1 SYAWAL 1419H/19 JANUARI 1999M

 



HARI RAYA IDUL FITRI

"Ilmu, Hikmah dan Adab Teras Kepimpinan"

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Alhamdulillah kita telah selesai menunaikan ibadah puasa. Kita berdoa agar segala amalan kita sepanjang bulan Ramadhan ini diterima oleh Allah SWT. Marilah kita sama-sama meneruskan rasa Taqwa kita kepada Allah. Kerana sesungguhnya matlamat berpuasa ialah agar kita bertaqwa kepada Allah. Ini dengan kita terus melakukan amalan-amalan baik yang kita lakukan dalam bulan Ramadhan. Dan terus menghindarkan diri kita dari amalan-amalan yang tidak baik yang telah kita tinggalkan dalam bulan Ramadhan. Moga-moga kita digolongkan bersama mereka yang dibebaskan dari api neraka sebagaimana yang dijanjikan Allah melalui Rasul-Nya.

Muslimin dan Muslimat yang dihormati,

Rasa Taqwa ini perlu terus dipupuk secara berterusan agar terus hidup segar dalam jiwa dan minda. Lebih-lebih lagi mereka yang ditangan mereka urusan ummah, yakni para pemimpin. Dan setiap dari kita adalah pemimpin pada satu masa dan pengikut pada masa yang sama. Keutuhan ummah akan bergantung kepada kepimpinan yang bertaqwa. Kepimpinan yang berilmu, berhikmah dan beradab tinggi. Cuba kita perhatikan pelajaran penting di dalam al-Qur'an tentang kepimpinan. Allah SWT berfirman dalam surah al-Anbiya ayat 78 Ð 80 yang bermaksud:-

"Dan (ingatlah kisah) Daud dan Sulaiman di waktu keduanya memberikan keputusan mengenai tanaman, kerana tanaman itu dirosakkan oleh kambing-kambing kepunyaan kaumnya. Dan adalah Kami menyaksikan keputusan yang diberikan oleh mereka itu. Maka kami telah memberikan kefahaman kepada Sulaiman tentang hukum (yang lebih tepat); dan kepada masing masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu dan telah Kami tundukkan gunung-gunung dan burung-burung, semua bertasbih bersama Daud dan Kamilah yang melakukannya. Dan telah kami ajarkan kepada Daud membuat baju besi untuk kamu, guna memelihara kamu dalam peperanganmu; Maka hendaklah kamu bersyukur (kepada Allah)."

Kisahnya, seperti yang diriwayatkan oleh Ibn Abbas ialah bahawa telah datang dua orang lelaki menghadap Nabi Daud (a.s.) Ð yang seorang tuan punya ladang dan yang seorang lagi tuan punya kambing. Orang yang empunya ladang itu mengadu dengan katanya: "Kambing orang ini telah masuk ke ladang saya waktu malam, dan memakan tanam-tanaman serta merosakkannya sehingga tidak ada lagi yang tinggal." Nabi Daud menjatuhkan hukuman supaya tuan punya kambing itu menyerahkan kambingnya kepada tuan punya ladang Ð sebagai denda Ð kerana kerosakan ladangnya menyamai harga kambing itu semuanya. Maka kedua-duanya pergi beredar.

Kemudian kedua-duanya datang pula menghadap Nabi Sulaiman (a.s.) dan minta supaya dibicarakan. Nabi Sulaiman bertanya: "Bagaimana Nabi Daud telah menjatuhkan hukuman?" Kedua-duanya pun menceritakan apa yang sudah berlaku. Lalu kata Nabi Sulaiman: "Kalaulah saya dilantik menjadi hakim untuk mengadili perbicaraan kamu berdua nescaya akan saya jatuhkan hukuman yang lain daripada ini, bahkan lebih bertimbang rasa kepada kedua-dua belah pihak."

Berita ini disampaikan kepada Nabi Daud, lalu Nabi Daud memanggil Nabi Sulaiman dan bertanya: "Bagaimana engkau akan mengadili perbicaraaan ini? Benarkah engkau mendakwa akan menjatuhkan hukuman yang lebih bertimbang rasa kepada kedua-dua belah pihak?" Nabi Sulaiman pun tampil menjatuhkan hukumannya dengan berkata: "Hendaklah kambing itu diserahkan kepada tuan punya ladang, supaya dia dapat mengambil faedah daripada kambing tersebut dengan memerah susunya, mendapatkan hasil daripada anak-anaknya, mengambil bulunya dan kegunaan lain yang dapat diambil faedah daripadanya. Adapun tuan punya kambing pula, hendaklah dia bekerja menanami semula ladang itu sampai mendapat hasil seperti mula-mula dahulu waktu dia dimakan kambing. Kemudian baharulah diserahkan kepada tuan punya ladang, dan dia mengambil balik kambingnya."

