Pengisytiharan Awal Syawal 1441H/2020 Bagi Singapura

22 Mei 2020

Assalamualaikum Wr. Wb.

Mengikut kiraan hisab, anak bulan Syawal tidak mungkin dapat dilihat di atas ufuk Singapura ketika matahari terbenam petang tadi, kerana bulan telah terbenam lebih awal. Ini bererti esok adalah hari penggenap bulan Ramadan 30 hari dan awal bulan Syawal tahun 1441H, iaitu Hari Raya Aidilfitri, jatuh pada lusa, Ahad bersamaan 24 Mei 2020.

Dengan izin Allah dan taufiqNya, kita telah berjaya menjalani bulan Ramadan walaupun di dalam suasana yang luar biasa lagi mencabar. Pada masa yang sama, kita juga beriltizam untuk sama-sama mengatasi penularan wabak di Singapura. Teruskanlah usaha dan semangat ini, dan marilah kita menghayati maksud kejayaan di sebalik Aidilfitri. Izinkan saya untuk mengucapkan kepada anda semua “Selamat Hari Raya Aidilfitri”. Saya memohon kemaafan bagi segala kekurangan. Semoga Allah menerima kita sebagai hamba-hambaNya yang diredhai.

Wassalamualaikum Wr. Wb.

 
DR NAZIRUDIN MOHD NASIR
MUFTI