A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Advisory on Worship during Haze (English)

IRSYAD (PANDUAN) BERKAITAN PELAKSANAAN IBADAH DALAM KEADAAN JEREBU YANG MEMBAHAYAKAN
Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singaura
Pendahuluan 
  1. Islam amat menitiberatkan kesejahteraan kehidupan insan. Oleh itu, tatkala insan ditimpa kesusahan atau kesempitan[1] Islam memberikan ruang keringanan (rukhsah) serta berusaha melepaskannya dari kesukaran tersebut.

    Firman Allah s.w.t.:


    Yang bermaksud : Allah s.w.t. menginginkan kemudahan buatmu dan Dia tidak menginginkan keburukan buatmu. (Surah Al-Baqarah: 185).

    FirmanNya lagi: ِ


    Yang bermaksud : Dan dia tidak menjadikan dalam agama itu kesukaran. (Surah Al-Haj: Ayat 78).

    Hukum solat berjemaah dan solat Jumaat tatkala cuaca membahayakan
  2. Junjungan tercinta Nabi Muhammad s.a.w. menetapkan prinsip berkaitan solat berjemaah tatkala berada dalam situasi dan cuaca yang boleh memudaratkan diri. Terdapat sebuah hadith Nabi s.a.w. yang diriwayatkan Imam Bukhari dan Muslim dari Ibn Umar r.a. yang bermaksud:

    Nabi s.a.w. memerintahkan kepada muazzin untuk melaungkan azan, lalu setelah itu melaungkan seruan : “Hendaklah kamu solat di rumah kamu”, dan ini berlaku pada malam yang sejuk, atau tatkala hujan ketika musafir.”[2]

  3. Berpandukan hadith ini, Nabi s.a.w. menjelaskan situasi dimana solat berjemaah tidak diwajibkan, iaitu tatkala hujan yang terlalu lebat ataupun cuaca kesejukkan yang boleh memudharatkan. Walaupun hadith Nabi s.a.w. hanya menjelaskan dua situasi tersebut, ulama menjelaskan bahawa hadith ini merangkumi lebih daripada hanya dua keadaan tersebut. Menurut Imam AnNawawi ia bukanlah terhad pada dua situasi sahaja, akan tetapi ia bertujuan untuk meringankan hukum solat berjemaah di masjid apabila terdapat apa jua kesukaran yang menimpa individu. Dan hukum keringanan tersebut tidaklah khusus bagi solat fardhu secara berjemaah di masjid, akan tetapi ia merangkumi segala jenis solat jemaah, seperti solat Jumaat, solat Terawih dan sebagainya.

  4. Imam An-Nawawi menjelaskan dalam kitab Al-Majmuk:

    Yang bermaksud : Sesungguhnya bab yang menjelaskan tentang segala jenis keuzuran yang membenarkan solat Jumaat dan solat berjemaah ditinggalkan bukanlah terbatas [kepada apa yang dinyatakan hadith], akan tetapi segala [keadaan] yang menyebabkan [seorang insan] ditimpa kesukaran yang berat dianggap sebagai satu keuzuran.[3]


  5. Berdasarkan ini Imam An-Nawawi menyatakan dalam kitab Raudatut Talibin:

    Yang bermaksud: Segala keuzuran yang menjadi penyebab solat berjemaah itu ditinggalkan, ia diterima sebagai satu keringanan untuk ditinggalkan solat Jumaat.[4]

  6. Imam Ibn Abdil Barr memerincikan lagi jenis keuzuran yang diiktiraf syariat Islam untuk meninggalkan solat berjemaah dan Jumaat, sebagai berikut:

    Yang bermaksud : (Kata) uzur sangat luas maksudnya. Intinya adalah segala situasi yang mencegah seseorang menghadiri pelaksanaan solat Jumaat seperti sesuatu yang membahayakan atau memudaratkan, atau ditakuti kezalimannya, atau boleh jadi menggugurkan suatu kewajiban yang tidak ada seorang pun yang mampu menggantikannya. Di antara keuzuran tersebut adalah (takut dari) penguasa zalim yang akan membuat kezaliman, hujan deras yang berterusan, sakit yang mencegahnya, dan seumpamanya.[5]

    Garispandu Umum
  7. Berdasarkan hadith Nabi s.a.w. dan pandangan ulama di atas, Pejabat Mufti berpandangan bahawa adalah dibolehkan bagi kaum Muslimin untuk tidak menghadiri solat Jumaat dan solat jemaah di masjid apabila jerebu mencapai kadar pencemaran udara yang membahayakan kesihatan atau berpotensi mengancam nyawa mereka. Ini terutama sekali buat kanak-kanak, mereka yang berumur atau yang menghidapi masalah kesihatan, seperti masalah jantung dan pernafasan. Mereka digalakkan untuk mengambil langkah berhati-hati dan mengurangkan aktiviti luar.

  8. Bagi mereka yang mengambil keputusan untuk tidak melaksanakan solat Jumaat pula, hendaklah menggantikan solat tersebut dengan menunaikan solat zuhur. Perlu ditekankan di sini bahawa kewajipan solat secara dasar tidak gugur dalam keadaan ini.
  9. Pihak jemaah dan juga masjid digesa untuk berusaha semampu mungkin untuk melaksanakan segala ibadah dan aktiviti keagamaan dalam ruang tertutup masjid. Ini juga sesuai dengan semangat Islam yang menggalakkan umatnya untuk mengambil langkah berjaga-jaga daripada terkena kesakitan. Sepertimana yang disebutkan di dalam hadith Nabi s.a.w :

    Yang bermaksud : Barangsiapa yang memakan tujuh kurma kota Madinah pada setiap pagi, beliau akan terselamat dari sihir dan juga racun.[6]

  10. Semoga Allah s.w.t. mengurniakan kepada kita ketabahan dalam mengharungi segala ujian kehidupan dan mengekalkan kita di dalam keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan akhirat. Amin.

Pejabat Mufti
Majlis Ugama Islam Singapura 

[1] Untuk menetapkan samada sebuah kesusahan itu diiktiraf syarak, lalu menjadi sebab syarak meringankan hukum bagi seorang individu yang ditimpa kesusahan, syarak telah menetapkan garispandu yang jelas sejajar dengan objektif yang ingin dicapai syarak iaitu pemeliharaan agama, nyawa, keturunan, harta dan akal. Oleh itu, segala bahaya atau kesusahan yang menimpa ke atas salah satu antara lima perkara tersebut, akan dianggap syarak sebagai satu darurat yang perlu dicari huraian dan keringanan baginya.

[2] Hadith riwayat Imam Al-Bukhari, no. [632] dan Imam Muslim, no. [1633].

[3] An-Nawawi, Al-Majmuk, juz 4, hlm 384.

[4] An-Nawawi, Raudatu Al-Talibin, juz 1, hlm 146. 3

[5] Ibn Abd Al-Barr, Al-Tamhid, juz 16, hlm 243.

[6] Hadith riwayat Imam Bukhari dan Muslim.