25 Mei
2001


Umat Contoh

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Saya menyeru kepada saudara-saudara sekelian dan saya sendiri agar sentiasa bertaqwa kepada Allah, dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya. Semoga dengan itu kita akan menjadi sebaik-baik umat yang dikeluarkan untuk manusia. Allah s.w.t berfirman dalam surah Ali Imran, ayat 110:

Kamu adalah umat terbaik yang dikeluarkan untuk manusia, kamu menyuruh kepada yang ma'ruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah.

Dalam ayat yang dibaca tadi, Allah menekankan bahawa umat Islam adalah sebaik-baik manusia yang diciptaNya di kalangan semua manusia. Orang Islam bukan setakat beriman kepadaNya, tetapi juga mengajak orang lain supaya beriman kepadaNya dan melakukan kebaikan serta berhenti dan menjauhkan diri daripada melakukan keburukan.

Daripada ayat itu, sungguh jelaslah bahawa orang Islam sepatutnya menjadi pemimpin dan contoh kepada orang lain. Iaitu, orang Islam seharusnya membimbing dan membawa orang lain kepada kebaikan, kepada Islam dan kepada Allah swt sama ada secara langsung sebagai pemimpin atau melalui contoh teladan dengan melakukan perkara-perkara yang baik, atau qudwah solihah.

Itulah yang dilakukan oleh nabi besar kita, Muhammad saw, dan para sahabat baginda. Baginda lahir di tengah-tengah masyarakat jahiliyyah yang penuh dengan amalan mungkar dan buruk. Mudah sekali untuk sesiapapun yang dilahirkan dalam masyarakat itu terpengaruh dan ikut terjerumus ke dalam perkara-perkara buruk dan keji.

Tetapi, baginda tidak. Baginda tidak membiarkan dirinya terpengaruh, menjadi pengikut sehingga sesat di dalam kemungkaran. Sebaliknya, baginda menjadi ikutan. Baginda menjadi pemimpin yang memimpin masyarakatnya - bermula dengan ahli keluarga, saudara mara dan sahabat-sahabat terdekat baginda - kepada kebaikan, kepada Islam dan kepada Allah swt. Baginda menjadi ikutan - baik dalam sifat, amal perbuatan dan kepimpinan -- sehingga berubahlah masyarakat Arab jahilliyah.

Tetapi, ma'asyiral muslimin, bagaimanakah kita hari ini? Adakah kita menjadi pemimpin dan contoh yang menjadi ikutan orang-orang bukan Islam? Atau, adalah kita setakat pengikut, yang mengikut orang lain di atas landasan bukan Islam?

Kita tidak perlu membentuk jawatankuasa atau menjalankan kajian mendalam untuk mencari jawapannya. Ia sudah terang lagi bersuluh - kita di belakang di banyak bidang. Bukan di depan. Kita setakat mengikut dan tidak menjadi suri teladan.

Bahkan dalam soal akhlak, kita semakin kurang menunjukkan contoh akhlak yang baik sedangkan akhlak kitalah yang seharusnya menjadi ikutan kerana kita diberi nikmat beragama Islam yang kaya dengan nilai-nilai suci dan murni. Lihat sahaja cara anak-anak remaja kita berpakaian dan bergaul, dan kes-kes jenayah yang melibatkan anak remaja kita. Begitu juga dengan perbuatan sesetengah orang Islam, baik lelaki mahupun wanita, yang tanpa segan silu berpesta di tempat-tempat yang haram. Malah sekarang terdapat usaha-usaha untuk menggalakkan lagi perkara mungkar dan perkara-perkara yang menglalaikan. Diadakan pesta-pesat dan majlis-majlis hiburan yang melalaikan dan diharamkan. Sedang kita berusaha memecahkan kitaran mungkar dan membawa umat Islam ke tahap akhlak dan iman yang lebih tinggi lagi, ada yang ingin menahan kemajuan tersebut, malah yang lebih buruk lagi, ada yang ingin menjerumuskan umat Islam ke lembah hayalan dan kemungkaran.

