Pengisytiharan Awal Ramadan 1441H/2020 Bagi Singapura

23 April 2020

Assalamualaikum wr. wb.

Mengikut kiraan hisab, anak bulan ada di ufuk Singapura setelah matahari terbenam petang tadi selama 17 minit. Sukacita saya mengisytiharkan bahawa awal Ramadan jatuh pada esok, Jumaat bersamaan 24 April 2020.

Kita menyambut kedatangan bulan Ramadan al-Mubarak dalam suasana yang sangat luar biasa. Negara kita, bahkan seluruh dunia, sedang memerangi penularan wabak COVID-19. Di samping kita menjalani ibadah puasa, kita juga memainkan peranan yang sangat ketara dengan duduk di rumah untuk mengelakkan jangkitan virus yang merbahaya ini.

Maka tahun ini, kita akan menyambut Ramadan dan Hari Raya tahun ini bersama keluarga di rumah masing-masing. Seberat mana sekalipun ujian ini, kita mampu menerima dan mengatasinya dengan izin Allah S.W.T. Apatah lagi dengan ketibaan Ramadan yang sememangnya satu bulan perjuangan, dan kemuncak kesabaran, ketabahan, dan pengharapan.

Saya mengajak anda sekalian untuk menggunakan kekuatan iman dan kerohanian yang dibina di dalam Ramadan untuk membulatkan tekad kita mengalahkan musuh virus ini. Yakinilah, ujian ini juga akhirnya akan berlalu. Berkat kesabaran dan perpaduan, kita akan berjaya dan bersama mengatasinya.

Saya berdoa agar Allah S.W.T. merahmati keluarga anda, dan menerima segala amal kebaikan yang anda usahakan untuk menghidupkan Ramadan yang istimewa ini.

Wassalamualaikum Wr. Wb.

 
DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
MUFTI