23 March
2001


Menghayati Peristiwa Hijrah

Saudara-saudara kaum muslimin sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan perintah-Nya dan meninggalkan segala tegahan-Nya. Agar kita mendapat rahmat dari Allah dan keredhaanNya. Dan agar kita meninggalkan dunia yang fana ini dalam keadaan benar-benar beriman dan bertaqwa kepada Allah.

Selang beberapa hari lagi, kita akan bertemu dengan bulan Muharram, bulan yang ditetapkan sebagai bulan untuk memulakan perkiraan tarikh Islam, iaitu taqwim hijriah. Hijrah bererti pindah dari suatu tempat ke tempat lain.

Dalam sejarah Islam, hijrah adalah perpindahan umat Islam dari kota Makkah. Di zaman Rasulullah s.a.w, telah terjadi beberapa penghijrahan. Iaitu dimulai dengan penghijrahan sebahagian kaum muslimin dari Makkah ke Habsyah untuk menyelamatkan diri dari kezaliman orang-orang kafir Quraisy. Kemudian penghijrahan kaum muslimin dari Makkah ke Madinah bersama dengan Rasulullah s.a.w. Antara tujuan penghijrahan tersebut adalah untuk menyebarkan Islam yang telah ditindas dan disekat perkembangannya di Makkah, dan untuk mengatur langkah-langkah pengembangan Islam selanjutnya. Peristiwa ini telah dinyatakan Allah sebagaimana firman-Nya dalam surah Al-Anfal, ayat 74 :

Ertinya : "Orang-orang yang beriman, dan berhijrah lagi berperang pada jalan Allah beserta orang-orang yang memuliakan tamu (ahli Madinah) dan yang menolong, mereka itulah orang beriman sebenarnya, bagi mereka ampunan dan rezki yang mulia".

Kaum muslimin yang dirahmati Allah,

Dengan datangnya bulan Muharram 1422 Hijriah ini, bermakna umur kita sudah berkurang setahun lagi. Tahun Hijriah 1421 telah kita lampaui, sama ada ia meninggalkan kenang-kenangan manis dan pahit yang kita rasai. Mungkin dalam setahun itu kita telah mendapat banyak keuntungan dan mungkin juga beberapa kerugian. Sama ada dari segi keduniaan mahu pun juga akhirat. Adakah kita semua menyedari bahawa dengan meningkatnya usia kita, ia juga bererti semakin berkurangnya tempoh kita hidup di dunia ini ? Dari hari ke hari, akhirnya menjadi minggu, sebulan akan berlalu menjadi setahun dan akhirnya akan sampailah kita ke penghujung jalan, ke detik terakhir kehidupan kita di dunia ini, iaitu ajal kematian, yang pasti tiba.

Akan berbahagialah mereka yang sewaktu didatangi ajalnya itu banyak amal kebajikannya. Sebaliknya akan rugilah mereka yang tidak menyediakan bekalan amalan salih bagi perjalanannya yang lebih jauh lagi, iaitu di akhirat kelak. Hari di mana semua amalan yang dilakukan manusia di dunia ini, akan dibentangkan di hadapan semua manusia dari zaman Nabi Adam hingga manusia terakhir di dunia ini. Semuanya akan dihisab oleh Allah. Yang baik akan diberi ganjaran yang baik. Yang buruk akan diberi ganjaran yang buruk. Dari sekecil-kecil hingga sebesar-besar perbuatan. Allah berfirman dalam surah Al-Zilzal, ayat 6 hingga 8 :

Yang bermaksud : "Hari itu manusia datang, terbagi dalam golongan-golongan, untuk diperlihatkan kepadanya perbuatan-perbuatannya. Maka barangsiapa melakukan kebaikan seberat zarrah (debu yang amat halus) kebaikan, nescaya akan dilihatnya kebaikan itu. Barangsiapa yang mengerjakan seberat zarrah kejahatan, nescaya akan dilihatnya kejahatan itu".

Sidang Jumaat yang dimuliakan Allah,

Apa yang akan berlaku pada masa hadapan kita, tidaklah kita mengetahuinya. Adakah ia akan dipenuhi dengan cahaya dari rahmat Allah atau akan merupakan kegelapan kerana tindak tanduk kita yang tidak diredhai Allah? Tetapi yang pasti ialah masa hadapan itu bukan zaman yang telah berlalu atau apa yang sedang berlaku sekarang ini. Yang pasti, perubahan-perubahan akan terus terjadi diseluruh dunia ini dengan tidak ada hentinya. Yang tidak berubah hanyalah perubahan itu sendiri.

Dari itu, sempena perpindahan kita dari tahun 1421 masuk ke tahun 1422 ini, tekadkanlah azam kita untuk berpindah juga dari sikap yang kurang baik atau tidak baik kepada yang baik atau lebih baik lagi. Seharusnyalah kita umat Islam memperbaharui sikap, azam dan semangat kita untuk mengorak langkah ke hadapan, mengubah corak pemikiran dan tingkah laku kita supaya mengikut lunas-lunas pengajaran Islam yang sentiasa sesuai dengan mana-mana tempat atau masa.

Berhijrahlah daripada sifat suka keji mengkeji, caci mencaci, hina menghina, bersangka buruk dan seumpamanya kepada sikap baik sangka dan rasa persaudaraan Islam. Itulah sebahagian dari gambaran dan pengajaran pengertian hijrah yang sebenarnya yang telah ditunjukkan oleh Rasulullah s.a.w. Sejarah telah membuktikan kepada kita bagaimana dengan sikap-sikap yang positif ini, Rasulullah s.a.w. telah berjaya menghubungkan tali persaudaraan antara golongan Muhajirin dari Makkah dengan golongan Ansar yang menjadi penduduk Madinah. Persaudaraan yang telah menghasilkan perpaduan dan kerjasama diantara umat Islam di kota Madinah itu. Yang dengan adanya kerjasama dalam suasana persaudaraan inilah, maka Madinah menjadi maju dan menjadi pusat perkembangan Islam, agama yang tersebar luas pada hari ini keseluruh pelusuk alam.

Marilah kita bersama-sama memperbaharui azam kita , memperbaharui semangat dan niat kita untuk menjalankan dan mengerjakan segala perintah Allah dalam tahun-tahun akan datang yang masih ada bagi kita. Hendaklah kita insaf, bahawa setiap hari yang telah lepas tidak kembali. Ingatlah dalam kita menjalani kehidupan ini, janganlah ada hari yang terbuang dengan sia-sia, sehari yang berlalu dengan sia-sia, bererti kita telah membuang sebahagian dari umur dan nyawa kita dengan sia-sia. Ianya juga bererti kita telah terlepas peluang untuk mendapatkan keuntungan di dunia ini, malahan juga menyediakan bagi bekalan akhirat.

Saidina Ali Bin Abi Talib telah berkata yang maksudnya : "Barangsiapa menghabiskan masa hariannya tanpa hak yang dikerjakannya atau kewajipan yang ditunaikannya, atau kemuliaan yang dibinanya, atau kepujian yang diperolehinya, atau kebajikan yang diasaskannya, atau ilmu yang didapatinya, maka sesungguhnya dia telah menderhakai harinya itu".

Sebagai penutup khutbah Jumaat ini, sama-samalah kita hayati firman Allah dalam surah Al-Hasy, ayat 18 :

Yang bermaksud : "Hai orang-orang yang beriman, bertaqwalah kepada Allah dan hendaklah setiap diri memperhatikan apa yang telah diperbuatnya untuk hari esok dan bertaqwalah kepada Allah, sesungguhnya Allah Maha Mengetahui apa yang kamu kerjakan".

Barakallah........