Inilah cabaran dakwah. Seperti mana Rasulullah s.a.w pernah mengalaminya sehingga beliau berdoa :

Ertinya: Dan berkata Rasul: Wahai Tuhanku, sesungguhnya kaumku meninggalkan Al-Quran ini. Begitulah Kami jadikan bagi setiap nabi musuh-musuh dari kalangan orang-orang yang ingkar.Dan cukuplah dengan Tuhanmu sebagai pemberi hidayah dan penolong. (Al-Furqan, 30 dan 31)

Masyiral muslimin wa zumratal mukminin rahimakumullah,

Tidak hairanlah ada orang bukan Islam berkata agama Islam adalah agama yang terbaik di dunia tetapi orang Islam bukan contoh yang baik. Kalau begitulah pandangan orang bukan Islam terhadap kita kerana perbuatan kita yang tidak ikut ajaran-ajaran agama yang kita anuti dan tidak menjadi contoh teladan yang baik kepada orang lain, bayangkan apakah agaknya pandangan Allah s.w.t yang telah memberi kita nikmat beragama Islam.

Kalau orang Islam tidak memimpin dan tidak menjadi ikutan tetapi setakat menjadi pengikut, lambat laun orang Islam akan menjadi sebahagian daripada masyarakat yang mereka ikuti. Oleh itu, mulai saat ini marilah kita bertekad untuk menjadi suri teladan bagi orang lain dan bukan sekadar mengikut orang lain. Marilah kita berdakwah dan memimpin ke jalan Allah s.w.t melalui teladan.

Di dalam apa bidang, lapangan dan peranan sekalipun, hendaklah kita sentiasa berusaha menunjukkan perbuatan-perbuatan yang baik agar menjadi contoh kepada orang Islam lain dan orang bukan Islam sehingga tersebarlah perbuatan baik yang dianjurkan Islam itu ke seluruh masyarakat.

Setiap ibu bapa Islam, umpamanya, harus menunjukkan contoh amal perbuatan yang baik supaya menjadi ikutan anak-anaknya. Baik dalam melaksanakan kewajipan ibadah mahupun dalam soal-soal lain. Pekerja Islam pula harus menunjukkan contoh kesungguhan dalam menjalankan pekerjaannya kerana ini dianggap sebagai satu amanah oleh Islam. Dalam soal akhlak, orang Islam harus menunjukkan contoh pekerti mulia, termasuk kepada orang bukan Islam. Bukan sahaja supaya masyarakat Islam dipandang mulia, tetapi juga supaya akhirnya orang bukan Islam tertarik untuk mencontohi orang Islam. Rasulullah saw sendiri bersabda:

Ertinya: Dan tidak aku diutuskan melainkan untuk menyempurnakan akhlak manusia."

Dalam soal hubungan antara kaum pula, masyarakat Islam harus lebih bersedia berlaku baik kepada jiran, sahabat dan rakan sekerja yang bukan Islam.

Kita harus beramah-tamah dan menunjukkan kemesraan kepada mereka kerana inilah yang diajar Allah swt dalam ayat 8 surah Al-Mumtahanah apabila Allah swt berfirman:

Maksudnya: Allah tidak melarang kamu untuk berbuat baik dan berlaku adil terhadap orang-orang yang tidak memerangimu kerana agama dan tidak mengusir kamu dari negerimu. Sesungguhnya, Allah menyukai orang-orang yang berlaku adil.

Pokoknya dalam apa juga hal, setiap orang Islam harus menjadi suri teladan, menunjukkan qudwah solihah. Mudah-mudahan, dengan cara ini akan wujudlah bi'ah salihah, atau persekitan Islamiyyah, di dalam rumah dan keluarga kita sendiri, kemudian di dalam masyarakat Islam dan akhirnya di seluruh masyarakat.

Kalau kita baca sejarah Nabi Muhammad s.a.w dan para Sahabat, terdapat banyak kisah bagaimana orang-orang bukan Islam memeluk Islam setelah melihat akhlak, perbuatan, tutur kata dan sifat mulia Nabi Muhammad saw dan para Sahabat.

Marilah kita menjadi umat yang berakhlak mulia. Kita ikut ajaran Islam sepenuhnya. Kita tidak menjadi umat yang hanya tahu mengikut sahaja. Sebaliknya kita menjadi umat yang diikuti, umat yang dihadapan, umat yang terbaik, khaira ummah.

Baarakallah.....