Part 10 - Advisory on Conducting Maulid during Phase Two (Malay)

Sesungguhnya Allah dan malaikat-Nya berselawat kepada Nabi (Muhammad); wahai orang-orang yang beriman berselawatlah kamu kepadanya serta ucapkanlah salam sejahtera dengan penghormatan yang sepenuhnya”

IRSYAD (PANDUAN) BERKAITAN PELAKSANAAN MAJLIS MAULID SEMASA FASA KEDUA

Pendahuluan

1. MUIS telah memaklumkan pada 30 September 2020 berkaitan penambahan ruang solat yang disediakan bagi solat fardhu. Dengan beberapa kelonggaran tersebut, lebih banyak sesi bersemuka (face-to-face) boleh diadakan dengan mengambil kira langkah-langkah jarak selamat yang masih perlu dituruti. Namun ini akan dilaksanakan secara bertahap-tahap. Di antara program yang boleh dianjurkan di dalam fasa ini adalah majlis Maulid Nabi s.a.w.

2. Acara Maulid merupakan antara amalan tradisi masyarakat Islam Singapura. Ia merupakan antara amalan yang dapat mengukuhkan lagi kerohanian masyarakat, terutamanya ketika menghayati panduan daripada kehidupan Nabi s.a.w., membaca sirahnya serta berselawat ke atasnya. Irsyad ini bertujuan untuk memberi panduan cara mengendalikan majlis Maulid di dalam konteks perlunya langkah-langkah keselamatan yang sedia ada selagimana situasi penularan wabak COVID-19 masih berterusan.

Panduan Bagi Pelaksanaan Majlis Maulid

3. Bagi masjid yang ingin menganjurkan majlis Maulid Nabi, mereka perlu mematuhi segala panduan berikut:

i. Segala langkah keselamatan bagi memasuki masjid perlu dipatuhi. Ini termasuk mendaftarkan diri, pemeriksaan suhu badan, pernyataan kesihatan dan perjalanan, mengamalkan jarak selamat serta memakai pelitup muka sepanjang majlis berlangsung.

ii. Majlis Maulid boleh dianjurkan daripada 18 Oktober 2020 hingga akhir 30 November 2020 sahaja.

iii. Jumlah jemaah yang hadir di masjid bagi majlis Maulid bergantung kepada kelulusan yang telah diberikan bagi masjid-masjid tertentu. Maka itu, masjid perlu memastikan jumlah tersebut dipatuhi. Antara yang dicadangkan adalah masjid boleh mengadakan sistem pendaftaran bagi jemaah-jemaah yang ingin menghadiri majlis Maulid di masid tertentu.

iv. Memandangkan waktu kehadiran jemaah di masjid perlu dibataskan, maka majlis Maulid hanya boleh dilaksanakan pada luar waktu solat berjemaah dan harus disempurnakan dalam tempoh satu jam secara keseluruhan.

v. Bagi mereka yang tidak berjaya mendaftar tempat untuk mengikuti majlis Maulid secara fizikal, mereka digalakkan untuk mengikuti acara tersebut secara dalam talian (online).

vi. Penyusunan Jemaah serta pemimpin majlis Maulid di dalam ruang masjid sewaktu majlis Maulid, haruslah sama seperti seperti penyusunan Jemaah ketika solat berjemaah ataupun ketika solat Jumaat. Pemimpin majlis Maulid perlu menggunakan tempat Imam bagi tujuan memimpin Jemaah.

Kesimpulan

4. Majlis Maulid boleh dianjurkan di masjid-masjid sempena bulan Rabiulawal 1442H dengan memastikan segala panduan keselamatan dituruti dengan sempurna. Mudah-mudahan dengan selawat dan salam yang kita sampaikan kepada Nabi s.a.w., Allah s.w.t. bakal mengurniakan keberkatan pada kehidupan kita dan mengurniakan kepada kita serta masyarakat dunia jalan keluar daripada segala ujian, insyallah. Amin Ya Rabbal ‘Alamin.

 

 

15 OKTOBER 2020

PEJABAT MUFTI

MAJLIS UGAMA ISLAM SINGAPURA