23 Mar 16 Kenyataan Media - Kepulangan Haji Muhammad Ariff Ahmad ke Rahmatullah

KENYATAAN MEDIA

23 March 2016

  1. Majlis Ugama Islam Singapura (Muis) telah menerima berita sedih guru dan pemimpin masyarakat yang kita sanjungi Dr Haji Muhammad Ariff Ahmad telah pulang ke rahmatullah pada pagi 23 Mach 2016 bersamaan 14 Jamadilakhir 1437 Hijrah.

  2.  Semasa hayatnya, Allahyarham telah banyak menabur jasa dan bakti kepada perkembangan dan pembentukan masyarakat Melayu Islam dan rakyat Singapura secara amnya dari segi kesusasteraan, bahasa, budaya dan agama, dalam dan luar negara.

  3. Jasa dan sumbangan Allahyarham terhadap Muis tidak ternilai harganya. Beliau terlibat secara aktif di peringkat awal pembentukan Muis dengan usaha mendekati masyarakat untuk memberi kepercayaan kepada Muis yang ingin berkhidmat dalam mempimpin kehidupan agama masyarakat Islam.

  4. Beliau juga terlibat secara langsung dalam usaha pembinaan masjid baru di mana Allahyarham mendekati para penduduk Islam di Ang Mo Kio untuk menubuhkan sebuah jawatankuasa bagi projek pembinaan Masjid Al-Muttaqin pada lewat tahun-tahun 70an. Allahyarham sendiri menyandang jawatan sebagai penasihat dan kemudiannya dilantik sebagai Naib Pengerusi dan kemudiannya Pengerusi.

  5. Allahyarham telah menyumbang dengan gigih dan penuh ihsan sebagai Anggota Majlis Tertinggi Muis selama dua penggal dari 1977-1980 dan kemudiannya dari 1983–1986. Tambahan dari itu, beliau turut menabur bakti dalam bidang persuratan melalui khidmat beliau selaku editor untuk majalah Warita keluaran Muis mulai tahun 1977 hingga 1988. Seterusnya, beliau juga turut menyumbang suatu jangka masa yang lama selama dua penggal dari 1977-2003 dan dari 2004–2005 di Lembaga Rayuan Muis. Sebagai Anggota Lembaga Rayuan Muis, Allahyarham dilihat sebagai penyumbang besar sebagai seorang pakar dari sudut budaya dan adat. Atas sumbangan Allahyarham kepada masyarakat, beliau turut dijulang dengan berbagai anugerah termasuk Pingat Budaya pada 1987 dari Majlis Seni Kebangsaan, Anugerah Tertinggi Muis, Pingat Jasa Cemerlang pada 1991 and Bintang Bakti Masyarakat pada 2000.

  6. Kepulangan Allahyarham merupakan suatu kehilangan besar buat warga Muis serta masyarakat Melayu/Islam setempat. Keperibadian beliau yang berjiwa besar, berdisiplin dan sentiasa bersedia menolong semua usaha dalam bidang bahasa, kebudayaan dan kehidupan bermasyarakat adalah antara warisan kaya yang kita warisi dari pemimpin masyarakat yang kita sanjungi ini.

  7. Kami memanjatkan doa dan memohon kehadrat Allah S.W.T semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat dan semoga beliau ditempatkan bersama hamba-hambanya yang solih. Allahumma Ameen.

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

PDF icon Kenyataan Media - Kepulangan Haji Muhammad Ariff Ahmad ke Rahmatullah ML (PDF, 158KB)

Last updated on 21/3/2018