A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Irsyad Berkaitan Mengawal Penularan Virus Korona

 

IRSYAD (PANDUAN) BERKAITAN MENGAWAL PENULARAN VIRUS KORONA

Pejabat Mufti

Majlis Ugama Islam Singapura 
(MUIS)

Pendahuluan

1. Irsyad agama ini bertujuan melandaskan beberapa langkah yang perlu ditimbangkan oleh setiap Muslim di Singapura, berikutan penularan virus korona (COVID-19) yang berlaku di Singapura, dan juga negara-negara lain. 

Prinsip-prinsip Umum 

2. Bagi menghadapi situasi ini, masyarakat Islam Singapura mempunyai peranan penting untuk memastikan keadaan dapat terus dikawal serta penularan dapat dibendung. Terdapat beberapa langkah yang perlu/boleh diperhatikan, sebagai usaha kita untuk mengawal dan memperbaiki keadaan: 

Langkah Pertama: Mengambil langkah berjaga-jaga 

3. Antara amalan baik yang boleh kita lakukan adalah dengan selalu menjaga kebersihan diri dan terus mengawasi tahap kesihatan kita. Amalkan budaya membasuh tangan dengan sabun agar sebarang kuman yang mungkin berada di tangan kita tidak akan masuk ke dalam tubuh kita.

4. Islam juga mengajar kita untuk mengutamakan maslahat dan keselamatan masyarakat awam. Kerjasama yang padu perlu diberikan supaya kita terus menjaga kesihatan awam sebagai sebahagian dari tanggungjawab sosial kita. Seandainya kita mengalami tanda-tanda kurang sihat seperti demam, batuk, selsema mahupun sesak nafas, gunakan pelitup hidung dan mulut dengan betul. Gunalah tisu untuk menutup mulut dan hidung semasa kita batuk atau bersin. Pada masa yang sama, segera dapatkan rawatan perubatan dan elakkan dari bersentuhan secara fizikal dengan orang ramai, termasuk bersalaman, sebagai contoh.

5. Kita juga dianjurkan agar menangguhkan sebarang perjalanan yang tidak penting ke China disebabkan situasi koronavirus yang tidak menentu. Seandainya perlu juga ke luar negara maka pastikan kita mengambil langkah-langkah berjaga yang telah disebut di atas, di samping memastikan kita tidak menghampiri haiwan hidup tanpa perlu. Pastikan makanan telah disediakan dengan bersih dan dimasak dengan cukup dan sempurna.

Langkah Kedua: Menjauhi tempat-tempat awam sekiranya kurang sihat

6. Sekiranya kita merasa kurang sihat, pastikan kita elak dari ke tempat-tempat sesak.  Malahan, Rasulullah s.a.w. pernah melarang individu yang sakit berjangkit dari keluar dari tempatnya [Hadith riwayat Imam Muslim]. Larangan ini bagi membendung penyakit yang berjangkit daripada merebak ke kawasan lain dan tidak menjejas individu lain. Kita juga perlu memastikan kita menuruti nasihat pakar dan petugas kesihatan. Ini termasuklah jika kita perlu meletakkan diri di bawah asingan (kuarantin) bagi kemaslahatan diri, keluarga dan masyarakat umum.

7. Islam memberikan keringanan kepada seorang pesakit dalam menghadapi kesukaran yang dihadapinya. Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Fath, ayat 17:

Yang bermaksud: “Tidak ada kesulitan (yang diletakkan) ke atas orang buta, dan tidaklah ada kesulitan (yang diletakkan) ke atas orang tempang, dan tidaklah (harus) ada kesulitan (yang diletakkan) atas orang sakit.”

8. Sekiranya anda mempunyai simtom-simtom di atas, atau dalam keadaan perlu mengasingkan (kuarantin) diri, ia merupakan keuzuran yang diberikan keringanan untuk seseorang meninggalkan solat Jumaat, sepertimana yang dijelaskan oleh Imam al-Nawawi dalam kitabnya Rauḍah Al-Ṭālibīn. Sebagai ganti, anda perlu menggantikan solat Jumaat dengan solat Zohor.

Langkah Ketiga: Memantau Perkembangan Terkini Melalui Sumber yang Sahih

9. Masyarakat Islam perlu memastikan kesahihan berita yang diterima. Mereka tidak seharusnya menyebarkan berita-berita yang belum pasti benar dan dapat mengakibatkan kekacauan dan kebingungan di sisi masyarakat. Ia merupakan sebahagian daripada peringatan Allah s.w.t. buat kita. FirmanNya:

Yang bermaksud: “Wahai orang-orang yang beriman, jika datang kepadamu orang fasik membawa suatu berita, maka periksalah dengan teliti, agar kamu tidak menimpakan suatu musibah kepada suatu kaum tanpa mengetahui keadaannya yang menyebabkan kamu menyesal atas perbuatanmu itu.” (Surah Al-Hujurat, ayat 6).

10. Tambahan dari ini, adalah penting bagi kita untuk tidak mudah mengeluarkan kenyataan dengan sewenang-wenangnya, seperti membuat andaian bahawa musibah yang berlaku adalah disebabkan sesuatu kesilapan/dosa. Segala yang berlaku mempunyai sebab yang tertentu, yang mana Allah s.w.t. lebih mengetahuinya. Yang diperintahkan Allah s.w.t. adalah untuk insan kembali kepada Tuhan, berdoa dan mengharap, tambahan daripada berusaha untuk memperbaiki keadaan.

11. Di antara doa yang diajar Rasulullah s.a.w. di dalam kita menghadapi ujian seperti ini adalah:

Yang bermaksud: “Dengan nama Allah yang mana dengan namaNya [yang mulia] tiada bahaya di bumi mahupun di langit [yang akan menimpa] dan Dia yang Maha Mendengar lagi Maha Mengetahui.” [Hadis riwayat Abu Daud and at-Tirmizi].

Dan doa yang lain:

Yang bermaksud: “Ya Allah aku berlindung denganMu daripada penyakit sopak, gila, kusta dan penyakit-penyakit yang buruk.” [Hadis Riwayat Abu Daud].

12. Semoga Allah s.w.t. mengekalkan kita di dalam keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin.

 

30 Januari 2020

PEJABAT MUFTI

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA