22 December
2000


Lailatul Qadar

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Pada kesempatan yang berbahagia ini, marilah kita sama-sama tingkatkan iman dan taqwa kita kepada Allah s.w.t. agar dapat kita capai segala kebaikan serta keampunanNya. Lebih-lebih lagi di dalam bulan yang penuh keberkahan ini, bulan yang dilipat gandakan segala amal kebajikan yang boleh kita lakukan. Semoga kita semua dapat merebut peluang yang ada ini agar kita tidak tergolong di dalam golongan orang-orang yang rugi.

Kaum muslimin, sidang Jumaat yang berbahgia,

Kita sekarang sedang berada di hari-hari yang terakhir pada bulan Ramadhan. Pada hari-hari terakhir ini, junjungan kita Rasulullah s.a.w. menggalakkan umat baginda untuk meningkatkan amal ibadah, kerana pada waktu inilah akan turunnya malam yang apabila seorang hamba beribadah, ibadahnya adalah seperti ibadah selama seribu bulan. Malam itu dinamakan malam Lailatul Qadar.

Saiyidatuna Aisyah, isteri Rasulullah pernah berkata:

Ertinya: Adalah nabi s.a.w. apabila tiba malam sepuluh terakhir dari bulan Ramadhan, beliau mempergiatkan lagi ibadahnya, menghidupkan malamnya dan mengejutkan ahli keluarganya untuk beribadah.( Hadith riwayat Bukhari dan Muslim). Dan di dalam riwayat Muslim dikatakan: Biasanya nabi s.a.w. lebih rajin pada malam sepuluh terakhir dalam bulan Ramadhan, lebih daripada malam-malam yang lain.

Rasulullah s.a.w. juga mengistimewakan sepuluh malam terakhir bulan itu dengan amal ibadah yang tidak dilakukannya pada lain-lain bulan.

Ubadah ibnus Somit telah berkata bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Ertinya: Carilah malam Lailatul Qadar itu pada malam sepuluh yang akhir dan ganjil, iaitu malam 21 atau 23 atau 25 atau 27atau 29 atau malam yang terakhir. Maka barangsiapa yang bertepatan bangun untuk melakukan solat dengan penuh keimanan dan mengaharapkan pahala, maka akan diampuni dosa-dosanya yang lalu dan yang akan datang. (Riwayat At-Tabraani).

Sidang Jumaat yang mulia,

Lailatul Qadr menurut bahasa ialah malam kemuliaan dan malam kebesaran. Adapun kelebihan malam ini ada termaktub di dalam Al-Quran seperti turunnya kitab suci Al-Quran. Allah juga telah menerangkan bahawa malam ini adalah lebih baik daripada seribu bulan. Para malaikat beserta Jibril juga akan diturunkan ke bumi dengan izin Allah pada malam yang mulia ini. Allah juga telah menjamin kesejahteraan malam ini akan berpanjangan sehingga terbit fajar.

Kenyataan ini jelas disebut di dalam surah Al-Qadr, ayat 1-5, yang berbunyi:

Ertinya: Sesungguhnya Kami menurunkan Al-Quran itu pada malam Qadr. Tahukah kamu apa itu malam Qadr? Malam Qadr iaitu suatu malam yang lebih baik dari seribu bulan. Malaikat turun dan demikian juga Jibril pada malam itu dengan izin dari Tuhan mereka dalam beberapa urusan yang bermacam-macam. Sejahteralah ia hingga terbit fajar.

Sidang Jumaat yang mulia,

Adapun sebab-sebab turunnya ayat itu ialah, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas:

Pada suatu hari, Rasulullah s.a.w. menceritakan kepada para sahabat-sahabatnya tentang seorang lelaki berbangsa Yahudi, di zaman purbakala yang bernama Syam'un Al-Ghazi, berjuang di jalan Allah, menyumbangkan baktinya selama seribu bulan. Di waktu malam harinya digunakan untuk beribadat dan diwaktu siangnya digunakan untuk berperang atau berjuang menghancurkan musuh-musuh Islam. Para sahabat yang mendengar, semuanya merasa kagum apabila mendengar kisah itu. Oleh sebab itu, Rasulullah s.a.w. memohon doa kepada Allah, dengan suara yang bernada keluhan: " Ya Allah, engkau telah jadikan umat ku pendek-pendek umurnya dan amalannya sedikit."

Akhirnya turunlah wahyu Allah sepertimana yang terdapat di dalam surah Al-Qadr ini, di mana Allah telah mengurniakan kepada umat Muhammad satu malam yang sama nilai ibadahnya seperti seribu bulan.

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Mengapa Allah s.w.t. tidak menjelaskan secara terang-terangan tentang bila adanya malam Lailatul Qadr itu? Sudah tentu jawapannya ialah supaya kita selalu berjaga-jaga dengan memperbanyakkan ibadah seperti berzikir kepada Allah, membaca Al-Quran dan melakukan solat-solat sunnat pada setiap malam Ramadhan. Dengan yang demikian itu, tentu kita akan mendapat fadhilat malam Lailatul Qadr itu. Seandainya kita diberitahu secara pasti tentang datangnya malam itu, tentu kita hanya akan lebih giat beribadah pada malam yang sudah ditentukan itu saja dan bersikap sambil lewa pada malam-malam yang lain.

Selain daripada apa yang dijelaskan di dalam Al-Quran, terdapat juga hadith-hadith yang sahih yang menganjurkan supaya kaum muslimin meningkatkan amal ibadah mereka pada malam Lailatul Qadr itu dengan melakukan i'tikaf di masjid, membaca Al-Quran, bersedekah, berzikir, memperbanyakkan berdoa kepada Allah dan lain-lain ibadah lagi, sebab malam ini banyak fadhilatnya sepertimana yang telah dijelaskan sebentar tadi.

Siti Aisyah pernah bertanya kepada Rasulullah s.a.w: " Kalau saya mengetahui ( bertemu) dengan malam Lailatul Qadr itu, apa yang harus saya lakukan?" Rasulullah s.a.w. menjawab:

"Ucapkanlah: Ya Allah! Engkau adalah zat Pengampun, Engkau cinta kepada keampunan. Oleh kerana itu, berilah keampunan kepada ku."

Oleh itu, marilah kita berlumba-lumba untuk mendapatkan malam Lailatul Qadr itu, malam yang penuh dengan keberkahan dan kenikmatan dengan memperbanyakkan amal ibadah. Mudah-mudahan Allah akan memberikan hidayahNya kepada kita agar kita semua dapat ditemukan dengan malam yang amat dinanti-nantikan ini dan semoga dengan itu juga, dapatlah kita membiasakan diri kita untuk beribadah kepada Allah, sentiasa mengingatiNya dalam apa jua keadaan demi untuk meraih rahmat serta keampunan Allah s.w.t. Sesuai dengan perintah Allah yang disebut di dalam surah Ali 'Imran, ayat 133:

Yang bermaksud: Dan bersegeralah kamu kepada ampunan dari Tuhan mu dan kepada syurga yang luasnya seluas langit dan bumi yang disediakan untuk orang-orang yang bertaqwa.

Baarakallah.....