25 Ogos 2000

 



Abu Bakar As-Siddiq

Saudara-saudara sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah! Pada hari yang mulia lagi dirahmati ini, kita bersua kembali di masjid ini, tempat yang diberkati oleh Allah Ta'ala. Semuanya ini tidak lain adalah lantaran rahmat dan nikmat dari Allah. Maka, marilah kita panjatkan puji syukur ke hadratnya dengan memperbanyakkan bertaqwa, dan memohon kepadanya supaya dilimpahkan rahmat dan salamnya kepada penghulu kita Nabi Muhammad s.a.w yang telah membimbing kita sehingga kita dapat mengenal Allah Ta'ala, juga kepada keluarga baginda , para sahabat dan ummatnya hingga ke akhir zaman . Amin Ya Rab'bal A'lamin .

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Di hari yang penuh berkah ini, saya ingin mengajak saudara-saudara sekelian meninjau kisah seorang sahabat yang amat terkenal, seorang sahabat yang paling akrab dengan Rasulullah s.a.w, seorang sahabat yang disebut oleh Allah dalam al-Quran sebagai orang kedua dari dua orang yang berada di gua. Sahabat yang bernama Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq. Saiyidina Abu Bakar adalah seorang tokoh Islam yang termulia sekali dan amat disayangi oleh sekelian ummat Islam hingga ke hari ini.

Sejarah membuktikan kesetiaan dan kejujuran Saiyidina Abu Bakar terhadap perjuangan Rasulullah s.a.w, dan keyakinannya bahawa Rasulullah adalah utusan Allah. Maka layaklah Saiyidina Abu Bakar digelar oleh Rasulullah s.a.w dengan gelaran As-Siddiq, yang membenarkan. Dan dengan kenyataan Rasulullah s.a.w itu tadi, Saiyidina Abu Bakar berhak pula mempunyai sanjungan dari Allah Ta'ala, sebagaimana dinyatakan di dalam firmannya :

Ertinya : Dan orang yang membawa kebenaran (Muhammad) dan membenarkannya , mereka itulah orang-orang yang bertaqwa .

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Sebagai seorang muslim, kita berkewajipan untuk melaksanakan segala tuntutan yang telah di bawa oleh Rasulullah s.a.w . Dan dalam perlaksanaannya, kita mestilah bersikap amanah. Dalam erti kata yang lain, kita tidak boleh melampaui batas dari garis pandu yang termaktub dalam Al-Quran serta apa yang telah diperjelaskan oleh Rasulullah s.a.w.

Kita boleh ambil contoh yang terbaik dalam kepimpinan Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq. Beliau setia, tabah dan amanah dalam melaksanakan tuntutan Al-Quran dengan memerangi golongan murtad dan ingkar dari menunaikan tuntutan Allah Ta'ala. Ianya berlaku ketika Saiyidina Abu Bakar baru dilantik menjadi khalifah pertama berikutan kewafatan Nabi Muhammad s.a.w. Beliau memerangi kabilah-kabilah Arab yang tidak mengeluarkan zakat kerana engkar akan perintah Allah. Kabilah-kabilah Arab itu menyangkan bahawa cukup sudah mereka mengerluarkan zakat ketika Rasulullah masih hidup. Dan apabila Rasulullah sudah meninggal, mereka engkar dari mengeluarkan zakat. Lihatlah bagaimana seriusnya perbuatan mereka sehingga Saiyidina Abu Bakar mengambil keputusan untuk memerangi mereka. Sekarang ini, masih ada golongan umat Islam yang tidak mahu mengeluarkan zakat. Tidakkah mereka tahu bahawa mengeluarkan zakat adalah salah satu rukun Islam? Jika mereka tidak mahu mengeluarkan zakat, maka sudah runtuhlah salah satu rukun Islam mereka. Dan di hari akhirat mereka akan dibakar bersama dengan harta yang mereka kumpul tersebut. Firman Allah dalam surah At-Taubah, ayat 35 :

"(Iaitu) pada hari dibakar emas perak (dan harta benda) itu dalam neraka jahanam, lalu diselar dengannya dahi mereka, dan rusuk mereka, serta belakang mereka (dan dikatakan kepada mereka): "Inilah apa yang telah kamu simpan untuk diri kamu sendiri, oleh itu rasalah (azab dari) apa yang kamu simpan itu."

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Satu aspek yang terkenal dalam keperibadian Sayidina Abu Bakar As-Siddiq adalah sifat rendah dirinya. Semasa beliau diangkat menjadi khalifah, beliau telah memberi ucapan kepada umat Islam. Dengan segala rendah hati beliau mengatakan bahawa beliau bukanlah yang terbaik di kalangan ummat Islam. Inilah Abu Bakar As-Siddiq, lelaki pertama yang memeluk agama Islam. Saiyidina Abu Bakar yang telah dijanjikan sebagai ahli Syurga semasa beliau masih hidup lagi. Begitupun, beliau mengatakan bahawa beliau bukanlah yang terbaik. Inilah contoh sifat tawadhuk yang mesti ada pada setiap individu Muslim. Sebaliknya kita lihat sekarang ini, sebahagian dari manusia menyangka bahawa dia lah orang yang terbaik untuk memimpin sehingga bermati-matian meminta agar dilantik sebagai pemimpin. Tidakkah mereka sedar bahaw asetiap pemimpin akan ditanya kelak diakhirat? Tidakkah mereka dengan hadis Rasulullah s.a.w bahawa antara orang yang paling muflis di akhirat adalah pemimpin-pemimpin? Ini adalah kerana setiap yang dibawahnya akan menuntut pahala pemimpin tersebut atas ketidak-adilannya.

Saudara-saudara sekelian,

Kita lihat lagi keperibadian Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq. Sejarah memberitahu kita bahawa sebelum beliau menjadi khalifah, Saiyidina Abu Bakar selalu membantu seorang wanita tua yang menjadi tertangganya . Setiap kali beliau tolong memberi makan kepada unta-unta kepunyaan jirannya itu serta memerah susunya .

Setelah Saiyidina Abu Bakar menjadi khalifah, jirannya itu merasa susah hati kerana memikirkan siapa lagi yang akan menolongnya lagi. Sangkanya tentulah Saiyidina Abu Bakar tidak akan menolongnya lagi. Tambahan pula sebagai ketua negara Islam, tentunya beliau tidak ada masa untuk menolongnya, bahkan tidak layak baginya.

Kesusahan hati jiran itu bagaimanapun disedari oleh Saiyidina Abu Bakar. Maka pada suatu hari selepas beliau terpilih sebagai khalifah ia pun menziarahi wanita itu lalu berkata kepadanya, "Wahai jiranku! Janganlah engkau merasa bimbang. Sekalipun saya telah menjadi khalifah, Insya'allah saya akan terus menolong puan . Kedudukan saya sebagai khalifah tidak dapat menghalang saya dari terus menolong puan".

Kaum Muslimin Yang Dirahmati Allah,

Demikian lah secebis kisah bagi menunjukkan kebesaran jiwa Saiyidina Abu Bakar As-Siddiq. Walaupun beliau memegang jawatan yang tinggi kedudukannya, beliau tetap mempunyai akhlak yang mulia lagi tinggi. Ia adalah contoh bagi ikutan kita pada zaman ini.

Baarakallah.......