31 December 99

 



Tajuk: Malam-malam terakhir Ramadhan.

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Kita sekarang berada pada sepuluh hari terakhir di bulan Ramadhan ini. Kurang lima hari lagi kita akan meninggalkan bulan yang penuh berkah ini. Ramadhan akan meninggalkan kita. Dan kita tidak tahu samada kita akan berjumpa dengan Ramadhan akan datang atau tidak. Adakah umur kita dilanjutkan sehingga sempat bertemu Ramadhan yang baru, atau kemungkinan inilah Ramadhan kita yang terakhir.

Maka sebelum kita meninggalkan Ramadhan ini, saya ingin mengajak saudara-saudara sekelian, untuk kita bersama-sama merenung kembali, apakah yang telah kita isikan pada hari-hari yang lepas. Apakah amalan-amalan, ibadah-ibadah yang boleh kita persembahkan kepada Allah kelak, ibadah-ibadah yang boleh kita banggakan dihadapan Allah kelak.

Sudahkah kita merebut peluang-peluang yang telah disediakan oleh Allah pada bulan Ramadhan ini, atau kita telah mensia-siakannya?

Beruntunglah mereka yang telah benar-benar manfaatkan masa mereka di bulan Ramadhan ini untuk mendekatkan diri mereka kepada Allah. Pada siang hari mereka berpuasa. Berpuasa bukan sahaja perut mereka, malah berpuasa seluruh anggota badan mereka. Mereka menjaga mata mereka dari melihat pandangan yang haram. Mereka menjaga telinga mereka dari mendengar yang haram. Mereka menjaga lidah mereka dari berkata yang sia-sia. Kemudian pada malam harinya, mereka penuhkannya dengan ibadah, dengan solat terawih, solat witir dan solat tahajjud. Siang dan malam mereka penuhkan masa mereka dengan membaca Al-Quran. Untuk mereka pengampunan dari Allah dan balasan yang berlipat ganda. Semoga kita tergolong dalam jenis orang-orang seperti ini, amin.

Adapun mereka yang cuai, yang leka dari merebut peluang bulan Ramadhan ini, maka sedarlah. Sedarlah bahawa Ramadhan adalah bulan hadiah dari Allah, bulan dimana segala pintu syurga dibuka dan segala pintu neraka ditutup. Bulan dimana Allah s.w.t melepaskan hamba-hambanya dari neraka pada setiap malam. Adakah kita termasuk dalam golongan tersebut?

Maka bagi orang-orang ini, ketahuilah bahawa Ramadhan masih ada sisa-sisa harinya. Masih ada peluang untuk merebut pengampunan dan rahmat dari Allah. Ambillah peluang ini. Rebutlah anugerah Allah. Janganlah sampai Ramadhan meninggalkan kita tanpa mendapat pengampuan dari Allah.

Sidang Jumaat rahimakumullah,

Sepuluh malam terakhir dari Ramadhan merupakan antara malam-malam yang istimewa. Didalamnya ada satu malam yang teramat istimewa. Malam Lailatul Qadar. Malam yang lebih baik dari 1000 bulan. Alangkah beruntungnya mereka yang dapat beribadah pada malam ini. Sesungguhnya dia seperti telah beribadah lebih dari 1000 bulan atau lebih 83 tahun. Firman Allah di dalam surah Al-Qadr:

Maksudnya: Adakah kamu tahu apakah dia itu lailatul qadar? Lailatul qadar itu adalah lebih baik dari seribu bulan.

Dan sabda Rasulullah s.a.w dalam hadithnya yang diriwayatkan oleh Imam Bukhari:

Maksudnya: Carilah malam Lailatul Qadar pada sepuluh yang terakhir dari bulan Ramadhan.

Inilah hari-hari sepuluh yang terakhir. Hari-hari dimana Rasulullah s.a.w giat beribadah dan beritikaf di masjid. Bilakah akan berlaku Lailatul Qadar? Tidak ada yang tahu dengan tepat. Allah s.w.t merahsiakannya dari manusia agar kita sentiasa giat beribadah pada setiap malam, agar terserempak dengan malam Lailatul Qadar.

