KENYATAAN DAN PANDUAN AGAMA MENGENAI ISU LGBTQ DI SINGAPURA

KENYATAAN DAN PANDUAN AGAMA MENGENAI ISU LGBTQ+ DI SINGAPURA

بسم الله الرحمن الرحيم

الحمد لله والصلاة والسلام على أشرف المرسلين سيدنا محمد وعلى آله وصحبه أجمعين، وبعد.

“Wahai sekalian manusia! Bertakwalah kepada Tuhan kamu yang telah menjadikan kamu (bermula) dari diri yang satu (Adam), dan yang menjadikan daripada (Adam) itu pasangannya (isterinya - Hawa), dan juga yang membiakkan dari keduanya - zuriat keturunan - lelaki dan wanita yang ramai. Dan bertakwalah kepada Allah yang kamu selalu meminta dengan menyebut nama-Nya, serta peliharalah hubungan (silaturrahim) kaum kerabat; kerana sesungguhnya Allah sentiasa memerhati (mengawas) kamu.” (An-Nisa: 1)[1]

            “Dan Allah menjadikan bagi kamu dari diri kamu sendiri pasangan-pasangan (isteri), dan dijadikan bagi kamu dari pasangan kamu: anak-anak dan cucu-cicit, serta dikurniakan kepada kamu dari benda yang baik lagi halal; maka patutkah mereka (yang ingkar itu) percaya kepada perkara yang salah (penyembahan berhala), dan mereka kufur pula akan nikmat Allah?” (An-Nahl: 72)[2]

Islam menegaskan pembentukan keluarga melalui pernikahan di antara lelaki dan wanita sebagai asas sesebuah masyarakat. Allah telah mensyariatkan pernikahan sebagai sebuah ikatan suci. Hubungan seksual di antara suami dan isteri yang sah pula merupakan ibadah yang membawa pelbagai manfaat dan menjauhkan daripada segala bentuk keburukan dan kemungkaran.[3] Allah juga menyebut bahawa perkahwinan merupakan salah satu tanda Keagungan-Nya. Firman-Nya dalam Surah al-Rum ayat 21, yang bermaksud: “Dan di antara tanda-tanda yang membuktikan kekuasaan-Nya dan rahmat-Nya, bahawa Ia menciptakan untuk kamu (wahai kaum lelaki), isteri-isteri dari jenis kamu sendiri, supaya kamu bersenang hati dan hidup mesra dengannya, dan dijadikan-Nya di antara kamu (suami isteri) perasaan kasih sayang dan belas kasihan. Sesungguhnya yang demikian itu mengandungi keterangan-keterangan (yang menimbulkan kesedaran) bagi orang-orang yang berfikir.”[4] Islam melarang segala bentuk hubungan seksual selain yang disebutkan di atas.

2 Hari ini, tidak semua golongan manusia bersependapat dengan pendirian agama sebegini. Dengan perkembangan pesat media massa dan media sosial, masyarakat semakin terdedah kepada paparan gaya hidup LGBTQ+. Di samping itu, terdapat penyokong pergerakan LGBTQ+ yang mula mengemukakan penafsiran mereka tersendiri terhadap nas-nas agama untuk menyokong amalan dan gaya hidup sedemikian. Perkembangan ini tentunya mencabar prinsip serta pegangan masyarakat Islam berkaitan definisi dan konsep keluarga, perkahwinan, serta seksualiti.

3 Masyarakat Islam amat prihatin terhadap kesan jangkamasa panjang ke atas nilai-nilai dan amalan agama kita, yang disebabkan oleh aktivisme LGBTQ+. Lantaran itu, kita perlukan satu panduan yang dapat membantu masyarakat kita memahami isu ini dan menanganinya dengan sebaik mungkin.

Menghadapi masyarakat yang rencam

4 Dalam konteks kehidupan sosial hari ini yang semakin rencam, di mana terdapat kepelbagaian pendapat dan pilihan kehidupan, kehidupan beragama dan masyarakat kita perlu ditangani dengan hikmah dan bijaksana. Dalam hal ini, panduan dan pendekatan Nabi Muhammad seharusnya dijadikan sebagai pedoman bersama. Baginda tegas dalam menegakkan batasan-batasan agama, tetapi sentiasa bersikap rahmah dan belas ihsan dalam mendidik umatnya. Baginda mengajak kita untuk menegur dan menasihati orang yang melakukan kesilapan dengan penuh hikmah, dan tidak mudah menjatuhkan hukum atau menghina mereka. Hanya Allah yang berhak menentukan hukum dan menilai amalan setiap hamba-Nya.[5]