Mendengar hukuman yang seperti itu, maka Nabi Daud berkata: "Apa yang engkau hukumkan, wahai anakku, itulah dia hukuman yang benar." Lalu kedua-dua orang yang berselisih tadi dikenakan hukuman seperti yang telah ditetapkan oleh Nabi Sulaiman (a.s.) Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah,

Kisah ini adalah satu kes yang menarik bagi pemimpin dan kepimpinan. Ia menggambarkan ciri-ciri yang penting dan perlu ada pada pemimpin dan kepimpinan. Pendekatan Nabi Daud adalah satu pendekatan yang adil. Yang bertujuan untuk mempertahankan hak orang yang dizalimi. Untuk membuat keputusan ini sahaja memerlukan ilmu. Nabi Daud tidak boleh mengambil pendekatan ini tanpa ilmu. Namun demikian, pendekatan Nabi Sulaiman adalah satu pendekatan yang lebih dari hanya adil. Lebih dari hanya mempertahankan hak yang dizalimi. Tetapi pendekatannya ialah pendekatan yang melihat masa depan. Pendekatan yang mengoptimumkan suasana dan ketika untuk kebaikan kedua-dua pihak dan untuk masyarakat. Pendekatan Nabi Sulaiman tidak hanya adil tetapi meletakkan ciri pembinaan dan pembangunan sebagai asas. Pendekatan seorang pemimpin yang berwawasan. Pendekatan dia tidak hanya mengembalikan hak masing-masing, tetapi menyumbang ke arah pembinaan dan pembangunan. Ia mencegah tuan punya kambing dari hilang pekerjaan, dengan diserahkan kambing kepada tuan punya ladang. Ia memberikan pekerjaan kepada kedua-dua pihak dan untungnya kembali kepada mereka dan masyarakat juga. Inilah natijah dari ilmu dan kefahaman yang mendalam akan situasi. Inilah hikmah yang dicampakkan pada seorang pemimpin.

Kefahaman tidak hanya bergantung kepada maklumat yang ada, tetapi kefahaman akan perincian dan makna maklumat-maklumat ini. Ia lebih dari hanya setakat pengumpulan dan timbunan maklumat. Ia adalah hasil dari interaksi ilmu dan pengalaman maka lahirlah hikmah dan kebijaksanaan dalam keputusan. Inilah yang Allah kurniakan kepada Nabi Daud dan Nabi Sulaiman dengan firmannya:

yang bermaksud:

Dan kepada masing-masing mereka telah Kami berikan hikmah dan ilmu..."

