Panduan Muis Kepada Masyarakat Muslim Singapura

15 MAC 2020

1. Sehingga 13 Mac 2020, sejumlah lima individu Singapura yang menjadi sebahagian daripada kumpulan yang menghadiri perhimpunan keagamaan besar di Kuala Lumpur telah diuji positif COVID-19. Berdasarkan laporan media, sekurang-kurangnya 37 warga Brunei dan 77 rakyat Malaysia yang menghadiri perhimpunan tersebut, atau kenalan rapat mereka, juga telah diuji positif.

2. Terdapat kemungkinan lebih banyak kes akan muncul daripada mereka yang telah melawat masjid-masjid, atau telah menyebarkannya ke kenalan rapat mereka, serta orang awam. Muis akan secara aktif membantu Kementerian Kesihatan (MOH) dalam usaha mereka untuk melaksanakan pengesanan kontak, untuk menghadkan penyebaran virus tersebut. Setakat ini usaha MOH dalam pengesanan kontak telah menunjukkan bahawa individu yang diuji positif telah melawat sejumlah 10 masjid semasa tempoh berjangkit mereka (Lihat senarai di bawah).

3. Jemaah yang melawat mana-mana masjid yang disenaraikan, semasa tempoh yang tertera di senarai, mungkin terdedah kepada kes COVID-19. Para jemaah dinasihatkan untuk memantau kesihatan mereka selama dua minggu dari kunjungan terakhir mereka ke masjid-masjid yang terjejas, untuk mengesan sebarang tanda demam atau masalah pernafasan (batuk, sakit tekak, hidung berair atau sesak nafas) dan dapatkan rawatan segera jika mereka mengalami simptom-simptom berikut atau rasa tidak sihat. Mereka juga harus memakai pelitup muka dan membuat panggilan kepada klinik sebelum membuat lawatan serta memaklumkan kepada doktor mengenai kehadiran mereka pada aktiviti yang dikaitkan dengan kes COVID-19.

4. Ini adalah peringatan yang penting untuk setiap daripada kita untuk mengambil langkah berjaga-jaga, demi memastikan diri kita dan orang-orang yang kita sayangi kekal sihat pada masa ini. Ini termasuk amalan terbaik dalam memelihara kebersihan diri serta mengamalkan tanggungjawab sosial. Antaranya:

  • Berjumpa doktor apabila tidak sihat, walaupun dengan simptom seperti selesema ringan, dan tinggal di rumah untuk mencegah penyebaran penyakit kepada orang lain.
  • Pergi ke doktor keluarga yang sama untuk kesinambungan penjagaan yang lebih baik.
  • Mengamalkan pengasingan diri di rumah apabila tidak sihat dan seperti yang disarankan oleh doktor.
  • Elakkan perhimpunan masyarakat serta perhimpunan agama yang berskala besar di luar negara selama tempoh ini. Dinasihatkan juga untuk tunda semua perjalanan yang tidak perlu ke negara China, Perancis, Jerman, Iran, Itali, Jepun, Republik Korea dan Sepanyol.
  • Kerap mencuci tangan dengan sabun dan air serta elakkan menyentuh mata, hidung dan mulut anda.
  • Jagalah antara satu sama lain, pantau kesihatan keluarga dan rakan-rakan anda, dan sentiasa ingatkan satu sama lain untuk mengutamakan tanggungjawab sosial serta terus mengamalkan tahap kebersihan diri yang tinggi.

adobe pdf Senarai Masjid Yang Dikunjungi Individu-Individu Yang Disahkah Jangkitan COVID-19

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA 

hasil perundingan bersama KEMENTERIAN KESIHATAN (MOH)