27 Oktober
2000


Mengembalikan budaya ilmu umat Islam

Memupuk budaya membaca di dalam keluarga

Saya menyeru diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian agar bertaqwa kepada Allah dengan mengerjakan segala perintahNya dan meninggalkan segala tegahanNya.

Maasyiral Muslimin rahimakumullah,

Wahyu pertama yang diturunkan kepada Nabi Muhammad s.a.w adalah perkataan "Iqra" atau "Bacalah". Ia adalah satu perintah kepada kita umat Islam agar membaca dan terus membaca. Kerana membaca merupakan kunci ilmu pengetahuan. Masyarakat yang suka membaca merupakan masyarakat yang cintakan dan dahagakan ilmu pengetahuan. Kemajuan tamadun dapat dikembangkan dan dipertingkatkan dengan membukukannya atau menghasilkannya dalam bentuk bahan cetak. Dengan luas membaca pula, seseorang akan dapat menambah pengetahuannya dan mempertingkatkan kematangan ilmiahnya. Oleh kerana itu, pada zaman kegemilangan kerjaaan Islam Abbasiah terdapat beribu-ribu kitab yang terkumpul di perpusatakaan-perpustakaan, samada di kota Baghdad itu sendiri atau di kota-kota pemerintahan Islam yang lain seperti Basrah dan Kahirah. Lihatlah bagaimana umat Islam zaman tersebut amat menyanjung ilmu dan menghargainya. Kitab merupakan satu benda yang amat berharga, lebih berharga dari wang dinar itu sendiri. Bukti banyaknya jumlah kitab yang ada tersimpan di Baghdad ketika itu adalah apabila kota itu diserang oleh tentera Moghul. Diberitakan bahawa beratus ribu kitab-kitab yang terdapat di perpustakaan diraja kota Baghdad dihumban ke sungai Furat sehingga air sungai tersebut bertukar warna menjadi hitam lantaran dakwat dari kitab-kitab tersebut.

Disini dapat kita lihat bagaimana budaya membaca dan mengumpul ilmu bukanlah satu perkara yang asing bagi umat Islam. Dan kita sebagai orang Islam pada hari ini, sepatutnya mempunyai minat yang lebih kuat untuk membaca dan mencari ilmu. Memang telah terdapat sebahagian daripada kita telah sedar akan tanggungjawab mencari ilmu. Mereka memenuhi majlis-majlis ilmu, kelas-kelas agama dan kursus-kursus peningkatan diri. Namun, masih banyak lagi yang boleh kita pertingkatkan dalam bidang ini, terutama sekali dalam minat membaca.

Sebahagian besar masyarakat Islam kita masih tidak minat membaca. Mereka lebih suka menonton dan mendengar dari membaca. Walaupun ilmu boleh juga didapati melalui menonton dan mendengar, akan tetapi ia tetap tidak dapat menandingi peranan membaca. Maklumat yang boleh didapati daripada buku-buku dan bahan yang dicetak adalah lebih terperinci dan teliti untuk dijadikan rujukan. Masyarakat Islam perlu memupuk budaya membaca ini. Kita perlu mulakan dengan diri kita dan menghidupkannya dalam keluarga kita.

Saudara-saudara sekelian,

Bagaimana kita menghidupkan budaya membaca dalam keluarga kita? Bagaimana kita boleh menggalakkan anak-anak kita agar suka membaca? Beberapa kaedah boleh digunakan:

Pertama, ia harus dimulakan dengan ibu bapa itu sendiri. Kita adalah contoh bagi anak-anak kita. Sekiranya kita suka membaca dan rajin membaca, sifat tersebut akan ditiru oleh anak-anak kita. Tetapi persoalannya adalah, bagaimana kita dapat menanamkan sifat suka membaca dalam diri kita? Sedangkan ada dikalangan kita yang merasa amat berat untuk memegang buku dan membacanya? Kita mesti lawan tabiat buruk ini. Kita mesti hakis pandangan yang salah bahawa masyarakat kita malas membaca. Bahawa masyarakat kita lebih suka melaksanakan aktiviti berbentuk fizikal seperti bermain bolasepak, daripada melaksanakan aktiviti berbentuk mental seperti membaca. Adakah kita mahu selama-lamanya menjadi masyarakat yang ketinggalan, menjadi penumpang dan bukan nakhoda, dipimpin dan tidak memimpin? Sudah tentu tidak! Kita juga mahu menyumbang dalam kepimpinan. Kita mahu maju kehadapan. Dan caranya adalah satu, iaitu dengan menimba seberapa banyak ilmu yang mungkin. Dan ilmu tidak dapat ditimba melainkan dengan membaca. Maka tanamkanlah sifat membaca dalam diri kita dahulu. Barulah anak-anak kita akan mempunyai minat membaca.

