24 November
2000


Menyambut bulan Ramadhan

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Bertaqwalah kamu kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa, sesungguhnya Allah bersama-sama orang yang bertaqwa.

Insya Allah, Jumaat hadapan kita akan menyambut bulan Ramadhan yang sangat mulia dan besar kedudukannya. Bulan yang penuh dengan amalan ibadah bagi yang suka mendekatkan dirinya kepada Allah. Bulan yang memberi kesempatan yang terbesar bagi sesiapa yang ingin mendapatkan keampunan Allah dan ganjaran pahala yang tiada tolak bandingannya bagi umat Nabi Muhammad s.a.w.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Rasulullah s.a.w telah memberitahu kita tentang kelebihan bulan ini dan kebesarannya, khususnya tentang ganjaran baik dari amalan dan puasa pada bulan Ramadhan. Bulan ini telah dikhususkan untuk ibadah puasa yang mana Allah telah mensifatkannya sebagai untuk Allah semata-mata, sebagaimana sepotong hadith qudsi menerangkan:

Ertinya: Tiap amal anak Adam adalah untuk dirinya sendiri melainkan puasa, sesungguhnya amal puasa itu adalah untuk Aku, dan Aku yang akan membalas amalan ibadah ini.

Balasan dari Allah tentulah sangat besar sekali tidak dapat kita gambarkan. Ia tertentu mengikut keikhlasan seseorang itu menyempurnakannya. Yang diberi gambaran adalah antara 700 kali ganda kepada yang lebih dari itu. Kemudian kita diberitahu tentang kebesaran malam lailatul qadar bahawa ganjarannya lebih besar dari beribadah selama 1000 bulan, atau lebih 83 tahun. Tidakkah kita ingin merebut kelebihan malam ini? Ataupun kita akan membiarkan ia berlalu sehingga terlepas peluang yang besar ini? Sebagai seorang yang beriman, tentu kita bersyukur kerana diberikan ganjaran pahala yang bergitu besar dengan beramal ibadah yang tidak berat dalam menyempurnakannya. Ini belum termasuk ganjaran pahala puasa harian, pahala zakat, pahala solat sunat Terawih dan sebagainya. Ringkasnya, kalau hendak mendapat pengampunan Allah, kedudukan tertinggi disisi Allah, maka bulan Ramadhan lah masanya. Rasulullah telah memaklumkan kepada kita dengan sabdanya:

Ertinya: Siapa berpuasa bulan Ramadhan dan berjaga malamnya (untuk beribadah) dengan penuh keimanan dan ketulusan ikhlasnya, nescaya diampunkan segala dosanya yang telah lalu.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Diriwayatkan bahawa apabila bulan Ramadhan menjelang maka Rasulullah s.a.w akan memperingatkan sahabat-sahabatnya tentang kebesaran bulan ini supaya mereka mengambil kesempatan yang disediakan oleh Allah. Peringatan itu adalah untuk kita juga sebagaimana sabdanya menegaskan:

Ertinya: Telah datang kepada kamu satu bulan yang penuh berkah. Pada bulan ini diwajibkan atas kamu berpuasa. Di bulan ini terbuka semua pintu Syurga dan tertutup pintu-pintu neraka dan dibelenggu syaithan-syaithan. Sesungguhnya disisi Allah ganjaran pahala satu malam lebih baik daripada ganjaran pahala beribadah 1000 bulan. Sesiapa yang terlepas peluang bagi mendapatkan kebaikannya, sesungguhnya orang itu telah terputus dari rahmat Allah. (Hadith riwayat An-Nasaai)

Rasulullah telah memberitahu kita tentang kebesaran bulan Ramadhan ini maka hendaklah kita rajin-rajin beribadah, berusaha sepanjang bulan Ramadhan dengan berpuasa dan mejaga puasa kita supaya tidak melanggar laranganNya, dan rajin mengerjakan solat Terawih dengan penuh ikhlas semoga berjaya kita mendapat pahala lailatul qadar, ameen.

Oleh kerana besarnya kedudukan bulan Ramadhan ini dan besarnya ganjaran yang disediakan untuk kita sebagai umat Nabi Muhammad, adalah perlu bagi kita membuat persediaan bagi meyambut bulan ini dan beribadah didalamnya. Kita patut mengulang kaji pelajaran yang berkaitan dengan bab puasa, amalan-amalan yang digalakkan kita mengerjakannya, mengetahui larangan-larangannya supaya kita tidak melanggarnya kerana ia menjadi ukuran untuk mendapatkan ganjaran tertinggi. Rasulullah s.a.w apabila mengingatkan kita tentang kesan buruk daripada melanggar laranggan puasa. Ini adalah kerana ia boleh membuat seseorang itu tidak mendapat apa-apa dari puasanya. Peringatan itu adalah dari sabdanya:

Ertinya: Betapa ramai daripada mereka yang berpuasa tetapi mereka tidak mendapat apa-apa dari puasanya melainkan lapar dan dahaga.

Orang yang demikian sebenarnya tidak mahu patuh pada pesanan Rasulullah, tidak mengambil berat terhadap kesan buruk daripada larangan puasa.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Ketahuilah bahawa bulan Ramadhan ini adalah bulan ibadah yang menghendakkan kita merasa penuh khusyuk dan rendah diri kepada Allah. Sehingga iman dan rasa taqwa seseorang itu mampu mengatasi syahwatnya. Dari itu kita mesti menjadikan ibadah puasa kita sebagai benteng yang membuat kita mampu menempuh segala dogaan. Rasulullah s.a.w telah menggariskan prinsip orang yang berpuasa dengan sabdanya:

Ertinya: Puasa itu adalah pendinding, maka apabila seseorang dari kamu menempuh hari puasanya hendaklah ia tidak bercakap kotor, tidak membuat jahat, tidak melanggar sesuatu hukum agama sehingga jika ada orang mencercanya atau mengajak ia berkelahi, hendaklah ia berkata: Sesungguhnya aku ini sedang berpuasa.

Semoga Allah memberi kita taufik untuk mengerjakan apa yang diredhainya, ameen.

Selepas berpuasa, masyarakat Islam akan menyambut hari raya. Hari raya sebenarnya adalah hari kegembiraan kerana telah berjaya mendapatkan kemenangan samada kerana dapat menundukkan nafsu syahwatnya atau kerana telah berjaya mendapat ganjaran pahala tertinggi yang disediakan oleh Allah. Semoga kita dari kalangan mereka yang berjaya mendapat kedua-duanya, ameen.

Baarakallah......