Tajuk: Setiap Diri Akan Menghadapi Maut.
Sidang Jumaat yang mulia,
Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benarnya semoga kamu mendapat keampunan Allah dan keredhaanNya.
(al-Imran ayat 185)
Maksudnya: Setiap diri pasti menempuh maut dan akan dibalaskan ganjaran-ganjaran kamu pada hari kiamat. Maka siapa yang dilepaskan daripada api neraka dan dimasukkan ke syurga maka sesungguhnya ia berjaya dan kehidupan di dunia ini tidak ubahnya seperti mata benda palsu.
Saudara-saudara kaum muslimin,
Ayat Allah yang dibacakan sebentar tadi mengajak kita agar merenung tentang masa hadapan kita, tentang bagaimana setiap kita akan mengalami kematian dan akibat balasan dari perbuatan kita kelak. Setiap yang bernyawa akan menghadapi kematian. Samada, tumbuh-tumbuhan, binatang ataupun manusia. Bahkan setiap makhluk yang wujud akan hancur kelak pada hari kiamat, kecuali beberapa makhluk yang telah dikecualikan oleh Allah. Firman Allah di dalam Surah Ar-Rahman,
"Setiap sesuatu di atas bumi ini akan hancur."
Sering kali kita saksikan jenazah keluarga dan sahabat kita diusung ke kubur. Akan tiba masanya kita pula yang akan di usung kelak, jenazah kita pula diusung, entahkan subuh esok, lusa atau bila-bila sahaja. Tiada sesiapa yang terkecuali daripada hal ini. Kematian tidak dapat ditentukan oleh sesiapa pun kecuali Allah s.w.t. Apabila datang kematian, tidak ada ucapan, "sebentar lagi", atau "nanti dahulu". Tidak kira yang hidup mewah atau papa kedana, yang berpangkat tinggi atau rendah, yang tinggal di kampung atau di tengah-tengah kota besar, yang sedang beribadat atau yang sedang melayani nafsu syaitannya. Semuanya akan menghadapi kematian. Roh kita akan berpindah ke alam barzakh. Tinggallah jasad kita dimakan oleh cacing-cacing di dalam tanah.
(An-Nisa' ayat 78)
Ertinya: Di mana sahaja kamu berada, kamu dikejar oleh maut sekalipun kamu bersembunyi di dalam kota yang berkunci rapi.
Justeru itu, yang penting difikirkan ialah bekalan dan persediaan kita untuk menghadapi kematian itu. Kalau untuk hidup di dunia ini kita telah membuat berbagai-bagai persediaan, maka untuk mati tentulah lebih-lebih lagi. Hidup di dunia hanyalah sementara, sedangkan kehidupan di akhirat adalah kekal abadi. Adakah kita mahu nikmat yang abadi atau siksa yang berkekalan?
Tuhan tidak pernah menyuruh hamba-hambanya masuk ke liang lahad dengan emas dan perak, dengan wang dan rumah, tetapi disuruhnya kita ke alam barzakh itu dengan amalan.
Ertinya: Siapa yang berbuat baik meskipun sebesar debu akan dilihat Nya . Dan sesiapa yang membuat jahat sebesar debu juga akan dilihat oleh Nya.
Insafilah! Insafilah bahawa kita telah banyak mengerjakan dosa-dosa dan kesalahan-kesalahan di dalam hidup kita ini. Tidak ada jalan lain untuk melepaskan kita dari azab Allah, melainkan dengan membanyakkan taubat kepada Allah dari segala maksiat, kecil atau besar, yang lahir atau yang batin, kerana Allah yang Maha Pengasih dan Penyayang akan mengampuni dosa orang yang bertaubat sebagaimana yang dikehendakiNya, sekalipun dosa-dosa itu banyak seperti buih di laut. Firman Allah s.w.t:
Ertinya: Sesungguhnya Allah tidak akan memaafkan jika diriNya di sekutukan, akan tetapi Allah akan memaafkan dosa-dosa selain dari syirik tersebut.
Sidang Jumaat yang berbahagia,
Taubat adalah satu kewajipan yang wajib dilakukan oleh setiap mukmin, dan ianya terbahagi kepada dua bahagian:
Pertama, maksiat di antara hamba dengan Tuhan yang tiada hubungannya dengan hak manusia. Dalam hal ini taubat di lakukan dengan tiga syarat iaitu:
1. Bersungguh-sungguh meminta ampun dari Allah atas maksiat yang dibuatnya.
2. Menyesal atas perbuatan maksiat tersebut.
3. Berazam tidak akan mengulangi perbuatan maksiat tersebut.
Kedua, maksiat yang ada hubungannya dengan manusia, maka ianya memerlukan tambahan syarat yang keempat, iaitu hendaklah membersihkan dirinya daripada hak orang yang di minta ampun itu. Umpamanya, perkara itu berhubungan dengan harta benda atau sebagainya, maka hendaklah dipulangkan kepada tuannya atau minta dihalalkan.
Pintu taubat sentiasa dibuka oleh Allah. Allah yang Maha Pengasih lagi Maha Pengampun akan sentiasa menerima taubat dari hamba-hambaNya selama mana belum waktu Ghargharah, waktu dimana sudah hampir keluar roh daripada jasad. Ketika itu, akan tertutuplah pintu taubat.
Oleh itu, sementara peluang untuk bertaubat masih terbuka luas, marilah kita bertaubat memohon keampunan dari Allah agar mengampuni segala dosa yang telah kita lakukan selama ini. Sesudah itu marilah kita membaharui tekad dan keazaman kita masing-masing untuk mematuhi sepenuhnya segala perintah Allah dan menjauhi segala larangannya dan tegahannya. Inilah salah atu aspek taqwa, aspek yang selalu ditekankan di setiap Jumaat. Bertaqwalah kepada Allah. Tinggalkan segala maksiat dan bersegeralah meminta ampun dari Allah, sebelum kita didatangi malaikat maut.
Baarakallah...