SPEECH BY MUFTI DR MOHAMED FATRSI BAKARAM AT THE MAJLIS TILAWAH AND TAHFIZ ALQURAN 

SUNDAY 25 MARCH 2018

 

بسماللهالرحمنالرحيم

الحمد لله الذي نزل الفرقان على عبده ليكون للعالمين نذيراً ، الحمد لله الذي علم القران ، خلق الإنسان ، علمه البيان ، الحمد لله الذي علم بالقلم ،

علم الإنسان ما لم يعلم، وأشهد أن لا إله إلا الله وحده لا شريك له، وأشهد أن محمداً عبده ورسوله، اللهم صل وسلم على النبي الأكرم وعلى آله وأصحابه أجمعين.أما بعد،

 

السلام عليكم ورحمة الله وبركاته.

Pendahuluan

Alhamdulillah, puji syukur ke hadrat Ilahi di atas kurniaan-Nya, tahun ini kita telah melangkah usia 50 tahun dalam menganjurkan Musabaqah Tilawah Al-Quran, Peringkat kebangsaan. Banyak pengalaman yang kita lalui sepanjang tahun-tahun tersebut. Saya yakin, banyak juga pengajaran yang kita raih secara khusus di dalam memartabatkan Kitab Suci Al-Quran bagi menyusun secara strategik perjalanan Al-Quran buat masyarakat Islam Singapura di masa-masa mendatang.

Hadirin dan hadirat sekalian!

Izinkan saya memulakan ucapan aluan saya pada petang ini dengan membaca sepotong firman Allah ayat 29 surah Fāthir:

﴿ إِنَّ الَّذِينَ يَتْلُونَ كِتَابَ اللَّهِ وَأَقَامُوا الصَّلاةَ وَأَنْفَقُوا مِمَّا رَزَقْنَاهُمْ سِرّاً وَعَلانِيَةً يَرْجُونَ تِجَارَةً لَنْ تَبُورَ﴾

Maksudnya: “Sesungguhnya orang-orang yang senantiasa membaca Kitab Allah dan selalu mendirikan solat serta terbiasa menafkahkan sebahagian rezki yang telah Kami anugerahkan kepada mereka, baik secara diam-diam ataupun secara terang-terangan, mereka itu sedang mengharapkan perniagaan yang tidak akan rugi.”

Saya lanjutkan ucapan saya dengan membacakan sepotong hadits yang diriwayatkan oleh Imām Muslim daripada Sayyiduna ‘Umar bin al-Khatthāb ra. Sesungguhnya Nabi saw. telah bersabda:

" إِنَّ اللَّه يرفَعُ بِهذَا الكتاب أَقواماً ويضَعُ بِهِ آخَرِينَ "

Maksudnya: “Sesungguhnya Allah mengangkat kedudukan sesuatu kaum dengan Kitab ini (Al-Quran) dan dengannya Dia merendahkan kedudukan kaum yang lain.”

Kemuliaan Al-Quran

Seandainya kita menelusuri satu demi satu akan sejarah turunnya Al-Quran al-Karim secara mendalam, pasti kita akan memperolehi satu fakta yang sangat halus (latīf) iaitu; “Setiap sesuatu yang bergandingan dengan Al-Quran, pasti ia mendapat kedudukan yang istimewa di sisi Allah”.  Bayangkan Sayyiduna Jibrīl as. yang dipilih Allah daripada segenap para Malaikat untuk membawa wahyu Ilahi ini, Allah memuliakannnya dengan panggilan Ar-Rūh al-Amīn”. Nabi kita Muhammad saw yang dipilih Allah daripada seluruh al-Anbiyā’ wa al-Mursalīn untuk menerima Kalam Ilahi ini, dimuliakan Allah dengan panggilan “Sayyid al-Mursalīn”. Kita yang merupakan umat Nabi akhir zaman yang dipilih Allah daripada segenap umat manusia untuk menerima Kitab suci ini, dimuliakan Allah dengan seruan “Khaira Ummatin Ukhrijat lin-Nās. Bulan Ramadhān yang dipilih Allah daripada segenap bulan yang lain untuk diturunkan Al-Quran, dimuliakan Allah sebagai “Sebaik-baik bulan yang diberkati”. Dan Lailatul Qadr yang dipilih Allah daripada seluruh malam, dimuliakannya sebagai “sebaik-baik malam”. Begitulah seterusnya…

Andaikata wahyu Allah ini sentiasa membasahi lisan kita, saban waktu menjadi halwa telinga kita, setiap detik dan setiap nafas, jiwa dan raga kita bersama Al-Quran, bayangkanlah, apa yang bakal terjadi pada diri kita? Jawapannya, sudah pasti kita akan menjadi insan yang mulia di sisi Allah! Allahu Akbar!. Bukankah Rasulullah saw. pernah bersabda:

"خيركم من تعلم القرآن وعلمه"

Maksudnya: “Sebaik-baik di kalangan kamu adalah orang yang mempelajari Al-Quran dan mengajarnya.”

Gagasan Al-Quran

Hadirin dan Hadirat yang dimuliakan!

         Al-Quran Al-Karim mengandungi pesan-pesan Ilahi yang isi kandungannya masih utuh, masih segar dan terus menyubur. Risalah samawi yang terakhir ini tak lapuk dek hujan dan tak lekang dek panas. Perintah pertamaاقرأtidak hanya sekadar perintah membaca sahaja, bahkan perintah tersebut mengandungi makna “menghimpun” yang mempunyai erti yang amat luas seperti meneliti, mendalami, dan mengetahui sesuatu secara terperinci.

          Mengulang-ulangi pembacaan ayat-ayat suci Al-Quran, mengundang kita untuk melahirkan gagasan baru. Gagasan yang pernah dilalui dan dihayati oleh para sahabat Rasulullah saw yang tersohor dengan panggilanجيل القرآنgenerasi Al-Quran. Gagasan tersebut adalah seperti berikut:

Pertama: Membumikan Al-Quran. Membumikan Al-Quran adalah untuk memfungsikan wahyu Ilahi dalam kehidupan masyarakat Islam atau dengan lain perkataan; masyarakat Islam merasakan bahawa Al-Quran sangat dekat dengan diri mereka.

Saya pasti masyarakat Islam Singapura sangat mencintai dan mengkagumi Al-Quran. Sudah menjadi keyakinan yang tersemat di dalam diri masyarakat Islam, khususnya para asatizah dan hamalatul Quran bahawa Al-Quran adalah kitab suci yang merupakan mukjizat Allah yang abadi hingga ke saat ini. Di samping tilawahnya merupakan satu ibadat dan bacaannya akan memperolehi pahala yang besar. Masyarakat Islam hari ini menunjukkan perkembangan yang positif terhadap Al-Quran. Perkembangan ini dapat dilihat dengan tertubuhnya banyak pusat-pusat pendidikan Al-Quran dan pusat-pusat tahfiz Al-Quran dan pengajian-pengajian Al-Quran secara bersanad. Ramai generasi muda memenuhi pusat-pusat tersebut secara khusus pada hujung minggu. Moga Allah memberkati usaha murni tersebut.

Namun, perlu masyarakat Islam masakini sedar bahawa fungsi sebenar Al-Quran diturunkan menjangkau bacaan dan tilawah serta lantunan melalui suara merdu yang dikumandangkan sahaja, bahkan sebenarnya bacaan dan lantunan Al-Quran harus disertai dengan pemahaman dan penghayatan dengan menggunakan ketajaman akal dan mata hati murni untuk mengungkapkan pesan-pesan Ilahi dalam Al-Quran. Kerana Al-Quran adalah sebuah kitab suci yang memberi petunjuk dan bimbingan kepada umat manusia sejagat.  Allah berfirman:

﴿ذلِكَ الْكِتابُ لَا رَيْبَ فِيهِ هُدىً لِلْمُتَّقِينَ

Maksudnya: “Kitab (Al-Quran) ini tidak ada keraguan padanya; petunjuk bagi mereka yang bertakwa” (QS. Al-Baqarah [2] : 2).