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar wa liLlahil hamd

Para hadirin dan hadirat yang dirahmati Allah,

Ilmu dan kefahaman adalah ciri penting yang perlu ada pada seorang pemimpin. Ilmu dan kefahaman ini akan memeliharanya dari membuat keputusan yang bercanggah dengan syariah. Ia juga akan memeliharanya dari membuat keputusan yang membawa kemudharatan kepada yang dipimpin atau kepada masyarakat. Kerana apa juga keputusan seorang pemimpin akan memberi implikasi kepada pengikut. Kejahilan akan hukum hakam syariah menyebabkan seorang pemimpin melanggar hukum hakam Allah. Sebagai contoh, seorang pemimpin mungkin melabor kepada perkara yang haram atau projek yang bercanggah dengan Syari'ah dengan tujuan mendapatkan keuntungan yang cepat dan banyak dengan alasan membawa faedah kepada organisasi yang dipimpinnya. Ia mungkin mengambil kira pembinaan dan pembangunan, tetapi tidak mengambil kira ciri adil. Kerana dengan melakukan demikian, ia telah melakukan satu kezaliman dan ini bercanggah dengan prinsip keadilan. Ini disebabkan kejahilan, atau tidak faham akan hukum hakam Allah SWT. Kerana itu, seorang pemimpin Islam perlu terus meningkatkan ilmu khususnya yang berkaitan tentang hukum hakam Islam. Dalam hal ini, fardhu ain baginya bukan sahaja berkenaan ibadah khusus seperti taharah, solat, puasa dan haji seperti yang difahami umum akan erti Fardhu Ain. Tetapi, fardhu ain tadi berubah dengan kedudukan dan peranan seseorang itu. Sebagai contoh, bagi seorang peniaga, pelajaran fardhu ainnya bukan hanya taharah, solat, puasa dan haji, tetapi juga hukum muamalat (jual beli) Islam perlu dan wajib dipelajari. Bagi kaunselor keluarga, maka fardhu ain baginya untuk mengetahui hukum munakahat (pernikahan) dalam Islam. Dan bagi pemimpin, fardhu ain untuk dia mengetahui Siasah Syar'iah atau hukum hakam berkaitan pentadbiran dalam Islam. Ini juga melibatkan beberapa kaedah-kaedah fiqh dan bab-bab dalam Usul Fiqh. Dan demikianlah budaya belajar yang berterusan bagi seseorang bergantung kepada kedudukan dan peranan yang dimainkan oleh seseorang itu. Apatah lagi kita hidup di zaman yang dikatakan sebagai zaman ekonomi berdasarkan ilmu atau Knowldege Based Economy. Di zaman di mana kekuatan ilmu dan kemahiran adalah ciri penting kejayaan satu organisasi dan masyarakat. Pemimpin harus pertama sekali mencerminkan budaya ilmu dan belajar ilmu. Ia kemudian akan diikuti oleh pengikutnya.

Allahu Akbar allahu Akbar Allahu Akbar wa liLlahil hamd...

Muslimin Muslimat yang dirahmati Allah

Ilmu dan kefahaman ini juga adalah asas bagi segala amalan dan pekerjaan. Ilmu harus didahulukan daripada amal. Kerana ilmu adalah pemimpin dan penunjuk arah bagi pekerjaan yang akan dilakukan. Ini seperti yang diriwayatkan oleh Mu'az dalam sebuah hadith mauquf yang bermaksud:

"Ilmu itu pemimpin dan amalan adalah pengikutnya"

Ilmu perlu didahulukan dari amalan atau pekerjaan kerana ilmulah yang akan membezakan antara pekerjaan yang betul dan salah, antara haq dan batil, antara perbuatan yang disunnatkan dan perbuatan yang diwajibkan, atau yang bid'ah dalam ibadat; antara tindakan yang halal dan tindakan yang haram; antara ukuran yang diterima dan ukuran yang ditolak, dan sebagainya. Ia adalah pelita untuk kita membuat keputusan. Kerana itu, para ulama kita dahulu sering memulakan buku-buku agung mereka dengan bab ilmu. Ini seperti buku hadith Bukhari dan Muslim, buku Ihya Ulumuddin oleh al-Ghazzali, dan banyak lagi

Dengan ilmu dan kefahaman ini, pemimpin tahu akan keutamaan dalam kerja-kerjanya. Dia tahu memfokuskan kerja-kerja utamanya. Kerana dia tahu mana satu yang sunnah dan mana satu yang wajib. Mana satu yang makruh mana satu yang haram. Mana satu yang merupakan wajib yang ada pilihan dan mana satu wajib yang tiada pilihan. Ia tahu membezakan antara perkara pokok dan perkara cabang. Mana satu yang membawa maslahah umum dan mana satu membawa maslahah khusus. Ini semua adalah alat-alat penting untuk membuat keputusan, khususnya bagi seorang pemimpin. Bilamana pemimpin tidak mempunyai ilmu-ilmu ini, dia mungkin akan menyebabkan perpecahan antara pengikutnya dan masyarakat.

