Meneruskan ibadah selepas bulan Ramadhan
Saudara-saudara sidang jumaat yang dirahmati Allah
Marilah bersama-sama kita memanjatkan kesyukuran dan pujian ke hadrat Allah s.w.t, kerana
atas limpah kurniannya kita dipanjangkan umur dan dapat kita bersama-sama beribadah pada
hari Jumaat yang mulia ini,dan marilah kita meningkatkan ketaqwaan kita dari masa ke
semasa dalam diri kita dengan menambahkan lagi amal ibadat kita di samping melakukan
segala suruhannya dan meninggalkan segala larangannya, semoga kita sentiasa dirahmati dan
diberkati Allah s.w.t , amin ya rabbal a'lamin...
Sidang Jumaat yang dirahmati Allah s.w.t,
Kita sering mendengar pada setiap khutbah Jumaat, khatib berpesan dan menyampaikan wasiat
agar kita sentiasa bertaqwa kepada Allah swt, tetapi apakah sudah terlaksana dan kita
benar-benar bertaqwa kepada Allah s.w.t? Atau kita hanya mendengar dan melafazkan perkataan
taqwa tanpa membuktikan dan meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah swt.
Ketaqwaan tidak cukup hanya dengan percaya akan kewujudan Allah swt tanpa melaksanakan
segala perintahnya dan meninggalkan segala larangannya, kita mesti berusaha meningkatkan
ketaqwaan kita dengan memelihara amalan yang diwajibkan ke atas kita dan meninggalkan
segala kejahatan dan kemaksiatan dengan hati yang tulus ikhlas kerana Allah swt, di samping
kita memperbanyakkan lagi amalan yang disunnatkan kepada kita, agar kehidupan kita dan
segala amalan kita di dunia ini tidak menjadi sia-sia, dan kita sentiasa mendapat keredaan
dan rahmat daripada Allah swt dari amalan-amalan yang kita lakukan.
Firman Allah swt dalam surah Al-Baqarah ayat 103, yang berbunyi :
Yang bermaksud: "Dan kalau mereka beriman dan memelihara dirinya sesungguhnya pahala dari
sisi Allah itu lebih baik kalau mereka mengetahui"
Begitu juga dengan amalan kita pada bulan yang lalu, apakah meningkat ibadah yang kita
lakukan pada bulan tersebut, yakni ibadah puasa kita di bulan Ramadhan, apakah meningkat
ketaqwaan kita kepada Allah dengan ibadah puasa yang kita lakukan di dalam bulan yang
penuh rahmah dan barakah itu? Dan apakah kita benar-benar berjaya menempuhi ujian bulan
Ramadhan itu? Dan sekarang ini kita dikurniakan pula bulan Syawal, yang mana dalam bulan
ini kita menyambut hari raya Aidilfitri, yang lebih tepat dan yang selayaknya di sambut
oleh orang-orang yang benar-benar berjaya melalui ujian bulan Ramadhan,orang-orang yang
memanfaatkan kelebihan sepenuh bulan itu dengan beribadah kepada Allah swt, yang mana
kelebihan bulannya mengandungi beribu-ribu bulan. Jadi apakah kita layak atau tidak
menyambut I'dilfitri? Tanyalah diri kita masing-masing, apakah kita berjaya melalui ujian
di dalam bulan Ramadhan yg lalu? Apakah amalan yang kita lakukan pada bulan itu? Dimanakah
kita pada 10 malam terakhirnya? Apakah yang kita lakukan? Adakah puasa kita diterima Allah
swt, atau kita hanya sekadar menahan lapar dan dahaga.
Sabda Rasulullah saw,yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa pada bulan Ramadhan dengan
penuh keimanan akan diampunkan dosa-dosa yang telah lalu
Maka bagi yang telah berjaya menempuhinya beruntunglah mereka,dan bagi yang sebaliknya
rugilah mereka,maka perbanyakkanlah ibadah dan berdoalah semoga diketemukan Ramadhan yang
akan datang, kita mungkin tidak ketahui apakah umur kita masih panjang dan apakah kita akan
berjumpa Ramadhan akan datang. Oleh itu janganlah lepaskan peluang selagi hayat kita masih
ada dengan beribadah kepadanya.