Allah berfirman di lain ayat:

﴿ كِتَابٌ أَنْزَلْنَاهُ إِلَيْكَ لِتُخْرِجَ النَّاسَ مِنَ الظُّلُمَاتِ إِلَى النُّورِ

Maksudnya: “(Ini adalah) Kitab yang Kami turunkan kepadamu supaya kamu mengeluarkan manusia dari gelap gelita kepada cahaya yang terang benderang” (QS. Ibrahīm [14] : 1).

Kedua: Membentuk Keperibadian Muslim Yang Kuat: Sebagai umat Islam, kita sedang berhadapan dengan kehidupan dunia yang sering berubah-rubah, bahkan kita harus akur bahawa kita tidak dapat mengelakkan diri kita daripada perubahan tersebut. Gagasan pertama yang baru saya sebutkan sebentar tadi, tidak bererti bahawa di saat masyarakat Islam menjadikan Al-Quran dekat dengan diri mereka, Al-Quran dijadikan seperti pelindung (safeguard) dari segala bentuk cabaran dan rintangan yang mendatang tidak kira cabaran berupa ideologi, kepelbagaian (diversity), pendidikan, ekonomi, politik dan kepimpinan serta selanjutnya. Jika sedemikian berlaku, seakan umat Islam sendiri membatasi fungsi agung Al-Quran dan masyarakat Islam sendiri akan menjadi pasif tidak aktif, terbelenggu kedua belah tangannya, terkabur pandangan mereka, terbuntu akal fikiran mereka  dan terpenjara mata hati mereka,

Gagasan kedua ini sebenarnya mengajak masyarakat Islam melihat Al-Quran sebagai sebuah kitab yang dapat membangunkan diri mereka, sebuah kitab yang dapat menyuburkan minda mereka serta sebuah kitab yang dapat menyegarkan semula hati-hati mereka. Pendekatan sepadu melibatkan ketajaman akal dan kehalusan hati nurani menjadikan mereka sebagai masyarakat yang berdaya tahan mengharungi pelbagai cabaran.

Sebagai contoh; di saat manusia merasakan Al-Quran sangat dekat dengan dirinya, setiap ayat yang dibaca hari ini sudah pasti akan menimbulkan tafsiran baru yang tidak pernah terlintas di benaknya ketika dia membacanya semalam. Pembacaan demi pembacaan pasti akan menyingkap tabir rahsia kehidupan di dalam dirinya, bacaan demi bacaan pasti akan membuka hijab realiti kehidupan yang sedang dilalui,  bacaan demi bacaan pasti akan memperluas wawasan fikirannya, dan bacaan demi bacaan sudah pasti akan memperkukuhkan jati dirinya lahiriyyah dan rohaniyyah. Kesemuanya diperolehi daripada Tuhan yang Paling Pemurahوربك الأكرم”.

Sehubungan dengan ini, masyarakat Islam, secara khususnya “Hamalat Al-Quran” harus menyedari bahawa tidak semua perubahan yang berlaku dalam kehidupan dunia masakini membawa kesan negatif terhadap diri mereka, terdapat di sana juga perubahan-perubahan yang memberikan kesan positif kepada mereka.

Justeru itu, berbekalkan keyakinan diri yang dianugerahi Ilahi, kecekalan hati dan kekuatan akal yang dimiliki, masyarakat Islam bukan sekadar dapat memilih yang baik daripada yang buruk, atau memilih yang terbaik daripada dua kebaikan, bahkan lebih tajam lagi, di saat mereka bijak memilah antara dua keburukan yang sedang dihadapi lalu mereka memilih keburukan yang ringan sebagai huraian terbaik buat mereka demi menolak keburukan yang jauh lebih besar.

Inilah gagasan yang memacu masyarakat Islam merasa yakin mengharungi cabaran sebagai mana keyakinan si pelayar bersama papan layarnya mengharungi gelombang yang tinggi dan ombak yang besar. Gagasan ini yang sentiasa memberdayakan akal untuk terus berfikir dan hati untuk terus berzikir bersama alunan suara merdu yang diperdendangkan.