5 Kemanusiaan seseorang dinilai dengan banyak perkara, bukan hanya orientasi seksualitinya. Terdapat individu Muslim yang mengalami kesukaran dalam menyesuaikan kecenderungan seksualiti mereka dengan panduan dan tuntutan agama. Selagimana seseorang beriman dan akur dengan tuntutan agama, beliau masih merupakan sebahagian daripada masyarakat Islam.[6] Setiap Muslim perlu dipelihara kehormatan dan maruahnya. Kita perlu memastikan agar setiap Muslim tidak merasa tersingkir daripada agamanya disebabkan sikap kita terhadap mereka.

6 Sejauh ini, terdapat asatizah di Singapura yang telah berinteraksi dan membimbing sebahagian daripada golongan sedemikian dan mendapati bahawa terdapat isu-isu yang memerlukan panduan dan huraian lanjut. Berdasarkan maklum balas para asatizah, terdapat keperluan untuk terus membangunkan keupayaan para asatizah dan kaunselor, khususnya dalam menyampaikan nilai-nilai agama kepada individu berkenaan secara sensitif, cermat dan berkesan.

Memperkukuh masyarakat dengan memupuk nilai-nilai agama

7 Dalam konteks masyarakat yang rencam dan terbuka seperti Singapura, usaha untuk membentuk fahaman agama melalui pendidikan yang aktif dalam masyarakat perlu dipergiatkan lagi. Setiap anggota masyarakat Islam, terutamanya golongan muda, harus didekati dan diberikan keyakinan untuk melayari kehidupan dan menghadapi cabaran semasa berbekalkan pendirian dan prinsip agama yang jelas.

8 Yang penting ialah, kita perlu memastikan masyarakat kita kekal utuh di mana setiap individu dapat berasa aman dan kedudukannya tidak terancam. Golongan beragama harus terus bebas untuk mendidik anggota masyarakat mereka tentang kepercayaan dan nilai-nilai agama.

Melindungi nilai kita melalui pengukuhan institusi perkahwinan

9 Sejajar dengan pegangan agama kita, usaha untuk memperkukuhkan institusi perkahwinan yang berupa ikatan sah antara lelaki dan wanita di Singapura amat diperlukan. Kami menyeru pemerintah untuk mengambil kira pendirian masyarakat Islam ketika ia membincangkan undang-undang yang sesuai untuk memelihara dan memperkuatkan institusi perkahwinan dan keluarga.

10 Pada masa yang sama, perubahan pada undang-undang negara tidak bermakna cara kehidupan dan pegangan kita akan turut berubah. Ajaran dan nilai-nilai agama tetap kekal sama. Masyarakat Islam perlu hidup dengan yakin, dipandu oleh prinsip-prinsip dan sistem nilai yang utuh. Di sini, kekhuatiran utama kita bukanlah soal perubahan undang-undang itu sendiri, tetapi kesannya terhadap masyarakat. Dengan rahmat dan izin Allah, kita telah dapat menjalankan kehidupan beragama dengan yakin dalam konteks negara yang sekular dengan mencari keseimbangan dalam banyak isu sosio-agama yang rumit.

Nasihat umum

11 Syariah mementingkan kemuliaan insan, sikap saling menghormati dan hubungan baik di kalangan manusia. Semua faktor ini amat penting dalam kita membicarakan isu-isu sosio-agama yang kompleks pada hari ini. Masyarakat Islam berhak untuk mempertahankan nilai-nilai agama dan kekeluargaan mereka, terutama apabila ia jelas dicabar atau dipertikaikan. Sebarang bentuk sokongan dan dokongan terhadap gerakan LGBTQ+ harus menghormati nilai-nilai agama yang dipegang oleh masyarakat Islam.

12 Sekiranya nilai dan pendirian agama dicabar secara terbuka dan agresif, ia pastinya akan mengubah ruang awam menjadi medan konfrontasi yang berpecah belah. Oleh itu kita perlu mengelakkan perbalahan dan perpecahan dalam masyarakat[7] yang berpunca daripada perbincangan yang tidak didasari adab dan sikap saling menghormati pandangan yang berbeza, agar kita dapat maju ke hadapan sebagai sebuah masyarakat yang bersatu. Pada masa yang sama, kita menolak sebarang bentuk cemuhan dan provokasi dalam ruang awam yang semakin hangat dipertarungkan.