Sidang Jumaat yang berbahagia
Walaupun Ramadhan telah berlalu,dan tiba sudah Syawal,bulan kegembiraan,tapi ini tidak
bermakna kita boleh melakukan apa sahaja untuk melepaskan nafsu kejahatan, ketamakan dan
sebagainya yang tertahan selama sebulan kerana ianya akan mengurangkan dan menghilangkan
ketaqwaan kita kepada Allah, malahan kita sepatutnya menjadikan Ramadhan itu sebagai titik
permulaan untuk kita memulakan kehidupan yang lebih berdisiplin dan mengiltizamkan diri
kita dengan kehidupan seorang mukmin, kita sepatutnya memperbanyakkan lagi amal ibadah
kita dari masa ke semasa demi mempertingkatkan lagi ketaqwaan kita kepada Allah swt.
Kita sepatutnya bersyukur kerana Allah swt masih lagi memberi dan terus memberi peluang
bagi kita untuk menambah pahala amal ibadah kita, memberi peluang kepada kita yang selalu
khayal untuk kembali beribadah kepadanya. Di dalam bulan Syawal ini, ada terselit suatu
ibadah yang mana jika ia dilakukan akan mendapat limpahan yang berganda-ganda , ibadah
yang dimaksudkan itu ialah puasa enam.
Ibadah puasa enam ini dilakukan hanya pada bulan Syawal,dan ia boleh dimulai selepas sehari
hari raya,sama ada secara berterusan atau diselang seli harinya,yang mana puasa ini
diterima selagi ia dilakukan pada bulan syawal,dan kelebihannya sepertimana yang
diriwayatkan dalam sebuah hadis Rasulullah. Yang berbunyi:
Yang bermaksud: Barang siapa yang berpuasa sebulan Ramadhan, diikuti dengan enam hari
dalam bulan syawal seolah-olah dia berpuasa selama setahun
Maka bayangkanlah wahai saudara-saudara sidang Jumaat sekalian, betapa besarnya rahmat dan
pahala yang Allah limpahkan kepada kita seandainya kita dapat melakukan ibadah puasa
sunnat enam ini, tidak mahukah kita berebut-rebut untuk mendapatkannya?
Sidang jumaat yang berbahagia
Sekiranya kita mampu untuk bekerja 'Overtime' untuk mendapatkan gaji yang lebih, tak
mahukah kita 'Overtime' dalam melakukan ibadah, yang mana dengan ibadah ini kita mendapat
ganjaran yang berlipat kali ganda pahalanya, mungkin ganjarannya tidak dapat dilihat
sekarang dengan mata kasar, tapi di hari kemudiaan kelak , mungkin dari amalan ini dapat
menambahkan pahala kita dan menjamin kita masuk ke syurga,
Mudah-mudahan dengan ibadah yang sekecil ini dapat meningkatkan lagi ketaqwaan kita kepada
Allah swt,dan ianya juga dapat menampal segala kekurangan-kekurangan ibadah yang selama ini
kita lakukan di dunia. Oleh itu marilah kita sama-sama kita tidak melepaskan peluang ini,
dalam kita sibuk mengejar kemewahan di dunia ini, janganlah kita lupa dan leka untuk
mengejar kemewahan dan kesenangan hidup di akhirat kelak, kerana kehidupan di dunia
hanyalah sementara, manakala kehidupan di akhirat kelak lah yang akan kekal buat selamanya.
Firman Allah swt di dalam surah Al An'am ayat 32:
Yang bermaksud : dan tiadalah kehidupan dunia ini selain dari permainan dan senda gurau.
Dan sesungguhnya Akhirat itu lebih baik bagi orang-orang yang bertakwa. Adakah kamu tidak
memahami ?
Baarakallah....