27 April
2001


Membendung Perasaan Marah

Sidang Juma'at yang dirahmati Allah,

Marilah sama-sama kita bertaqwa kepada Allah dengan sebenar-benar taqwa dengan mengerjakan segala perintahNya dan menjauhi segala laranganNya, kerana orang-orang yang beriman kepada Allah dan RasulNya adalah golongan yang terpilih, yang berhak memiliki ketaqwaan sebagaimana firman Allah s.w.t. di dalam surah Al-Fath ayat 26:

Maksudnya: Ketika orang-orang kafir menanamkan dalam hati mereka kesombongan (iaitu) kesombongan jahiliyyah lalu Allah menurunkan ketenangan kepada RasulNya, dan kepada orang-orang mukmin, dan Allah mewajibkan kepada mereka kalimat taqwa, dan mereka berhak dengan kalimat taqwa itu dan patut memilikinya. Dan Allah Maha Mengetahui segala sesuatu.

Saudara-saudara kaum muslimin yang berbahagia,

Sifat marah adalah satu sifat semulajadi manusia. Ia berpunca dari perasaan tertekan, perasaan bahawa seseorang itu dizalimi, dianiyai, diperkecilkan dan sebagainya. Marah merupakan satu senjata kepada manusia. Ia boleh membawa kebaikan, ia juga boleh membawa kebinasaan. Ia boleh menjadi satu penyakit yang merosakkan keamanan dan keharmonian hidup.

Pada tahap permulaan, sifat marah bukanlah satu penyakit. Ia hanyalah luahan yang dilahirkan oleh seseorang, dalam bentuk tindakan dan tingkahlaku. Ia adalah akibat dari sesuatu sebab atau kesan yang mana kalau tidak berbuat demikian, kita akan berasa tidak selesa dan resah gelisah. Sifat marah yang sudah mula bertapak di hati, jika tidak dibendung, lama kelamaan akan memakan diri sendiri dan akan membawa padah kepada orang-orang yang kita sayangi dan hormati, serta membawa keburukan dan kemudharatan kepada keadaan sekeliling kita. Maka Islam mengajarkan kepada kita satu ubat yang terbaik bagi penyakit marah. Ia adalah menahan diri tatkala marah dan sabar sewaktu hawa nafsu meluap-luap. Sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: "Sesungguhnya marah itu adalah sepotong api yang dinyalakan dalam hati. Tidakkah engkau melihat kepada merah kedua matanya dan mengembungnya urat-urat lehernya? Maka apabila salah seorang kamu merasakan sesuatu dari yang demikian, maka rapatkanlah diri kamu ke muka bumi!" (Hadis Riwayat Tirmidhi)

Sifat marah itu berasal dari syaitan, kerana syaitan itu dijadikan daripada api. Dan ingatlah bahawa api itu boleh dipadam dengan air. Maka apabila seseorang itu sedang marah, sebaiknya dia mengangkat wudhuk, kerana air yang disapukan di anggota wudhuk bukan sahaja dapat menjauhkan diri dari godaan dan hasutan syaithan, ia juga dapat menyejukkan muka dan anggota badan kita yang sedang panas dek marah. Dalam hal ini Rasulullah s.a.w. telah bersabda:

Ertinya: Apabila seseorang dari kamu marah, maka hendaklah ia mengambil wudhu' dengan air. Maka sesungguhnya marah itu dari api. (Hadis Riwayat Abu Daud)

Maka, saudara sekalian, oleh sebab itu Nabi s.a.w. menasihatkan kepada orang yang sedang marah supaya mengambil wudhu'. Di samping itu memperbanyakkan berzikir kepadaNya agar dapat menghapuskan dan memadamkan api kemarahannya yang sedang meluap-luap.

