19 November 99

 



Tajuk: Makanan yang baik dan halal

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Saya menyeru kepada diri saya dan para jemaah sekelian, agar kita terus meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah s.w.t, dengan mengerjakan segala perintahnya, dan menjauhi segala larangannya.

Antara perkara-perkara yang harus kita beri perhatian adalah pemakanan kita. Makanan memainkan peranan yang penting dalam kehidupan manusia. Apa yang kita masukkan dalam tubuh badan kita akan mempengaruhi cara kehidupan kita, kesihatan kita dan cara kita berfikir.

Oleh kerana itu, Allah s.w.t memerintahkan kita agar mengambil makanan yang bukan sahaja halal, tetapi baik untuk diri kita. Firman Allah s.w.t di dalam Surah Al-Baqarah, ayat 168:

Ertinya: Wahai manusia! Makanlah apa-apa di atas muka bumi ini, yang halal dan baik. Dan janganlah kamu mengikuti jejak langkah syaithan. Sesungguhnya dia adalah musuh kamu yang nyata.

Di dalam ayat yang dibacakan sebentar tadi, Allah s.w.t memerintahkan kita agar mengambil makanan yang halal, makanan yang menepati syariat Islam. Dan Allah menegah kita dari mengikuti hasut dan tipu daya Syaithan, yang sentiasa memujuk manusia agar melakukan maksiat, dengan mengambil makanan-makanan yang haram.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita percaya bahawa Allah s.w.t mencipta segala-galanya. Kita yakin bahawa Allah s.w.t mengetahui segala apa yang diciptakannya. Maka sewajibnya kita meyakini bahawa Allah tidak mengharamkan sesuatu kecuali ada hikmahnya, bahawa Allah tidak mengharamkan sesuatu kecuali ia boleh mendatangkan mudharat kepada kita.

Allah s.w.t telah mengharamkan kita dari memakan beberapa jenis binatang dan makanan. Ini adalah kerana Allah mengetahui kemudharatan yang boleh dibawa oleh makanan tersebut. Walau bagaimana ramai sekalipun yang mengatakan bahawa makanan tersebut tidak membawa apa-apa kemudharatan, sebagai umat Islam, kita tahu bahawa ilmu manusia terbatas, bahawa ilmu manusia hanyalah setitik dari lautan ilmu Allah. Maka tidak semestinya apa yang dikatakan oleh golongan manusia tersebut adalah benar. Sebaliknya, apa yang telah Allah terangkan di dalam Al-Quran dan melalui Rasulullah s.a.w, itulah yang benar dan tepat.

Allah mengharamkan kita dari memakan daging khinzir. Mengapa? Kerana ia adalah binatang yang jijik dan kotor. Berbagai penyakit berpunca dari unsur khinzir. Wabak JE yang pernah merebak di negara jiran kita berpunca dari dua unsur kuman yang bercampur di dalam badan khinzir sehingga bertukar menjadi kuman yang boleh membahayakan tubuh manusia. Wabak flu burung di Hongkong juga bermula dari khinzir. Allah tidak mengharamkan sesuatu kecuali ada hikmahnya.

Sidang Jumaat sekelian,

Antara makanan yang diharamkan oleh Allah s.w.t adalah arak. Arak memabukkan. Dan setiap yang memabukkan adalah haram. Ia termasuk mengambil dadah atau perkara-perkara yang memabukkan tanpa ada sebab kesihatan. Agama Islam adalah agama yang suci. Agama yang menitik-beratkan kesihatan manusia, jasmani dan rohani. Arak dan dadah adalah dua unsur yang boleh merosakkan jasmani dan rohani manusia. Arak menganggu cara kita berfikir. Arak merosakkan anggota badan. Arak boleh menyebabkan kerosakan hati. Arak boleh menyebabkan badan kekurangan air sehingga membahayakan tubuh. Arak adalah racun, bukan ubat. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah, ayat 219:

Ertinya: Dan mereka bertanya kepada kamu mengenai arak dan judi. Katakanlah, bahawa di dalam kedua-duanya ada kemudharatan yang besar, dan juga beberapa manfaat untuk manusia. Akan tetapi mudharatnya adalah lebih besar dari manfaatnya.

