Speech by Chief Executive of Muis, Hj Abdul Razak Maricar at the ARB Appointment Ceremony

SELASA, 17 JANUARI 2017, PUSAT HARMONI @ AN-NAHDHAH

Yang Berhormat,
Dr Yaacob Ibrahim, Menteri Perhubungan dan Penerangan merangkap
Menteri Bertanggungjawab bagi Keselamatan Siber dan Ehwal
Masyarakat Islam.

Yang Dimuliakan,
Sohibus Samahah Ustaz Dr. Mohamed Fatris Bakaram, Mufti Republik
Singapura, serta

Shaikh Syed Isa Semait, Penasihat Pejabat Mufti, Muis

Yang Dihormati,
Ustaz Hj Ali Mohd, Pengerusi Lembaga Pengiktirafan Asatizah (ARB)

Yang Dihormati
Ustaz Pasuni Maulan, Naib Pengerusi, Lembaga Pengiktirafan
Asatizah

Seluruh Anggota ARB, Tuan-tuan dan Puan–puan sekelian

Assalamualaikum wr. wb.

 

  1. Saya ingin memanjatkan kesyukuran kepada Allah s.w.t kerana telah mempermudahkan segala urusan kita di dalam menjalankan tugas dan tanggungjawab.
  2. Setinggi-tinggi penghargaan juga saya rakamkan buat seluruh anggota ARB atas segala usaha gigih dan sokongan anda dalam pelaksanaan skim pengiktirafan asatizah atau ARS selama 11 tahun ia di mulakan. Kita juga mengenang jasa mantan anggota ARB dari kalangan asatizah mapan kita yang pernah menyumbang bakti di dalam ARB sama ada mereka yang masih bersama kami mahupun yang telah kembali ke rahmatullah seperti almarhum Ustaz Ibrahim Kassim. Semoga Allah s.w.t. merahmati beliau dan menerima segala usaha baktinya. Seorang anggota ARB yang tidak dapat bersama kita kerana keuzuran adalah Ustaz Sallim Jasman. Semoga Allah s.w.t. memberikan kesembuhan.
  3. . Semenjak ditubuhkan, ARB telah dianggotai oleh asatizah daripada pelbagai latarbelakang. Kepelbagaian ini merupakan isyarat penting agar asatizah secara khusus dan masyarakat Islam secara umum melihat kerencaman dan kepelbagaian pandangan agama tidak menjadi penghalang untuk kita bekerjasama demi kebaikan masyarakat. Adalah amat perlu untuk ARB terus kekal dilihat sebagai neutral, adil dan telus dalam semua pertimbangannya untuk memastikan keyakinan serta sokongan masyarakat umum pada ARB serta skim ARS itu sendiri berterusan. Kami juga merasakan perlu untuk membantu ARB di dalam tugasannnya dengan melantik anggota baru. Oleh itu, saya mengalualukan perlantikan dua orang anggota ARB yang baru, iaitu Ustaz Mokson Bin Mahori dan Ustaz Ziyauddeen yang kami berharap akan memperkukuhkan lagi Lembaga ARB di dalam meneruskan usaha mereka yang murni ini.
  4. Alhamdulillah, dengan izin Allah swt, dan kerjasama semua pihak, skim ARS telah melalui beberapa peningkatan sejak sedekad yang lalu. Dengan beberapa pembaikan termasuklah pengenalan Pendidikan Profesional Berterusan (CPE) yang lebih fleksibel, para Asatizah dan ahli masyarakat semakin yakin dengan kemampuan ARS di dalam membimbing masyarakat ke arah pemahaman agama yang lebih relevan, dan bersesuaian dengan konteks Singapura. Ini merupakan visi dan aspirasi di sebalik penubuhan ARS. Yang mana, ia bukan sahaja memelihara kewibawaan institusi ulama dan guru agama bahkan akan memastikan masyarakat kita mendapat panduan daripada guru agam yang benar-benar layak dan terlatih.
  5. Sebagaimana yang kita maklumi, ARS dengan persetujuan masyarakat dan para Asatizah, telah dijadikan sebagai sebuah skim mandatori bermula tahun ini (2017). Ini adalah demi mencapai cita-cita awal yang dihasratkan oleh para asatizah dan ulama mapan kita, dan juga merupakan langkah selanjutnya bagi peningkatan ARS. Sepanjang meniti fasa-fasa tersebut, kita telah melihat kegigihan para anggota ARB yang tidak berbelah bagi demi untuk memastikan masyarakat Islam setempat mendapatkan pengajaran agama yang terbaik dari guru-guru yang berkelayakan. 
  6. . Untuk menyokong pelaksanaan skim ARS mandatori ini, Muis juga telah memperkenalkan Peraturan Sekolah Agama atau (Muslim Religious School Rules) di bawah Seksyen 87 AMLA. Peraturan ini antara lain memerlukan pendaftaran pusat-pusat pendidikan atau pembekalpembekal program pendidikan agama (IECP) dengan Muis. Sebagai syarat pendaftaran, mereka dikehendaki untuk mengambil hanya asatizah yang sudah berdaftar di bawah ARS dan perlu memastikan bahawa kurikulum dan bahan pengajaran mereka tidak melanggar kod etika yang telah dibangunkan bersama pihak ARB dan Muis. ARS mandatori ini perlu ditadbir oleh Muis sebagai badan berkanun, dan beberapa proses dan sistem operasi ARS juga perlu diperhalusi terus.
  7. Sesuai dengan ini, saya ingin merakamkan penghargaan kepada rakan kongsi kami dari awal, PERGAS, yang telah mencetuskan idea ARS serta menyokong Muis dalam pelaksanaan ARS lebih sedekad lamanya sebagai sekretariat. PERGAS insya Allah akan kekal sebagai rakan strategik kami dalam memastikan hala tuju pelaksanaan ARS mandatori untuk masa hadapan. Saya berharap kerjasama yang telah diberikan serta persefahaman akan berterusan demi kelestarian skim ini. Beberapa perubahan perlu dibuat kerana peraturan perundangan. Sebagai contoh, rujukan kepada masyarakat bagi urusan ARS perlu dikemaskinikan dan disatukan di bawah Muis. Namun peranan PERGAS sangat besar di dalam membangun program CPE. Dengan bertambahnya ahli ARS yang kini telah mencecah 2,464 asatizah, serta syarat memenuhi tuntutan CPE bagi ARS, Akademi Muis serta Darul Quran Singapura juga akan bersama PERGAS dalam membangun program CPE yang relevan untuk asatizah.
  8. Muis kekal komited kepada pembaikan dan pembangunan ARS. Dengan peranan ARS yang semakin meluas serta keahlian yang meningkat, Muis akan terus memberikan sokongan dan sumber tambahan kepada ARB. Melalui Unit Strategik Pembangunan Asatizah serta geran tambahan untuk pembangunan program CPE serta sistem pentadbiran ARS, adalah diharapkan ARS dapat terus menyokong pembangunan serta pemerkasaan asatizah sebagai pemimpin agama yang relevan bagi era moden ini.
  9. Saya berdoa semoga Allah memberkati usaha sama kita dalam memartabatkan kewibawaan Islam, ilmu agama serta ulama melalui ARS. Sekali lagi saya ucapkan syabas buat anggota ARB yang diketuai oleh Ustaz Ali Mohamed di atas perlantikan mereka. Semoga Allah membalas jasa anda dengan sebaik-baik ganjaran.

    Sekian dahulu dari saya, Wassalamu ‘alaikum Wr Wb. 

PDF icon Speech by CE Muis at the ARB Appointment Ceremony (PDF, 234KB)