Part 6 - Advisory on Conducting Funeral Prayer During Circuit Breaker (Malay)

IRSYAD (PANDUAN AGAMA)

 PELAKSANAAN SOLAT JENAZAH SEMASA TEMPOH PEMUTUS RANTAIAN JANGKITAN COVID-19

Pendahuluan

1. Irsyad ini adalah panduan yang terkini bagi pengurusan jenazah, lanjutan daripada undang-undang baru yang diperkenalkan pemerintah pada 7 April 2020 bagi mengawal penularan COVID-19.

Panduan Agama

2. Oleh kerana pengurusan jenazah merupakan suatu fardhu kifayah,  pelaksanaan solat jenazah masih perlu dilaksanakan, namun, dengan penyesuaian demi mengawal penularan COVID-19.1Secara prinsip, peraturan menghadkan jumlah orang yang menguruskan jenazah kepada paling minimum (hanya pengurus jenazah dan keluarga terdekat) hendaklah dipatuhi.

3. Segala pengurusan jenazah, termasuk memandikan, mengkafankan, solat jenazah, dan pengkebumian hendaklah hanya dilaksanakan oleh:

  • Pengurus jenazah bertauliah;
  • Anggota keluarga yang terdekat dengan almarhum tidak melebihi 10 orang.

4. Di samping itu, solat jenazah hanya boleh dijalankan di dalam rumah, dengan mematuhi perkara-perkara berikut: i) mereka yang solat jenazah tidak melebihi 10 individu (tidak termasuk petugas pengurusan jenazah); ii) pastikan jarak fizikal sekurang-kurangnya satu meter antara jemaah bersebelahan dan di antara saf.

5. Adapun pada situasi di mana almarhum tidak memiliki ahli keluarga terdekat, ataupun beliau sebelumnya tinggal di rumah tumpangan dan sebagainya, pihak pengurusan jenazah ketika itu perlu menghubungi Masjid Pusara Aman, untuk dilaksanakan solat jenazah di ruang masjid tersebut.

6. Bagi anggota keluarga yang lain yang tidak dapat menunaikan solat tersebut, mereka boleh menunaikan solat jenazah ghaib.2

7. Jumlah mereka yang mengiring jenazah ke tanah pengebumian, tidak boleh melebihi 10 individu daripada ahli keluarga terdekat.

8. Sekiranya ahli keluarga ingin membaca tahlil setelah selesai pengebumian, pastikan bahawa mereka yang menyertai bacaan tahlil tersebut hanya terdiri daripada anggota keluarga yang tinggal serumah dengan almarhum. Anggota keluarga boleh juga meminta seorang ustaz untuk memimpin acara tahlil tersebut secara persidangan video (video conferencing).

9. Di bawah akta COVID-19 (Langkah-langkah Sementara), setiap individu pada waktu ini, dikehendaki untuk menetap di rumah masing-masing, dan hanya dibenarkan untuk meninggalkan tempat kediaman mereka bagi menguruskan keperluan penting sahaja. Selain daripada pengebumian jenazah, menziarahi kubur sama sekali tidak dibenarkan di bawah rang undang-undang tersebut. Sebagai ganti, ahli keluarga digalakkan untuk memperbanyakkan berdoa bagi almarhum di rumah masing-masing.

10. Langkah-langkah yang diperkenalkan ini adalah langkah pencegahan yang amat penting demi memastikan keselamatan dan kesihatan orang ramai dalam membendung penularan wabak ini daripada berterusan. Kita mendoakan agar Allah mencucuri rahmat-Nya ke atas roh-roh mereka yang telah pergi dalam situasi yang mencabar ini, dan semoga Allah menempatkan mereka bersama-sama para solehin. Aamiin!

 

10 April 2020

PEJABAT MUFTI
MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA

 



[1] Ia juga berdasarkan prinsip yang menegaskan kepentingan untuk mengutamakan kemaslahatan masyarakat awam, sekiranya ia bertembung dengan kemaslahatan individu, seperti yang ditegaskan seorang ulama, Ibn Ashur. Pada situasi ini, kesukaran yang menimpa sebahagian ahli keluarga untuk tidak menyaksikan solat jenazah, serta tidak dapat mengiringi jenazah ke kuburan, ditanggung demi menghindar kemudaratan yang bakal menimpa masyarakat awam, sekiranya penularan wabak itu berlaku melalui perkumpulan orang ramai. Sila lihat: Ibn Ashur, Maqasid al-Shariah al-Islamiyah (Tunisia: Dar Suhnun, cetakan ke-6, 2014/1435H) hlmn 84.

[2] Bagaimana menunaikan Solat Al-Ghayb?

Solat jenazah ghaib adalah sama seperti solat jenazah biasa, melainkan niat, kerana jenazah tidak ada di hadapan. Bagi menunaikan solat jenazah ghaib, sila perhatikan yang berikut: 1) menghadap kearah kiblat, 2) lmenanam niat untuk mendirikan solat jenazah ghaib; 3) Kemudian melaksanakan solat jenazah ghaib dengan sepertimana solat jenazah yang biasa.