Cuba kita lihat contoh seorang pemimpin yang berilmu, faham dan penuh hikmah, yang dapat membezakan antara yang wajib dan yang sunnah, antara maslahah umum dan maslahah khusus. Seorang pemimpin pergerakan Dakwah antarabangsa yang terkenal, yaitu Imam Hassan al-Banna, rahimahullah yang mati dibunuh pada tahun 1995. Pada satu hari, beliau ke sebuah masjid untuk menunaikan solat. Beliau mendengar huru hara di masjid tadi. Beberapa jamaah sedang bertengkar dan bergaduh diantara mereka. Bila tanya sebab pertengkaran dan pergaduhan tadi, rupa-rupanya mereka bergaduh kerana masalah azan. Ketika itulah Imam al-Banna dengan hikmahnya mendamaikan keadaan dengan berkata, kamu bergaduh ke atas benda yang sunnah dan meninggalkan perkara yang lebih wajib, yaitu perpaduan ummah. Ketika itu, para jemaah mula sedar akan kesilapan mereka. Cerita-cerita seumpama ini banyak diceritakan dalam catatan memoirnya di mana beliau membawa masyarakat keluar dari persengketaan pada perkara-perkara cabang dan khilaf kepada perkara usul (dasar) dan yang disepakati. Dalam hal ini, ilmu dan kefahaman akan Islam dan hukum Islam adalah penting agar kita tahu apa yang utama dalam agenda kerja kita. Ini akan mengelakkan banyak perselisihan yang tidak wajar. Ini juga akan membawa kita untuk menumpukan kepada perkara yang disepakati dan perkara usul, dan bukan menumpukan kepada perkara khilafiyyah atau perkara cabang yang sudah lama dibincangkan ulama dahulu seperti soal qunut, soal Maulud, soal solat terawih lapan atau dua puluh rakaat atau sebagainya. Ilmu dan hikmah pemimpin adalah penting dalam perkara ini. Kerana itu, bila mana Allah inginkan kebaikan pada seseorang dan pada masyarakat, Dia akan memberikan kepadanya kefahaman dalam agama atau tafaqquh fi al-Din, sebagaimana dalam sebuah hadith Rasulullah SAW bersabda:

Yang bermaksud:

"Barangsiapa yang Allah inginkan kebaikan untuknya, akan Allah fahamkan dia akan agama." (diriwayatkan oleh Bukhari, Muslim, Ahmad, Ibn Majah, Malik dan al-Darmi)

Dalam suasana Hari Raya ini, ia lebih mendorong kita untuk bersatu dan bersetuju kepada perkara pokok dan yang disepakati. Untuk kita bekerjasama pada apa yang dipersetujui dan saling maaf memaafkan pada apa yang dikhilafkan. Dalam hal ini, kerendahan hati adalah ciri penting untuk kita menerima dan menghormati perbezaan pendapat.

Allahu Akbar Allahu Akbar Allahu Akbar wa liLlahil hamd

Muslimin dan Muslimat yang dirahmati Allah

Kerendahan hati juga adalah ciri penting bagi pemimpin khususnya dalam berhadapan dengan perbedaan pendapat. Ini bermakna pemimpin bersedia untuk mengaku kesilapan atau kurang tepatnya pandangannya; untuk menerima pandangan orang lain yang lebih baik dan tepat walaupun dari seorang yang lebih muda dari kita. Dan meletakkan maslahah umum lebih utama dari maslahah peribadi. Ini dapat kita lihat dari kisah Nabi Daud (a.s) dengan Nabi Sulaiman (a.s.) tadi. Walaupun Nabi Sulaiman adalah anaknya dan masih muda ketika itu, ini tidak menghalang Nabi Daud, seorang Nabi dan ayah, seorang yang juga diajarkan Allah akan Ilmu dan Hikmah, untuk menerima pandangan Nabi Sulaiman yang jauh lebih muda darinya. _apabial ia mendapati keputusan nabi Sulaiman lebih adil dan tepat. Kisah seumpama ini juga kita lihat pada peribadi Umar Ibn al-Khattab yang bersedia menerima pandangan seorang wanita tua yang menegur ijtihad Umar dengan berkata: "Telah benar wanita tua dan telah silap Amirul Mukminin Umar Ibn al-Khattab".

Demikianlah keperibadian seorang pemimpin contoh. Seorang pemimpin yang berilmu dan berhikmah, dan seorang yang beradab tinggi. Pemimpin yang mendokong dan menghidupkan budaya ilmu dan belajar; di samping berkeperibadian tinggi dan adab yang luhur.

Muslimin dan Muslimat sekelian,

Setelah sebulan kita berpuasa dan melatih diri, jiwa dan minda ke atas nilai-nilai rendah hati, berkerjasama dan memohon maaf dan memaafkan, marilah sama-sama kita terus hidupkan semangat dan budaya ini dalam hidup kita agar Ramadhan terus meninggalkan kesannya dan mencapai matlamatnya untuk melahirkan rasa Taqwa dalam diri kita. Agar Ramadhan terus menjadi bulan pentarbiyyahan diri dan bermuhasabah untuk kita terus memperbaiki diri demi maslahah ummah.

Barakallah.......