Akan tetapi, saudara-saudara sekelian, kita sekarang hidup di zaman dimana meminum arak telah diagung-agungkan. Arak menjadi minuman bagi mereka yang memegang status tinggi di dunia. Arak menjadi minuman kegemaran bagi mereka yang berkuasa. Inilah zaman yang penuh pancaroba. Zaman dimana keimanan kita diuji. Maka berjayalah mereka yang dapat mempertahankan keimanan mereka dari gelombang godaan dan maksiat. Berjayalah mereka yang teguh dengan pegangan keimanan mereka. Dan berjayalah mereka yang tidak mengikuti jejak langkah Syaithan.

Sidang Jumaat yang dihormati,

Sebagai orang Islam, kita bersyukur kepada Allah kerana telah memberikan kekuatan iman kepada kita sehingga kita dapat menjauhi dari segala perkara-perkara yang haram. Kita tidak memakan khinzir dan binatang-binatang yang tidak disembelih mengikut cara Islam. Kita bersyukur kepada Allah kerana kita tidak menyentuh arak, apatah lagi meminumnya.

Maka perkara selanjutnya yang harus kita perhatikan adalah menjauhi dari makanan-makanan yang mengandungi syubhah, yang tidak bersih, yang tidak baik dan makanan yang kita tidak tahu asal-usulnya.

Makanan yang syubhah adalah makanan yang status halalnya tidak dapat dipastikan seratus peratus. Sebagai contoh, kemungkinan ayam tersebut disembelih mengikut Islam. Akan tetapi ia kemudian dimasak dengan peralatan yang digunakan untuk makanan yang najis. Atau dicampur dengan rempah-ratus yang mengandungi najis. Inilah makanan syubhah. Sebagai contoh juga, makanan yang dihidangkan nampaknya halal, akan tetapi kemungkinan pinggang mangkuk yang digunakan sudah bercampur dengan bahan-bahan najis dan tidak dibersihkan sepatutnya. Inilah makanan-makanan yang mengandungi syubhah. Maka untuk mengelakkannya, makanlah hanya dari tempat-tempat yang kita yakin sepenuhnya bahawa ia adalah halal dan tidak mengandungi syubhah.

Sidang Jumaat sekelian,

Antara perkara yang dianjurkan oleh Islam adalah memakan makanan yang bukan sahaja halal tetapi baik untuk diri kita, jasmani dan rohani. Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-Baqarah, ayat 172:

Ertinya: Wahai orang-orang yang beriman! Makanlah makanan yang terbaik dari apa-apa yang telah kami berikan kepada kamu. Dan bersyukurlah kepada Allah sekiranya kamu bernar-benar menyembahnya.

Makanan yang baik akan membuahkan badan yang sihat. Kurangilah makanan-makanan yang tidak sihat, makanan yang boleh membawa penyakit seperti darah tinggi, kencing manis dan sebagainya. Makanan-makanan yang tinggi kandungan lemak, kolestrol dan gula. Rasulullah s.a.w telah mendidik kita cara pemakanan yang baik. Rasulullah mengajar kita agar tidak memakan kecuali jika kita lapar. Dan apabila makan, janganlah sampai terlalu kenyang. Rasulullah juga mendidik kita agar bersederhana dalam setiap hal, termasuk dalam pemakanan kita.

Dan Allah s.w.t telah mewajibkan kita berpuasa sebulan penuh dalam bulan Ramadhan, bulan yang akan muncul tidak lama lagi. Suatu bulan yang bukan sahaja penuh berkah, tetapi bulan yang memberi badan kita peluang untuk berihat setelah 11 bulan memproses makanan. Sebulan suntuk berpuasa akan memberi badan kita peluang untuk membersihkan tubuh kita dari kotoran dan racun. Maka ambillah peluang ini dan jangan sia-siakannya dengan memakan sehingga terlalu kenyang apabila buka puasa kelak.

Inilah adab dan didikan Islam. Umat Islam akan menjadi umat yang sihat sekiranya kita mengikut cara Rasulullah ini. Kita tidak akan menjadi golongan yang paling tinggi kadar pesakit jantung dan darah tinggi sekiranya kita benar-benar menghayati erti pengajaran Islam.

Firman Allah s.w.t di dalam surah Al-An'am, ayat 145:

Ertinya: Katakanlah (wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi - kerana sesungguhnya ia adalah kotor - atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah". Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhan mu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani.

Baarakallah...