13 Kita menyeru setiap anggota masyarakat Islam untuk mempertingkatkan rasa cinta terhadap agama dalam semua aspek dan menyemai nilai murni ini di kalangan golongan muda. Sebagai pihak berkuasa agama, Muis akan terus menyokong segala usaha untuk memperkukuh nilai-nilai Islam dalam setiap penyampaian pendidikan dan kurikulum agama untuk masyarakat. Tidak diragukan lagi, isu ini merupakan ujian besar terhadap sikap empati, hormat, belas ihsan dan pendirian kita ketika menguruskan kehidupan beragama dalam dunia yang kompleks dan lebih terbuka ini. Ia memerlukan keseimbangan rapi dan penglibatan berterusan dengan cara yang penuh hikmah dan beradab, supaya kita boleh terus hidup bersama secara aman di tengah-tengah perbezaan pandangan dan orientasi.

والله أعلم

والله ولي التوفيق، وصلى الله على سيدنا محمد وعلى آله وصحبه وسلم

 

22 Ogos 2022

PEJABAT MUFTI

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA (MUIS)

 


[1] (يَـٰٓأَيُّهَا ٱلنَّاسُ ٱتَّقُوا۟ رَبَّكُمُ ٱلَّذِى خَلَقَكُم مِّن نَّفْسٍۢ وَٰحِدَةٍۢ وَخَلَقَ مِنْهَا زَوْجَهَا وَبَثَّ مِنْهُمَا رِجَالًۭا كَثِيرًۭا وَنِسَآءًۭ ۚ وَٱتَّقُوا۟ ٱللَّهَ ٱلَّذِى تَسَآءَلُونَ بِهِۦ وَٱلْأَرْحَامَ ۚ إِنَّ ٱللَّهَ كَانَ عَلَيْكُمْ رَقِيبًۭا)

[2] (وَٱللَّهُ جَعَلَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا وَجَعَلَ لَكُم مِّنْ أَزْوَٰجِكُم بَنِينَ وَحَفَدَةًۭ وَرَزَقَكُم مِّنَ ٱلطَّيِّبَـٰتِ ۚ أَفَبِٱلْبَـٰطِلِ يُؤْمِنُونَ وَبِنِعْمَتِ ٱللَّهِ هُمْ يَكْفُرُونَ)

[3] “Wahai para pemuda! Sesiapa di kalangan kamu telah mampu pembiayaan berkahwin, maka bernikahlah, kerana nikah itu dapat menundukkan mata dan memelihara kelamin. Dan sesiapa yang belum mampu, maka hendaklah berpuasa, kerana puasa itu dapat menjadi perisai baginya (dalam membendung syahwat).” Riwayat Al-Bukhari (5066)

[4] (وَمِنْ ءَايَـٰتِهِۦٓ أَنْ خَلَقَ لَكُم مِّنْ أَنفُسِكُمْ أَزْوَٰجًۭا لِّتَسْكُنُوٓا۟ إِلَيْهَا وَجَعَلَ بَيْنَكُم مَّوَدَّةًۭ وَرَحْمَةً ۚ إِنَّ فِى ذَٰلِكَ لَـَٔايَـٰتٍۢ لِّقَوْمٍۢ يَتَفَكَّرُونَ)

[5] Rasulullah pernah mendengar beberapa sahabat mencaci salah seorang dari kalangan mereka yang berulang kali meminum arak, sedangkan ia telah diharamkan. Baginda lantas bersabda, yang bermaksud: “Janganlah kalian melaknatnya, kerana aku tahu bahawa dia mencintai Allah dan Rasul-Nya.” Riwayat Al-Bukhari (6780)

[6] Ini merujuk kepada mereka yang berpegang kepada rukun-rukun Iman dan Islam, yang mengakui hukum-hukum agama yang muktamad (al-ma'lūm minad-dīn biḍ-ḍarūrah), dan tidak menghalalkan apa yang telah dilarang di dalam Islam. Ibn Qudamah menjelaskan tentang golongan yang terakhir ini: “Mereka yang percaya bahawa halal sesuatu yang telah disepakati (ijma‘) pengharamannya, jelas hukumnya di kalangan umat Islam, dan tiada lagi kerguan terhadapnya disebabkan dalil-dalil seperti pengharaman daging babi, berzina dan sebagainya, di mana tidak ada khilaf terhadap perkara-perkara ini. Sila lihat: Al-Mughnī, (8/131)

[7] Flores, A.R., Social Acceptance of LGBTI People in 175 Countries and Locations, https://williamsinstitute.law.ucla.edu/wp-content/uploads/Global-Acceptance-Index-LGBTI-Nov-2021.pdf, November 2021