Malangnya, saudara-saudara sekelian, pada malam-malam inilah godaan nafsu begitu kuat. Pada sepuluh hari terakhir inilah sebilangan umat Islam semakin leka dan cuai. Leka dan cuai dari beribadat kerana sibuk memikirkan dan bersiap untuk menyambut kedatangan Aidilfitri. Ada sebahagian dari kita yang sanggup mengorbankan solat Terawih mereka, hanya sekadar ingin berbelanja bagi menyambut Aidilfitri. Oleh itu kita lihat jemaah yang bersolat di masjid-masjid berkurangan apabila Hari Raya semakin dekat. Alangkah sedihnya! Alangkah ruginya!

Ada juga sebahagian kita yang sanggup mengorbankan tidur mereka kerana bersiap-siap menyambut Aldilfitri. Adakah mereka juga sanggup menggorbankan tidur mereka untuk mengerjakan solat Tahajjud dan ibadah-ibadah lain?

Sidang Jumaat yang dirahmati Allah,

Tahun ini dugaan yang lebih besar akan menunggu kita. Hari ini adalah hari terakhir abad ini. Esok adalah hari pertama abad yang baru. Maka kita lihat segolongan manusia sibuk bersiap untuk mengadakan perayaan yang besar untuk menyambut abad baru. Malam ini, akan diadakan pesta besar-besaran sebagai menyambut apa yang dikatakan sebagai alaf baru.

Ketahuilah, wahai saudara-saudara yang dirahmati Allah, perayaan-perayaan seperti ini akan penuh dengan maksiat. Kita sebagai umat Islam, dilarang untuk bersama melakukan maksiat. Apatah lagi apabila perayaan-perayaan ini akan diadakan pada malam ini, malam 24 Ramadhan, malam yang sepatutnya diisi dengan ibadat dan bukan dengan maksiat. Ingatlah bahawa Allah sentiasa memerhatikan kita. Dan ingatlah, bahawa bala bencana dari Allah akan ditimpakan ke atas kaum yang engkar akan perintah Allah, sepertimana yang berlaku pada kaum-kaum 'Ad, Tsamud, Lut, Firaun dan lain-lain lagi. Perhatikan ayat yang akan saya bacakan ini:

"Sehingga apabila mereka bergembira dan bersukaria dengan segala nikmat yang diberikan kepada mereka, Kami timpakan mereka secara mengejut (dengan bala bencana yang membinasakan), maka mereka pun berputus asa (dari mendapat sebarang pertolongan)." (Al-An'am, ayat 44)

Adakah kita ingin menjadi kaum yang binasa? Jika ditakdirkan malam ini adalah malam Lailatul Qadar, adakah kita ingin dicatit sebagai orang yang sedang melakukan ibadat, atau orang yang sedang bergelumang dengan maksiat dan dosa? Adakah kita rela membuka pintu api neraka pada malam ini sedangkan Allah sudah menutupnya?

Sedarlah, wahai umat Islam! Sedarlah, wahai hamba Allah! Ajal maut tiada siapa yang tahu kecuali Allah. Maka hati-hatilah. Janganlah ajal kita datang sewaktu kita sedang melakukan maksiat, kerana itulah seburuk-buruk ajal, su-ul khatimah, wal iyazubillah min zalik.

Maka, diatas mimbar ini, di rumah Allah ini, di hari yang mulia ini, di bulan yang mulia ini, saya menyeru kepada sidang hadhirin sekelian, takutlah kamu kepada Allah! Takutlah akan siksa azabnya! Janganlah kita duduk bersama-sama mereka yang akan melakukan maksiat pada malam ini khususnya, dan pada waktu-waktu lain umumnya. Gantikan waktu malam ini dengan solat dan membaca Al-Quran. Rebutlah peluang untuk beribadah pada malam-malam akhir ini. Dan jangan kita sia-siakannya dengan maksiat dan dosa.

Firman Allah s.w.t didalam surah Ibrahim ayat 42:

"Dan janganlah kamu menyangkan bahawa Allah itu leka dari apa yang dikerjakan oleh orang-orang yang zalim. Sesungguhnya Allah melambatkan siksaan mereka kepada hari dimana terbeliak pandangan mereka (kerana gerun gementar melihat keadaan yang berlaku)."

Baarakallah..........