Kedua, minat membaca sahaja tidak mencukupi jika tiada bahan-bahan yang hendak dibaca. Oleh kerana itu penting bagi kita untuk melengkapkan rumah kita bukan sahaja dengan perhiasan dan alat-alat elektrikal, tetapi lebih penting lagi ialah dengan sudut bacaan, ataupun perpustakaan kecil. Di sudut inilah ktia mengisinya dengan buku-buku yang berfaedah, yang dibaca oleh kita dan anak-anak kita, sehingga akhirnya ia menjadi satu budaya dalam keluarga kita untuk membaca. Dan ketahuilah saudara-saudara sekelian, buku adalah lebih murah harganya dari sebahagian barang-barang hiasan yang kurang keperluannya di rumah. Jika kita lihat di sebahagian rumah orang Islam kita, kita dapat lihat masyarakat kita amat mementingkan keindahan dan perhiasan rumah. Alat-alat hiburan elektronik yang mahal-mahal sanggup dibeli, malah ada yang sanggup berhutang. Setiap tahun langsir rumah ditukar kepada yang lebih mahal. Perabot-perabot juga kerap ditukar walaupun masih boleh digunakan lagi. Tetapi apabila si anak ingin membeli buku, atau bahan ilmu, sebahagian kita tidak mengizinkannya dengan alasan yang buku itu mahal. Mengapa terjadi begini? Mengapa masyarakat kita lebih mementingkan perhiasan dunia, perhiasan luaran, dariada perhiasan akal dan ilmu? Mengapa masyarakat kita bermegah dengan hiasan rumah daripada bermegah dengan ilmu pengetahuan? Adakah kita dapat berbangga jika dikatakan kepada kita yang kita ini hanya luar sahaja nampak cantik tetapi kosong di dalam dan cetek ilmu pengetahuan? Ingatlah bahawa segala barang yang ada akan binasa dan rosak pada satu hari. Tetapi ilmu yang diraih akan tetap kekal dan relevan untuk kita. Masyarakat yang bertamadun berbangga dengan ilmu pengetahuannya dan bukan perhiasaan dunia yang sementara bentuknya. Oleh itu janganlah kita merasa lokek untuk membelanjakan wang kita untuk membeli buku-buku yang berfaedah untuk anak-anak kita. Jika kita tidak mampu, maka bawalah mereka ke perpustakaan-perpustakaan, agar mereka dapat juga membacanya.

Ketiga, kita harus menjinakkan anak-anak kita kepada buku dan sikap suka membaca dari sejak kecil lagi. Daripada membawa mereka berbelanja shopping, atau pergi ke pesta-pesta dan tepi pantai, tidakkah lebih baik membawa mereka ke perpustakaan dan kedai-kedai buku? Anak-anak kita akan dapat lihat bagaimana kita mementingkan ilmu pengetahuan. Mereka akan meniru perbuatan ibu bapanya. Jika ibu bapa minat membaca, mereka juga akan mempunyai minat yang sama. Bacalah bersama mereka. Jangan hanya kita menyuruh mereka membaca tetapi kita sendiri tidak membaca. Ini akan menyebabkan anak tersebut merasakan yang membaca itu adalah satu beban dan bukan satu perkara yang diminati.

Keempat, kita harus rajin menanyakan anak-anak kita tentang apa yang dipelajarinya di sekolah. Bagi ibu bapa yang mempunyai ilmu pengetahuan, mereka boleh mengaitkan apa yang dipelajari di sekolah dengan alam sekeliling. Seperti contoh, apabila si anak mempelajari bahawa matahari terbit dari timur, kita boleh mengajaknya melihat kepada bayang-bayang dan perhatikan pergerakan bayang-bayang, bukan setiap hari tetapi setiap bulan. Dia akan dapat melihat bayang-bayang tersebut betukar-tukar dari utara ke selatan dan kembali ke utara. Gunakan kesempatan ini juga untuk memupuk dalam jiwa anak-anak kita akan kebesaran Allah s.w.t. Kita harus cuba kaitkan apa yang dipelajari oleh anak-anak kita dari ilmu sains dengan kebesaran Allah s.w.t. Ini akan melahirkan anak-anak yang bukan sahaja menghargai apa yang dipelajari, ia juga akan melahirkan anak-anak yang kuat keyakinan dan imannya kepada Allah. Dan Allah memerintahkan agar kita melihat kebesaranNya melalui ciptaanya. Kita ambil contoh bayang-bayang tadi. Dengarlah firman Allah s.w.t mengenai bayang-bayang:

Ertinya: Tidakkah engkau melihat kekuasaan Tuhanmu? - bagaimana Ia menjadikan bayang-bayang itu terbentang. Dan jika Ia kehendaki tentulah Ia menjadikannya tetap (tidak bergerak dan tidak berubah)! Kemudian Kami jadikan matahari sebagai tanda yang menunjukkan perubahan bayang-bayang itu; Kemudian Kami tarik balik bayang-bayang itu kepada Kami, dengan beransur-ansur.

Memang sehabagian dari kita kurang mampu untuk mengaitkan apa yang dipelajari oleh anak-anak kita dengan alam sekeliling dan kebesaran Allah. Oleh kerana itu kita mesti menambahkan ilmu kita. Kita tambahkan ilmu kita dengan membaca dan terus membaca buku-buku yang berfaedah.

Akhirnya, apa yang kita inginkan dari anak kita bergantung kepada usaha kita. Jika kita mahukan anak yang cemerlang, kita tidak boleh mengenal istilah penat dan malas dalam pendidikan mereka. Akan tetapi jika kita tidak mahukan anak yang cemerlang, jika kita hanya mahukan anak kita menjadi pekerja biasa dan mempunyai pekerjaan yang rendah, maka tidak perlu kita bersusah payah memberikan mereka pendidikan dan menyempurnakan amanah kita ini. Pilihannya adalah ditangan kita. Pilihlah dengan bijaksana.

Baarkallah....