Gagasan Ketiga: Pengkajian Tafsir Al-Quran: Alhamdulillah, kita di Singapura sudah memiliki Darul Quran yang berada di Masjid Kampong Siglap. Kita juga sudah memiliki Darul Tafsir yang merupakan program tukikan Masjid Al-Khair. Tidak kurang dari itu, Singapura juga memiliki pusat-pusat pengajian Al-Quran bak cendawan tumbuh yang berdaftar di bawah Mandatori ARS.

Sekian lama institusi-institusi ini telah menjalankan program yang berkaitan dengan Al-Quran dan ilmu-ilmu Al-Quran dan saban tahun institusi-institusi tersebut merancakkan mutu khidmat mereka kepada masyarakat tentang Al-Quran dan ilmu-ilmunya. Namun ianya masih berligar di ruang pembacaan Al-Quran, penghafazan Al-Quran, seminar dan latihan ilmu-ilmu Al-Quran.

Pada hemat saya, kita masih ketandusan. Ketandusan yang saya maksudkan adalah merupakan gagasan selanjutnya yang perlu kita miliki; iaitu mewujudkan pusat pengkajian Al-Quran yang menyediakan tafsiran-tafsiran terkini sama ada secara analitik (تحليلي) ataupun secara tematik (موضوعي) atau pun secara saintifik (علمي) di mana tafsiran-tafsiranya berkembang mengikut konteks masakini dan peredaran zaman.

Pengkajian Al-Quran sedemikian perlu dibangunkan dan diperluaskan. Kajian Al-Quran sedemikian yang menyajikan tafsiran masakini terhadap isu-isu kontemporari yang dihadapai umat manusia hari ini. sebagai contoh; tafsiran tentang konsep negara dan kewarganegaraan, hubungan antara Muslim dengan non-Muslim, isu wanita,  dan persiapan atau persediaan hidup di akhir zaman secara sahih dan seterusnya.

Pengkajian Al-Quran sedemikian perlu subur dalam diri masyarakat Islam sebagaimana suburnya pembacaan dan penghafazan Al-Quran di dalam diri mereka. Mereka yang sudah menghafaz Al-Quran, perlu dibimbing dengan penafsiran yang sahih dan terkini dan mereka yang cinta kepada pembacaan Al-Quran, perlu diterapkan cinta kepada penafsiran Al-Quran mengikut konteks masakini. Kesemuanya ini memacu ke arah pemahaman Al-Quran dengan betul dan penghayatan yang seimbang dengan kehidupan hari ini. Ini sepertimana yang digambarkan oleh generasi sahabat sebagai berikut:

" كنا نرى القرآن يمشي في الطريق"

Artinya: “Dahulu kami melihat Al-Quran berjalan di tengah jalan”.

Maksud dari petikan kata di atas adalah para sahabat di samping mereka membaca Al-Quran, mereka menterjemahkan Al-Quran di dalam kehidupan mereka dan Al-Quran hidup bersama mereka di mana jua mereka berada, sehinggakan mereka berjalan, seakan pesan-pesan wahyu Ilahi turut berjalan bersama mereka.

Kesimpulan:

Ketiga-tiga gagasan di atas harus kita fikirkan bersama dan diterjemahkan melalui program-program Al-Quran dewasa ini. 50 tahun Musabaqah Tilawah Al-Quran sudah berjalan. Saya fikir ianya satu perjalanan yang agak lama. Maka sudah tiba masanya kita sama-sama menentukan perjalanan 50 tahun mendatang. Kita tidak mampu lagi melihat 50 tahun ke depan dalam keadaan kita masih terpaku dan berligar di ruang ini. Maka perubahannya harus bermula dari sekarang. Moga Allah memperkenankan usaha sederhana kita ini demi memartabatkan agama Allah yang sentiasa memberi kesejahteraan terhadap bangsa dan negara.  Amin.

            Sempena ulangtahun ke 50 Musabaqah Tilawah Al-Quran Peringkat Kebangsaan, saya secara rasmi membukanya dengan ucapan بسم الله الرحمن الرح dan kepada para peserta selamat bermusabaqah.

          Sekian sahaja ucapan aluan saya pada petang ini dan saya sudahi dengan ucapan:

وبالله التوفيق والهداية

والسلام عليكم ورحمة الله وبركاته