Sidang Juma'at yang berbahagia,

Agama Islam mengajar umatnya agar mengambil berat perihal hubungan murni antara suami dan isteri, anak dengan ibubapa dan antara adik beradik. Ia adalah teras penting kehidupan sesebuah keluarga. Allah telah menegaskan di dalam surah Al-Isra ayat 23:

Maksudnya: "Dan Tuhanmu telah memerintahkan supaya kamu jangan menyembah selain Dia dan hendaklah kamu berbuat baik pada ibu bapamu dengan sebaik-baiknya. Jika salah seorang di antara keduanya atau kedu-duanya sampai berumur lanjut dalam pemeliharaanmu, maka sekali-kali janganlah kamu mengatakan kepada keduanya perkataan 'ah' dan janganlah kamu membentak mereka dan ucapkanlah kepada mereka perkataan yang mulia."

Keluarga bahagia memang menjadi idaman setiap dari kita. Namun, sepanjang hidup sebumbung ada ketikanya suami marah terhadap isteri, terhadap anak-anak, mungkin berkaitan dengan disiplin dalam rumah, hal pelajaran anak-anak, hal kewangan, makanan dan bermacam-macam lagi hal ehwal rumahtangga.

Begitu juga kehidupan dalam masyarakat. Tidak kurang juga sifat marah yang timbul sesama kita, lebih-lebih lagi jika tidak ada kesefahaman antara kita. Satu pihak mula marah dengan pihak yang lain dan mula tuduh menuduh dan berprasangka buruk sesama sendiri. Inilah yang sering timbul apabila sifat marah sudah mula menular di dalam jiwa dan hati kita. Sifat marah yang boleh merosakkan dan mengakibatkan kemusnahan jika tidak dikawal dengan hati yang rasional dan fikiran yang tenang.

Orang yang dapat menahan dirinya dari dikuasai oleh sifat marah akan mendapat ganjaran yang setimpal dengan usahanya. Sebagaimana Nabi s.a.w. telah bersabda:

Ertinya: Janganlah kamu marah dan bagi kamu balasan syurga. (Hadis riwayat Bukhari)

Oleh yang demikian, di dalam menangani sifat marah, kita sebagai umat Islam harus mengambil sikap toleransi dan persefahaman antara sesama manusia. Hindarkan sebab atau punca yang boleh menyebabkan orang lain memarahi kita. Sekiranya kita yang dimarahi janganlah pula kita mengeruhkan keadaan. Kita juga harus memainkan peranan untuk memadamkan api kemarahan tersebut. Hadapilah orang yang sedang marah dengan tenang dan bantulah dirinya mencari punca kemarahannya.

Bagi orang yang marah, ingatlah firman Allah s.w.t dalam surah Asy-Syuraa ayat 37:

Maksudnya: Dan (bagi) orang-orang yang menjauhi dosa-dosa besar dan perbuatan-perbuatan keji, dan apabila mereka marah mereka memberi ma'af.

Saudara-saudara sekelian,

Sememangnya marah adalah satu penyakit yang sepatutnya kita hindarkan seberapa yang boleh. Tetapi marah juga amat perlu dalam keadaan-keadaan yang tertentu. Seorang bapa wajib marah jika ahli keluarganya sengaja tidak mahu mengikut ajaran Islam. Seorang ketua keluarga bertanggung-jawab atas mereka yang dibawah tanggungannya. Jika mereka yang dibawah tanggungannya melanggar perintah Allah dengan sengaja, ketua keluarga tersebut wajib menegur dan memarahi. Sepertimana Rasulullah s.a.w marah apabila hukum Allah dilanggar. Tetapi haruslah ingat bahawa marah tersebut bukan marah yang mengikut hawa nafsu, melepaskan geram dan melayangkan kaki tangan sehingga memukul. Tetapi marah tersebut mestilah marah yang bertujuan mendidik untuk menunjukkan ketidaksenangan kita terhadap perbuatan maksiat tersebut. Inilah cara Islam mengarahkan sifat marah yang semulajadi ada pada diri manusia, agar ia membawa kebaikan kepada manusia, dan bukan membawa kebinasaan.

Ingatlah, marah adalah senjata. Ia boleh membawa manfaat, dan ia juga boleh membawa mudharat. Orang yang pandai dan kuat, adalah orang yang dapat mengawal kemarahannya agar ia membawa manfaat, bukan mudharat.

Barakallah........