Ciri-ciri orang yang beriman
Sidang Jumaat yang mulia,
Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan
perintahnya dan meninggalkan tegahannya. Bertaqwa kepada Allah adalah
tanggungjawab yang mesti dilaksanakan oleh orang yang beriman. Janganlah
menjadi seperti orang yang hanya mengaku :
"Kami beriman" padahal dia bukan sebenarnya beriman. Tidak dapat dipercayai orang yang mengatakan
bahawa dia seorang mukmin sedangkan banyak orang yang mengadu telah dianiayakan olehnya.
Tidak ada ertinya beriman kalau tidak ada bukti
yang menunjukkan bahawa amalan seseorang itu baik dan sepadan dengan imannya.
Saudara-saudara kaum muslimin sekalian,
Antara ciri-ciri orang mukmin itu: mudah diajak bergaul, lemah lembut tutur katanya
dan halus budi bahasanya, menimbulkan keimanan kepada jiran tetangganya dan ketenteraman
kepada masyarakat sekelilingnya.
Orang mukmin yang sejati ialah mukmin yang tidak menghiraukan kepenatan
dirinya demi untuk kesenangan orang lain kerana seorang mukmin terhadap mukmin yang lain mempunyai
pertalian persaudaraan; haram baginya menumpahkan darah saudaranya, marampas hartanya apatah lagi untuk
menodai maruahny. Seorang mukmin juga sentiasa dihiasi dengan budi pekerti yang baik. Tiada berkhianat,
tidak berbahasa yang kesat dan tidak lokek untuk memberi nasihat.
Saudara-saudara sekalian,
Orang mukmin itu diibaratkan seperti lebah; ianya tidak mencari makanan kecuali dari jenis yang baik,
tidak keluar kecuali ke tempat yang baik dan di mana dia hinggap dia tidak merosakkan.
Orang mukmin mempunyai teraju yang dikendalikan oleh iman agar tidak mudah terbabas atau terpesong
mengikut kemahuan hawa nafsu , dan tidak akan menyeleweng menurut keinginan syahwat. Imannya itulah yang akan
menjadi penghalang dirinya daripada terjerumus ke dalam lembah maksiat yang mencelakakannya. Ini
kerana segala tindakannya didasarkan kerana Allah, apa yang dibuatnya kerana Allah, apa yang ditinggalkannya
kerana Allah, sayangnya kerana Allah dan marahnya kerana Allah. Cinta dan bencinya kepada sesuatu juga
kerana Allah.
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,
Orang mukmin itu kalau sekiranya kitab Qur'an yang menjadi pedomannya, taqwa menjadi rakannya, jujur menjadi
menterinya dan sifat malu menjadi rajanya, pasti rahmat Allah akan menunggu di belakangnya.
Orang mukmin melihat dosanya seperti gunung diatas kepalanya, dia takut akan menghempap dirinya. Lantaran
itu orang mukmin tidak akan menjadi pembohong, tidak akan menjadi pengumpat dan tidak akan mahu menjadi orang
yang suka mencaci. Firman Allah di dalam surah al-Anfal:
"Sesungguhnya orang-orang yang beriman itu adalah mereka yang apabila disebut nama Allah hati mereka penuh
ketakutan, dan apabila dibacakan kepada mereka ayat-ayatNya (keterangan Allah) nescaya bertambahlah keimanan
mereka dan kepada Tuhan mereka berserah, mereka tetap mengerjakan sembahyang (pada waktunya) dan membelanjakan
(pada perkara kebajikan) sebahagian daripada rezki yang Kami (Allah) kurniakan kepada mereka. Itulah orang-orang
mukmin sejati, mereka itu mendapat (kehormatan) di sisi Tuhan mereka, dan mendapat keampunan serta rezki
yang berharga."
Orang mukmin juga ialah orang yang rajin bekerja dan tekun berusaha untuk melepaskan dirinya daripada
kesempitan hidup. Dia tidak rela menjadi beban orang lain, yang ditanggung makan minumnya tanpa ada sesuatu
khidmat yang dilakukannya. Mereka juga ikhlas dalam amalannya dan usaha yang diamalkannya itulah bakal menjadi
bekalan pada hari tuanya.
Orang mukmin itu ialah orang benar keimanan. Tidak sedikit pun keimanannya itu dinodai oleh keraguan atau syak wasangka.
Orang mukmin yang jujur, beristiqamah, laksana malaikat mekerbin di sisi Allah, dan orang mukmin yang
kuat itu lebih baik dan disukai Allah daripada orang mukmin yang dhaif lagi lemah.
Ma'syiral muslimin rahimakumullah
Hendaklah kita sekalian menjadi orang-orang yang kuat, iaitu kuat imannya, kuat dalam segi keperluan hidupnya,
kuat dalam berusaha dan beramal, serta menjadi orang-orang yang kuat di dalam persatuan dan perpaduan, seterusnya
hendaklah kita sekalian menjadi orang-orang yang kuat menegakkan agama, jangan ada perasaan rendah dan jangan
ada perasaan susah, sesungguhnya kita lebih unggul sekiranya kita benar-benar beriman. Firman Allah s.w.t. di
dalam surah al-Hujurat ayat 15:
"Orang-orang yang sebenarnya beriman itu hanyalah mereka yang percaya kepada Allah dan RasulNya, kemudian itu tidak
pernah ragu-ragu dan mereka berjuang pada jalan Allah dengan harta dan diri mereka, itulah orang-orang yang benar.
"Baarakallah..........