Media Statement - Mufti Statement on the Case of Mr Nalla Mohamed Abdul Jameel ML

KENYATAAN MEDIA

1 September 2017

Dear Fellow Muslims in Singapore
Assalamualaikum Wr Wb.

  1. Kes imam Nalla Mohamed Abdul Jameel telah menyebabkan keadaan yang agak tegang di dalam masyarakat kita akibat daripada rakaman doa yang dibaca beliau di dalam khutbah Jumaat. Namun saya dapati bahawa tidak berapa ramai dari masyarakat kita yang mengetahui dan memerhatikan apakah sebenarnya kandungan doa yang menjadi isu.

  2. Dalam rakaman yang kita dapati itu, beliau membacakan doa yang terkandung di dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah. Tetapi yang menjadi isu ialah beliau juga menokok tambah dengan beberapa bahagian doa yang lain termasuklah yang menjadi permasalahannya iaitu doa di mana beliau memohon kepada Allah untuk mengurniakan kemenangan ke atas orang-orang Yahudi dan Nasrani. Bahagian doa yang itu sebenarnya tidak terdapat dalam Al-Quran sama ada dalam ayat 286 Surah Al-Baqarah itu ataupun dalam ayat-ayat yang lain.

  3. Saya dapati bahawa doa ini telah menimbulkan rasa tidak senang yang begitu nyata di kalangan sahabat-sahabat kita, rakyat Singapura yang beragama Yahudi dan juga Nasrani. Mereka tertanya-tanya dan mempersoalkan kenapa mereka pula yang dijadikan sebagai sasaran dalam doa imam tersebut.

  4. Dalam panduan dan juga pedoman yang disediakan oleh pihak Muis kepada para guru agama kita, kepada para imam kita, dengan jelas kami menegaskan bahawa doa yang dibacakan oleh mana-mana imam pun tidak seharusnya menjejas keharmonian hubungan antara agama dan juga dalam masyarakat yang berbilang bangsa seperti masyarakat Singapura. Keharmonian hidup bersama yang telah kita bina bersama selama inilah sesuatu yang sangat berharga. Maka doa yang seperti itu tidak ada tempat di dalam negara seperti Singapura.

  5. Dan saya berharap bahawa pada masa akan datang sekiranya terdapat isu seperti ini, laporan hendaklah diserahkan dan diajukan kepada pihak berkuasa yang seharusnya berada di kedudukan untuk menangani isu seperti ini. Saya rasa bahawa laporan yang disensasikan melalui media sosial merupakan satu perbuatan yang kurang bertanggungjawab.

  6. Saya rasa kita telah meletakkan kod etika yang sangat jelas untuk para guru agama kita dan juga kepada para imam kita jadi saya mengharapkan bahawa nasihat dan permintaan Muis kepada masyarakat supaya dalam kita mengendalikan media sosial, kita dapat kendalikan dan dapat kita manfaatkan dengan penuh beradab dengan penuh kematangan dan rasa bertanggungjawab. Dan itu adalah sangat penting supaya tidak timbul lagi isu
    seperti ini yang akan menjejas keharmonian hidup kita bersama.

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

PDF icon Media Statement - Mufti Statement on the Case of Mr Nalla Mohamed Abdul Jameel (Mly) (PDF, 87.9KB)

Last updated on 21/3/2018