A Singapore Government Agency Website

Office of the Mufti

Irsyad Berkaitan Mengawal Penularan Virus Korona II

IRSYAD (PANDUAN AGAMA) II

BERKAITAN MENGAWAL PENULARAN VIRUS KORONA

Pendahuluan

  1. Pejabat Mufti telah mengeluarkan garispandu agama pada 30 Januari lalu berkaitan peranan masyarakat Islam Singapura untuk mengawal penularan Viruskorona Baru 2019 (COVID-19). Irsyad tambahan ini dikeluarkan mengambilkira pengumuman yang baru sahaja dikeluarkan pemerintah berkaitan peningkatan tahap Keadaan Sistem Respons Wabak Penyakit (DORSCON) di Singapura kepada tahap Jingga. Ini bermakna bahawa virus ini semakin mudah berjangkit tetapi masih lagi belum merebak luas.
  2. Beberapa langkah berhati-hati telah diumumkan Kementerian Kesihatan, di antaranya berkaitan dengan penganjuran acara yang melibatkan penyertaan ramai, di mana pihak penganjur perlu mengambil beberapa langkah tambahan untuk berjaga-jaga. Memandangkan masjid-masjid merupakan tempat awam yang sering didatangi orang ramai, Pejabat Mufti menasihati umat Islam Singapura untuk memerhatikan langkah-langkah berikut:

    Meningkatkan tahap kebersihan

  3. Sekiranya anda sakit, hendaklah segera berjumpa doktor dan elak dari menghadiri majlis di masjid. Islam telah memberikan keuzuran bagi mereka yang sakit untuk tidak melaksanakan solat berjemaah (termasuk juga solat Jumaat), sebagaimana yang telah dijelaskan dalam Irsyad yang lalu.
  4. Jemaah yang berada di masjid pula perlu mengambil langkah-langkah yang dapat mengurangkan sebarang risiko kejangkitan. Sebagai contoh, karpet yang tidak dibersihkan dengan sempurna boleh mengandungi kuman virus sekiranya ada pesakit yang telah menunaikan solat di tempat yang sama. Oleh itu, jemaah dianjurkan supaya membawa alas sujud sendiri yang bersih untuk diletakkan di tempat sujud masing-masing.
  5. Elakkan dari menyentuh antara satu sama lain seperti bersalam-salaman. Cukup dengan meletakkan tangan di dada sebagai tanda hormat. Ini juga telah disebutkan di dalam Irsyad Pejabat Mufti pada tahun 2003 ketika penularan wabak SARS.
  6. Pastikan kebersihan tangan, sama ada dengan membasuhnya dengan sempurna ataupun dengan menggunakan bahan pembersih tangan (hand sanitiser). Pembersih tangan yang mengangungi alkohol boleh digunakan, sepertimana yang telah diputuskan Jawatankuasa Fatwa Muis pada tahun 2008. Menurut fatwa tersebut, bahan alkohol yang digunakan dalam rawatan perubatan (termasuk juga hand sanitiser) bukan dari jenis yang terlarang.

    Perpaduan masyarakat ketika mengalami cabaran

  7. Kita akur bahawa ia akan mengambil masa bagi keadaan pulih kepada sedia kala. Dari itu, setiap individu perlu memainkan peranannya untuk memastikan bahawa keadaan dapat terus dikawal serta penularan dapat dibendung.
  8. Marilah kita bersama-sama mengharungi saat-saat ini dengan penuh perpaduan dan mengambil berat antara satu sama lain. Hulurkan bantuan semampu mungkin kepada mereka yang memerlukan bantuan. Paparkan keprihatinan kita terhadap mereka yang terjejas, terutamanya mereka yang telah mendapat arahan untuk kuarantin. Marilah kita bersabar dalam mengatasi cabaran dengan penuh keyakinan kepada Allah s.w.t Semoga Allah s.w.t. mengekalkan kita di dalam keselamatan dan kesejahteraan di dunia dan di akhirat. Amin.

 

PEJABAT MUFTI

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA