalah seperti pahala haji dan umrah yang sempurna.
Nah, begitu besar pahala mereka yang duduk berzikir mengingati Allah selepas solat Subuh hingga terbit matahari. Adakah kita dari kalangan mereka?
Namun Allah itu Maha Pengasih. Jika kita terlepas dari waktu yang afdhal ini, Allah telah menyediakan waktu sebelum tenggelam matahari sebagai waktu yang baik untuk mengingatiNya.
Firman Allah s.w.t dalam surah Toha, ayat 130:
Ertinya: Oleh itu, bersabarlah akan apa yang mereka katakan, dan beribadatlah dengan memuji Tuhanmu sebelum matahari terbit dan sebelum terbenamnya; dan beribadatlah pada saat-saat dari waktu malam dan
pada sebelah-sebelah siang; supaya engkau reda.
Waktu sebelum terbit dan tenggelam matahari adalah waktu yang Allah telah khususkan untuk mengingatinya. Maka marilah kita menjadi orang-orang yang mengingati Allah.
Jika kita terlepas juga waktu ini, Allah telah menyediakan untuk kita waktu antara Maghrib dan Isyak. Ia adalah waktu yang sangat baik untuk mengerjakan solat, membaca Al-Quran, mempelajari ilmu-ilmu
agama dan berzikir mengingati Allah. Inilah peluang terakhir waktu yang afdhal untuk beribadat sebelum kita masuk tidur. Janganlah kita lepaskan peluang terakhir dalam sehari itu.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Waktu-waktu yang sebutkan tadi adalah dalam satu hari. Dalam satu minggu pula, Allah telah mengkhususkan hari Jumaat sebagai sayyidul ayyam, penghulu segala hari.
Hari Jumaat adalah hari yang Allah gandakan ganjaran amalan baik hamba-hambanya yang soleh. Mereka yang mengisi malam Jumaat dengan memperbanyakkan ibadat, mereka yang bersegera pergi ke masjid seawal waktu
yang mungkin untuk merebut ganjaran pahala yang besar. Mereka yang mendengar khutbah Jumaat dengan khusyuk, mereka yang bersedekah kepada orang-orang miskin pada hari Jumaat.
Mereka itulah orang-orang yang mendapat ganjaran yang besar dari Allah s.w.t. Adakah kita termasuk dalam golongan orang-orang tersebut? Hari ini adalah hari Jumaat.
Jika kita terlepas dari melakukan amal-amal soleh yang saya nyatakan tadi, maka berazamlah untuk melakukannya pada Jumaat yang akan datang, dan berdoalah agar kita masih hidup,
kerana ktia tidak tahu bilakah ajal akan mendatang.
Dan dalam seminggu, disunatkan berpuasa pada hari Isnin dan Khamis kerana pada kedua-dua hari tersebut, segala amal dibentangkan kepada Allah s.w.t. Rasulullah s.a.w sentiasa
berpuasa Isnin dan Khamis dan beliau bersabda:
Ertinya: Dua hari (iaitu Isnin dan Khamis) dimana segala amal dibentangkan dihadapan Allah. Dan aku suka sekali agar amal ku dibentangkan ketika aku berpuasa.
Ini lah Rasulullah s.a.w, seorang manusia yang memang terjamin dengan maqam yang tertinggi disisi Allah. Beliau mahu agar dibentangkan amalan beliau ketika beliau berpuasa.
Bagaimana pula kita, umatnya? Kita yang banyak melakukan maksiat, dan sedikit melakukan amal kebajikan. Tidakkah kita juga mahu agar amal kita dibentangkan dihadapan Allah semasa kita berpuasa?
Saudara-saudara sekelian,
Seseorang tidak akan terdorong untuk melakukan amal soleh kecuali dengan dua kunci: Pertama, kesedaran akan hakikat sebenar dia diciptakan dan apakah kesudahannya kelak di akhirat.
Kedua, pertolongan dari Allah s.w.t.
Sesungguhnya, orang-orang yang sedar akan kekurangan amal solehnya, akan berazam dan beriltizam meningkatkan amal solehnya, kerana dia sedar bahawa amal buruknya melebihi amal solehnya.
Dan jika amal buruk lebih berat dari amal soleh, maka neraka lah tempatnya. Dan sudah tentu kita tidak mahu dimasukkan ke dalam neraka.
Kedua, pertolongan dari Allah. Setiap amal memerlukan pertolongan dari Allah untuk melakukannya dengan iltizam.
Maka berazamlah, dan berdoalah kepada Allah agar kita diberikan kekuatan dan kecintaan untuk melakukan amal-amal soleh.
Baarakallah......