A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Part 4 - Advisory on Managing COVID-19 (Malay)

IRSYAD (PANDUAN AGAMA)

 AZAN SEMASA PENUTUPAN MASJID

1.  Jawatankuasa Fatwa Muis pada 18 Februari 2020 telah mengeluarkan fatwa membenarkan penutupan masjid, untuk membendung penularan COVID-19. Ketika itu, penggantungan solat berjemaah serta solat Jumaat sepanjang tempoh penutupan tersebut, adalah diharuskan.

2.  Penutupan masjid yang berlaku selama lima hari yang lalu bertujuan untuk menjalankan kerja-kerja pembersihan. Atas sebab tersebut, semua aktiviti di masjid telah dihentikan, termasuk laungan azan. Memandangkan situasi sekarang yang masih kritikal, sepertimana yang telah diumumkan pihak MUIS, penutupan masjid akan berterusan sehingga 26 Mac 2020. Pejabat Mufti menyarankan agar laungan azan diteruskan dalam memelihara syi’ar Islam, dengan beberapa penukaran kepadanya.

3.  Semasa tempoh hujan yang lebat, sahabat nabi Abdullah bin Abbas r.a. telah mengarahkan muazzin untuk menambah pada lafaz azan laungan“صَلُّوا فِي بُيُوتِكُم” (Solatlah kamu di rumah-rumah kamu).[1] (seperti yang diriwayatkan Bukhari dan Muslim) Maka dari itu, para muazzin dalam melaungkan azan diminta untuk menambah di penghujung azan[2] kalimah berikut:

صَلُّوا فِي بُيُوتِكُم (2 kali)

4. Pegawai-pegawai masjid digalakkan untuk mendidik masyarakat akan maksud lafaz azan ini dan asal usulnya, agar masyarakat memahami bahawa azan ini adalah untuk memberitahu bahawa masjid ditutup, dan mereka dikehendaki untuk melaksanakan solat di rumah masing-masing. Kita berdoa kepada Allah s.w.t. semoga Dia mengurniakan kepada masyarakat kita serta negara ini keselamatan dan kesejahteraan sentiasa.

 

16 Mac 2020

PEJABAT MUFTI

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA



[1] Al-Bukhārī, Ṣaḥīḥ al-Bukhārī, hadis no. 901; Lihat juga, Al-Naysabūrī, Muslim bin al-Ḥajjāj, Ṣaḥīḥ Muslim, hadis no. 699.

[2] Ia merupakan salah satu antara dua pendapat mazhab al-Shafieyah. Pendapat yang kedua adalah untuk melaungkan kalimat tersebut (صَلُّوا فِي بُيُوتِكُم ) setelah “Hayya ‘Ala al-Falah”. Sila lihat: Wahbah al-Zuhaily, Fiqh al-Islami wa Adillatuhu, 1/ 314.