30 March
2001


Mengingati Mati

Maasyiral muslimin rahimakumullah,

Bersempena hari Jumaat yang pertama dalam tahun baru hijrah 1422 ini, saya menyeru kepada diri saya sendiri dan saudara-saudara sekelian, agar ktia terus meningkatkan ketaqwaan kita kepada Allah, dengan mengerjakan segala perintahNya dan berazam untuk meninggalkan segala laranganNya. Seterusnya, kita berusaha mempertingkatkan lagi kualiti ibadah kita kepada Allah. Semoga dengan semua ini kita akan dianugerahkan oleh Allah husnul khatimah, ameen ya Rabal 'Alamin.

Saudara-saudara sekelian, Sempenan tahun baru ini, marilah kita berhenti sejenak dan merenung. Kita lihat sekeliling kita, keluarga kita, sanak saudara kita, sahabat handai kita. Berapa ramaikan yang ada bersama kita pada awal tahun lepas. Tetapi pada awal tahun ini, pada hari ini, mereka sudah tiada bersama kita. Mereka sudah meninggalkan kita. Mereka sudah memasuki alam baru, alam Barzakh, alam kubur.

Begitulah saudara-saudara sekelian. Kehidupan dunia ini tidak kekal. Kehidupan dunia ini hanya sementara belaka. Ia seperti yang digambarkan oleh Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang bermaksud:

"Apalah erti dunia bagiku. Hubungan ku dengan dunia ini laksana seorang pengembara yang sedang berjalan di bawah terik mentari. Tiba-tiba kelihatan olehnya sebatang pohon lalu dia pun berteduh sejenak di bawah bayangan teduhannya. Sesaat kemudian dia pun pergi meninggalkan tempat itu."

Begitulah saudara-saudara sekelian. Apabila kita meninggalkan teduhan pohon tersebut untuk melanjutakan pelayaran kita, itulah saat kematian kita. Kematian bukan bererti penutup segala sesuatu. Kematian bukan noktah akhir. Tetapi kematian adalah saat perpindahan dari satu alam ke alam yang lain. Dari alam dunia yang sementara ini, ke alam akhirat yang kekal abadi. Apakah yang kita sudah persiapkan untuk alam akhirat tersebut? Adakah persiapan kita dengan amal bakti, atau persiapan kita dengan dosa dan maksiat? Fikirkanlah sebelum mati datang menjemput kita. Fikirkanlah sebelum malaikat maut datang mencabut nyawa kita.

Saudara-sadaura sekelian,

Kematian boleh datang bila-bila masa. Ia tidak mengenal umur, bangsa dan warna. Ia tidak mengenal samada seseorang itu sihat atau sakit terlantar. Berapa ramai dari manusia yang nampak sihat dan tegap badan, tiba-tiba datang ajal maut. Mereka terpedaya dengan anggapan bahawa mereka akan hidup lebih lama lagi di dunia ini kerana mereka sihat sejahtera. Tetapi siapakah yang dapat menjaminkan demikian? Begitu juga yang muda remaja. Mereka menyangka mereka akan hidup lebih lama lagi kerana mereka masih muda. Tetapi siapakah yang dapat menjaminkan demikian?

Adakah apabila sudah sampai kematian, apabila roh sudah hampir keluar dari badan, barulah kita merasa insaf? Barulah kita merasa menyesal atas perbuatan maksiat kita? Adakah ketika itu segala taubat kita diterima Allah? Tidak sekali-kali. Pintu taubat akan tertutup apabila seseorang sudah berada pada ketika nazaknya, ketika rohnya hampir keluar dari jasadnya. Maka sekaranglah masanya untuk kita insaf dan taubat. Kita meminta ampun dari Allah atas segala dosa kita dan meningkatkan ibadah kita, sewaktu kita masih lagi bernafas di atas dunia ini. Dengarlah firman Allah dalam surah Qiyamah:

Ertinya: Sesekali jangan! Apabila nafas seseorang itu telah sampai ke kerongkongnya. Dan dikatakan kepadanya: Siapakah yang dapat menyembuhkan (engaku)? Dan dia yakin bahawa sesungguhnya itulah waktu perpisahan (dengan dunia). Dan terikatlah betis kiri ke betis kanan. Kepada Tuhanmu kamu akan dibawa pada hari tersebut.

Ingatlah saudara-saudara sekelian. Apabila kematian sudah datang, tiada siapa yang dapat menghalangnya. Ketika kematian sudah datang, ketika itulah kita akan sedar betapa singkatnya kehidupan di dunia ini. Bayangkanlah, apabila kita sudah menghembuskan nafas kita yang terakhir. Bayangkanlah, ketika tersebut anak isteri akan menangis atas jasad kita yang sudah kaku. Itulah saat perpisahan. Kita tidak tahu samada kita akan berjumpa mereka lagi atau tidak. Kerana di akhirat kelak, kedudukan seseorang akan bergantung kepada amalannya.

Ingatlah saudara-saudara sekelian. Ingatlah kematian sebelum ia datang. Buatlah persiapan untuk menghadapi hari perpisahan tersebut. Sesungguhnya, orang yang cerdik adalah orang yang sentiasa mengingati kematian, seperti yang disabdakan oleh Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Siapakah orang mukmin yang paling cerdik? Berkata Rasulullah: Mereka yang paling banyak mengingati kematian.

Ini adalah kerana apabila seseorang sentiasa sedar akan kematiannya yang akan datang tidak tahu bila, dia akan berasa gementar untuk melakukan maksiat kerana dia akan berasa takut jika maut akan datang ketika dia sedang melakukan maksiat tersebut. Dan dia akan rajin melakukan ibadat sebagai persiapan untuk pelayaran di alam akhirat kelak. Sesungguhnya kematian itu adalah satu pengajaran bagi orang-orang mukmin, seperti sabda Rasulullah s.a.w:

Ertinya: Cukuplah kematian itu sebagai peringatan.

Malangnya, manusia sentiasa leka. Setiap hari ada kematian. Setiap hari ada jasad yang dikebumikan. Tetapi manusia tetap leka. Manusia tetap tidak mengambil pelajaran. Sedikti sahaja dari kalangan manusia yang insaf akan kematian. Pernah diriwayatkan bahawa seorang wali Allah menangis ketika seorang mayat dibawa untuk disolatkan. Apabila ditanya kenapa dia menangis, dia menjawab: Aku menangis bukan kerana mayat tersebut. Tetapi aku menangis kerana diri aku sendiri. Mayat tersebut sudah tertutup buku catatan amalannya. Sedangkan buku catatan aku belum lagi ditutup dan aku tidak tahu apakah kesudahannya.

Begitulah saudara-saudara sekelian. Hamba yang beriman dan sentiasa bertaqwa kepada Allah akan mengambil iktibar dari kematian. Sebaliknya, hamba yang lupa akan Allah, dia akan tenggelam dan hanyut dengan hiasan dunia ini hingga lupa akan pelayaran yang lebih jauh lagi, iaitu alam akhirat.

Marilah kita sama-sama bersyukur kerana Allah masih panjangkan umur kita hingga ke hari ini. Untuk memberi peluang kepada kita bertaubat kepadaNya, untuk memberi peluang kepada kita meningkatkan ibadah kita. Rebutlah peluang ini sebelum ajal datang menjemput kita.

Baarakallah....